Aku pun telah mengemukakan kepada anda di dalam buku ini sebahagian daripada hadith-hadith yang berkaitan dengan hari al-Ghadir, sedangkan banyak lagi hadith-hadith yang ada kaitan dengannya dipandang sepi oleh Ahlu s-Sunnah kerana hasad dan kemarahan mereka terhadap Amiru l-Mukminin AS. Lebih-lebih lagi di masa Muawiyah memegang jawatan khalifah. Sekalipun tekanan-tekanan yang kuat telah dilakukan kepada perawi-perawi hadith tentang hak Abu Turab ('Ali AS) tetapi Allah menghendaki supaya kebenaran Amiru l-Mukminin terserlah dan memenuhi bumi ini dengan kelebihan-kelebihannya AS.
Di sini aku cuba meringkaskan apa yang telah aku kemukakan mengenai hadith al-Ghadir kerana ianya sudah memadai bagi orang yang mempunyai fikiran yang waras. Jikalau aku ingin membentangkan kesemuanya, nescaya aku akan menulis buku yang lebih tebal dan berjilid-jilid dan ini adalah bertentangan dengan "buku ringkas" yang aku telah janjikan kepada pembaca yang budiman. Dan sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenainya, hendaklah membuat rujukan kepada buku-buku yang telah aku sebutkan terlebih dahulu yang mengandungi dalil-dalil yang jelas tentang keutamaan Amiru l-Mukminin 'Ali AS menjadi khalifah daripada orang lain.
Kerana apa yang dimaksudkan dengan perkataan al-Maula ialah aula di dalam segala urusan. Pengertian ini telah dikenali dari sudut bahasa dan penggunaannya di dalam al-Qur'an al-Nar aula-kum (api neraka itu adalah lebih utama untuk kalian) iaitu aula dengan kalian. Akhtal berkata: Maulanya mengandungi semua manusia.
Rasulullah SAW telah menentukan pengertian al-Maula di dalam sabdanya: Tidakkah aku aula dari kalian? Justeru itu beliau mengikutinya terus dengan sabdanya: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Iaitu siapa yang aku aula dengannya daripada dirinya maka 'Ali adalah aula dengannya daripada dirinya sendiri. Maka 'Ali AS aula di dalam pengurusan mereka. Dan beliau tidak menjadi aula melainkan apabila beliau menjadi khalifah dan imam. Ini merupakan nas yang terang menghendaki pimpinan ugama dan dunia. Kerana orang yang aula dengan ummat ini ialah Nabi dan Imam AS. sebagaimana urutan ayat terdahulu. Lagipun pengertian tersebut telah difahami oleh orang-orang yang fasih denganmadlul Bahasa Arab seperti Umar bin al-Khattab, Hasan bin Tsabit, Harith bin al-Nu'man al-Fihri sebagaimana anda mengetahui ucapan-ucapan mereka yang lalu. Oleh itu tidak seorangpun harus mendahului Rasulullah SAW sebagaimana juga ia tidak harus mendahului 'Ali AS.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa maula yang dimaksudkan ialah aula yang memberi pengertian imamah dan imarah (pemerintahan), ialah tahniah para sahabat kepada 'Ali AS sebagaimana aku telah menyebutkannya terlebih dahulu. Tidak ada dorongan yang lain bagi Abu Bakar dan Umar mengucap tahniah kepada 'Ali apabila mereka berdua mendengar apa yang disabdakan oleh Nabi SAW melainkan mereka berdua memahami perkataan maula iaitu imamah dan imarah. Inilah yang menyebabkan mereka berdua mengucap tahniah kepada 'Ali AS. Bukan dengan pengertian pembantu (al-Nasir) atau pertolongan (al-Nusrah) yang diketahui oleh mereka dan 'Ali AS. Dan tidaklah tepat jika para sahabat mengucap tahniah kepadanya disebabkan perkara-perkara biasa yang dilakukan olehnya ('Ali AS).
Sebagaimana dorongan Umar bin al-Khattab melakukan kepada 'Ali AS apa yang tidak dilakukan terhadap sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Dia berkata: Beliau adalah maulaku. Iaitu apa yang dia memahami dan mengetahui pengertian al-imarah dan al-imamah bukan pengertian pembantu(al-Nasir) kerana ianya merupakan jawapan yang tidak memberi erti kerana pengertiannya: Beliaulah pembantuku. Dan apabila orang bertanya tadi jahil tentang pertolongan sahahat-sahabat Nabi SAW sesama mereka. Umar bin al-Khattab menjawab: Sesungguhnya 'Ali adalah pembantuku. Sekiranya pengertian itulah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dan difahami oleh Umar bin al-Khattab, kenapa dia begitu marah kepada dua orang badwi yang sedang bertengkar. Dia berkata kepada 'Ali AS: Adililah mereka berdua wahai Abu l-Hasan. Salah seorang daripada mereka berkata dengan angkuh: Lelaki inikah yang akan mengadili kamu berdua? Lalu Umar memarahkan badwi itu dan berkata: Celaka anda! Anda tidak mengetahui siapa ini? Ini adalah maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminat.
Pada masa yang lain pula Umar bertengkar dengan seorang lelaki di dalam satu masalah. Umar berkata: Lelaki yang sedang duduk itu akan mengadili aku dan anda. Dia mengisyaratkan kepada 'Ali AS. Maka lelaki itu menjawab: Ini hanyalah suku Arab biasa. Manakala Umar mengetahui bahawa lelaki itu merendahkan Ali dan memperkecilkannya, Umar terus berdiri dari tempat duduknya dan memegang pada pakaian lelaki itu sehingga dia mengangkatnya dari tanah. Kemudian dia berkata: Adakah anda mengetahui siapakah orang yang anda memperkecilkannya? Beliau adalah maulaku dan maula setiap mukmin.
Perhatikanlah wahai pembaca yang budiman, manakala dia berkata kepadanya: Adakah anda mengetahui siapakah orang yang anda memperkecilkannya? Beliaulah maulaku dan maula setiap mukmin. Kenyataan ini telah dipindahkan oleh Muhibuddin al-Tabari di dalam al-Riyadh al-Nadhirah dan al-Khawarizmi di dalam Manaqibnya dengan beberapa riwayat yang sahih daripada Umar.
Sekiranya Umar tidak memahami perkataan maula sebagai al-imarah dan al-imamah, nescaya dia akan menjawab: Ini adalah pembantuku dan pembantu setiap muslim. Lihatlah betapa Umar begitu terkilan dan marah terhadap sikap lawannya yang memperkecilkan Ali AS. Katakanlah kepadaku sekiranya dia terkilan dan marah kepada badwi tadi disebabkan dia memperkecilkan pembantunya. Lantas dia ingin mengajar lelaki itu mengenainya dengan berdiri? Sekiranya pembantunya bukan Ali maka dia bukanlah mukmin atau muslim. Adakah ini yang merisau dan memarahkan Umar? Atau perkara lain di sebalik itu yang lebih sesuai bagi Umar untuk bangun dari tempat duduknya memarahi lelaki itu dan lebih layak dia memarahinya? Ya! Demi kebenaran. Dia tidak merasa cemas dan marah kepadanya (badwi) melainkan dia mengetahui bahawa Ali AS adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri. Justeru itu Umar mengambil tindakan yang serius dan menentang orang yang memperkecilkannya ('Ali).
Dengan ini jelaslah apa yang didengarinya daripada Rasulullah SAW kemudian dia memperkuatkannya ke atas dirinya dan Mukminin pada masa itu di mana dia dan Mukminin mengucap tahniah kepadanya ('Ali). Sebagaimana dicintai Allah SWT bahawa sesungguhnya beliaulah maula dan maula setiap muslim. Dan sesiapa orang yang tidak menjadikannya sebagai maulanya, maka dia bukanlah muslim sekalipun tanpa wilayah Nabi SAW. Di dalam keadaan demikian tidaklah patut bagi Umar jika maksud maula adalah pembantu. Jikalaulah begitu bagaimana seorang itu boleh berada di dalam kesamaran jika maula dimaksudkan pembantu? Demikianlah percakapan Arab difahami sehingga ia menjadi percakapan yang fasih dan selari dengan keadaan semasa.
Di samping itu juga maula dengan pengertian pembantu membawa kepada pembohongan terhadap sabda Rasulullah SAW (wa l-'Iyazu bi Ilahi min Dhalika) kerana beberapa banyak berlaku penentangan terhadap agama dan perubahan peraturan pada umat ini selepas kematian beliau SAW. Kedua-duanya telah dilakukan oleh orang yang zalim dan orang yang dizalimi secara paksa serta orang murtad yang lari, Kesemuanya itu dilihat dan didengari oleh Amiru l-Mukminin yang tinggal di rumahnya lebih dua puluh empat tahun, tidak pernah berhasrat untuk mendapat pertolongan daripada orang lain sehingga orang yang berada di dalam rumahnya. Sejarah telah memberitahukan kita tentang pertolongannya atau kemenangan ummah dengannya. Oleh itu di manakah sabdanya SAW: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....iaitu pembantuku dan di manakah bantuan 'Ali AS pada masa itu dan orang yang membantunya? Adapun apa yang telah ditakwilkan oleh orang yang mempunyai tujuan yang jahat dan mempunyai akhlak yang keji seperti Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah, pada fasal kelima daripada bab pertama, al-Qausyaji di dalam Syarh al-Tajrid dan orang yang seumpama mereka bahawa maksud maula sebagai pencinta, pembantu sebagaimana yang telah disebutkan, adalah terbatal kerana ianya bertentangan dengan sabda Nabi SAW. Lagipun cinta dan bantuan adalah perkara-perkara yang diketahui oleh semua Muslimin, tanpa memerlukan keterangan kerana ayat al-Qur'an dan hadith telah menerangkannya. Sebagaimana firmanNya di dalam Surah al-Hujurat(49): 10:"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara. Dan firmanNya Surah al-Taubah (9): 71:"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain."Dan firmanNya Surah al-Fath(48): 29:"Dan orang-orang yang bersama dengan dia (Muhammad) adalah keras terhadap orang-orang kafir" tidak memerlukan keterangan lagi.
Adapun wahyu yang mengancam Rasulullah SAW jika beliau tidak menyampaikannya, lalu beliau melaksanakan apa yang diperintahkannya dengan penuh kesulitan, menunjukkan bahawa ianya perkara yang besar dan memerlukan kepada keterangan iaitu awaliyyah (keutamaan) di dalam pengendalian urusan manusia. Ianya diturunkan di hadapan lebih daripada seratus dua puluh ribu sahabat di padang pasir yang panas. Beliau mengangkat tangan 'Ali AS sambi bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.
Jikalau maksudnya ialah suatu penerangan cinta dan bantuan, maka kenapa diturunkan ayat Ikmaluddin (Surah al-Maidah(5):3"Pada hari ini telahKu sempurnakan bagimu agamamu...."Ketika turunnya ayat (Surah al-Hujurat(49):10)"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara."Aku berkata: Ini adalah cukup bagi orang yang mempunyai fikiran yang waras, dan juga menjadi hujah yang pemutus ke atas lawan yang menentang dakwaan Syi'ah mengenai hak Amiru l-Mukminin 'Ali AS terhadap jawatan khalifah secara langsung selepas Rasulullah SAW. Kami mempunyai dalil yang banyak untuk mengukuhkan dakwaan kami tentang hak 'Ali selepas Rasulullah SAW secara langsung selain daripada apa yang kami telah kemukakan. Terdapat ramai ulama Sunnah dan Syi'ah yang telah mengarang buku-buku mengenai al-Ghadir. Mereka menyebutkannya di dalam buku-buku mereka yang tidak terkira banyaknya.
1.Ayat al-Wilayah (Surah al-Maidah(5): 55)
2. Ayat al-Tathir (Surah al-Ahzab(33: 33)
3. Ayat al-Mubahalah (Surah Ali Imran(3): 61)
4. Ayat al-Mawaddah (Surah al-Syu'ara(42): 23)
5. Ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah(5): 67)
Kesemua ayat-ayat ini menunjukkan keistimewaan Amiru l-Mukminin 'Ali AS terhadap jawatan khalifah sebaik sahaja kewafatan Nabi SAW dengan nas yang pemutus. Sehingga tidak ada ruang bagi si penipu untuk menentang dakwaan kami tentang hak 'Ali AS. Lantaran itu jawatan khalifah untuk 'Ali AS telah terserlah dengan enam ayat al-Qur'an yang telah diriwayatkan oleh ulama Ahlu s-Sunnah di samping para ulama syi'ah.
Oleh itu sayugialah bagi setiap orang yang mempunyai hati yang merdeka dan sejahtera supaya menyerahkan diri mereka kepada kebenaran dan tinggallah pertarungan yang wujud di antara Sunnah dan Syi'ah. Kerana Syi'ah tidak membawa sesuatu perkara begitu sahaja malah mereka telah mengukuhkan dakwaan mereka dengan al-Qur'an dan Sunnah. Justeru itu kenapa orang yang menetapkan dakwaannya dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAW dicela, sedangkan banyak pendapat-pendapat ulama besar mereka menyalahi mazhabnya?
Untuk menambahkan apa yang aku kemukakan kepada anda, Sa'id al-Syahid al-Qandhi Nur Allah al-Tastari RH telah mencatat di dalam Ihqaq al-Haq, Jilid ketiga, cetakan Iran, lapan puluh dua ayat yang lain di antara ayat-ayat yang turun mengenai Amiru l-Mukminin 'Ali dan Ahlu l-Baitnya AS. Dan dia telah menyebutkan rujukan Ahlu s-Sunnah mengenainya secara terperinci.
Wahai pembaca yang budiman adalah alasan lain lagi selepas ini bagi orang yang mengesyaki keutamaan 'Ali AS menjadi khalifah dan wasinya selain daripada orang yang angkuh dan degil kepada hati kecilnya atau tidak ingin melihat kepada apa yang telah kami kemukakan, sekalipun ianya terang seperti api di atas menara, matahari di siang hari. Aku tidak mengetahui apakah keuzuran yang telah disediakan oleh Ahlu s-Sunnah di hari hisab kelak, di mana segala perkara akan diperlihatkan di hari itu dan hati akan sampai ke kerongkong.
0 comments:
Post a Comment