Manakala Rasulullah SAW memberi khutbahnya yang penuh bersejarah, beliau memerintahkan orang yang menyaksikan peristiwa itu termasuk Abu Bakr, Umar, syaikh-syaikh Quraisy dan pembesar-pembesar kaum Ansar, isteri-isteri beliau supaya tampil mengucap tahniah kepada Amiru l-Mukminin AS kerana memegang jawatan al-Wilayah, pelaksanaan, suruhan dan larangan di dalam agama Allah SWT.
Sebilangan besar para ulama Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah meriwayatkannya di antaranya:
Al-Tabari di dalam bukunya al-Wilayah telah meriwawatkan hadith dengan sanadnya daripada Zaid bin Arqam dan diakhirnya dia berkata: Orang yang pertama berjabat tangan (salam) dengan Nabi SAW dan 'Ali ialah Abu Bakar, 'Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Muhajirin, Ansar, dan lain-lain sehingga beliau mengerjakan solat Zuhr dan 'Asr berjama'ah di dalam satu masa dan berpanjangan sehingga beliau SAW mengerjakan solat al-'Isya'in (solat Maghrib dan Isyak) di dalam satu masa. Para sahabat meneruskan bai'ah dan bertepuk tangan tiga kali.
Al-Dar al-Qutni: Ibn Hajr telah meriwayatkan daripadanya di dalam fasal kelima, bab pertama al-Sawa'iq al-Muhriqah bahawa Abu Bakar dan 'Umar manakala kedua-duanya mendengar hadith al-Ghadir, mereka berkata kepada Imam 'Ali AS: Andalah maula bagi setiap mukmin dan mukminah. Dikatakan kepada Umar: Sesungguhnya anda melakukan sesuatu kepada 'Ali di mana anda tidak melakukannya kepada orang lain daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Dia menjawab: Sesungguhnya beliau adalah maulaku.
Al-Hafiz Abu Sa'id al-Nisaburi di dalam bukunya Syaraf al-Musfa dengan isnadnya daripada al-Barra' bin 'Azib dengan lafaz Ahmad bin Hanbal dan dengan isnad yang lain daripada Abu Sa'id al-Khudri dan lafaznya. Kemudian Nabi SAW bersabda: Kalian ucaplah tahniah kepadaku, kalian ucaplah tahniah kepadaku. Sesungguhnya Allah telah memberi keistimewaanku dengan kenabian, dan memberikan keistimewaan Ahlul Baitku dengan Imamah. Maka Umar bin al-Khattab menemui Amiru l-Mukminin dan berkata: Alangkah beruntungnya anda wahai Abu l-Hassan. Anda menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminah.
Pengarang Raudhah al-Safa selepas menyebutkan hadith al-Ghadir berkata: Kemudian Rasulullah SAW duduk di dalam satu khemah dan menempatkan 'Ali di khemah yang lain. Beliau menyuruh para sahabat supaya memberi tahniah kepada 'Ali di dalam khemahnya. Dan apabila orang lelaki selesai mengucap tahniah, beliau menyuruh isteri-isterinya pergi ke khemah dan mengucapkan tahniah kepada 'Ali AS.
Kuand Amir di dalam Habib al-Siyar berkata: Kemudian Amiru l-Mukminin 'Ali AS duduk di khemah khas. Para sahabat Rasulullah SAW datang kepadanya dan mengucap tahniah kepadanya. Di antara mereka ialah Abu Bakar dan 'Umar. 'Umar berkata: Alangkah beruntungnya anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda telah menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminah. Kemudian beliau memerintahkan Ummahat al-Mukminin supaya datang kepada 'Ali AS dan mengucap tahniah kepadanya.
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya, al-Tabari di dalam Tafsirnya, Ibn Mardawaih di dalam Tafsirnya, al-Tha'labi di dalam Tafsirnya,al-Baihaqi di dalam al-Sunan, al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikhnya, Ibnu al-Maqhazali di dalam Manaqibnya, al-Ghazali di dalam Sirr al-'Alamain, al-Syarastani di dalam al-Milal wa al-Nihal, Abu l-Faraj Ibn al-Jauzi al-Hanbali di dalam Manaqibnya, Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib, al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib, Muhibuddin al-Tabari di dalam Riyadh al-Nadhirah, al-Hamawaini di dalam al-Fara'id al-Simtin bab ketiga belas.
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah dan lain-lain yang terdiri daripada ulama-ulama hadith, Tafsir, dan sejarah Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah di mana kami tidak dapat menyenaraikan kesemua nama-nama mereka di dalam buku kami ini. Mereka semua meriwayatkan hadith ini di dalam musnad-musnad dan sahih-sahih mereka daripada perawi-perawi yang thiqah yang berakhir bukan hanya kepada seorang sahabat seperti Ibn 'Abbas, Abu Hurairah, al-Barra' bin 'Azib, Zaid bin Arqam dan lain-lain.
Kata-kata yang agak menarik ialah ucapan yang dikatakan oleh al-Ghazali di dalam bukunya Sirr al-'Alamain:Hujah telah terang, jumhur telah sepakat bahawa teks hadith adalah khutbah Rasulullah SAW di Hari al-Ghadir. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....'Umar berkata: Alangkah bahagianya anda wahai Abu l-Hasan. Anda telah menjadi maulaku dan maula setiap mukmin dan mukminat. Ini adalah satu penyerahan, keredhaan dan pertimbangan yagn waras. Kemudian hawa nafsu lebih mencintai pangkat dan segala-galanya sehingga membawa kepada perselisihan dan pembunuhan. Lantaran itu mereka meninggalkan kebenaran di belakang lalu membelinya dengan harga yang murah. Maka sejahat-jahat apa yang mereka lakukan.
Segala puji bagi Allah yang telah membuat al-Ghazali bercakap benar di mana ianya adalah hujah kami dan ianya mengukuhkan dakwaan kami sebagaimana tertulis di dalam bukunya Sirr al-'Alamain. Kerana Allah membuatkan lidahnya bercakap dengan kebenaran dan menjelaskan hakikat yang sebenarnya, meskipun dia seorang yang dikenali dengan fanatik dan keras. Sebagaimana kata seorang pujangga: Kebenaran membuat orang yang insaf dan degil bercakap.
Tetapi apa yang mendukacitakan kami ialah sikap Ahlu s-Sunnah apabila seorang daripada mereka mengemukakan dalil yang mengukuhkan dakwaan Syi'ah tentang hak 'Ali Amirul Mukminin dan anak-anaknya tentang jawatan khalifah, lantas mereka menuduhnya sebagai seorang Syi'ah sekalipun kami melihat mereka begitu fanatik kepada mazhab mereka. Mereka menuduh Syi'ah dengan pembohongan, tetapi Allah SWT membuatkan lidahnya bercakap benar secara sukarela ataupun tidak. Maka dia bercakap benar kerana kebenaran itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Syi'ah adalah orang yang mempunyai ilmu kebenaran dan ijtihad. Mereka memenuhi bumi Allah dengan keilmuan, amalan, dan kebenaran di dalam percakapan meskipun musuh-musuh mereka memperkatakan apa yang mereka mahu dengan penuh pembohongan dan rekaan semata-mata.
Perhatikanlah wahai pembaca budiman. Bagaimana Allah SWT mendedahkan kebenaran Syi'ah sekalipun lama masanya terpendam, pasti akan terserlah juga sama ada Ahlu s-Sunnah mahu ataupun tidak. Dan kebatilan pasti pudar juga sama ada mereka mahu ataupun tidak.
0 comments:
Post a Comment