Ahmad bin Hanbal juga di dalam Musnadnya meriwayatkan hadith ini daripada 'Atiyyah al-'Aufi dia berkata: Aku bertanya Zaid bin Arqam. Dan aku berkata kepadanya bahawa menantuku telah memberitahukan kepadaku tentang anda mengenai hadith tentang 'Ali AS pada hari Ghadir Khum. Aku ingin mendengarnya daripada anda sendiri. Maka dia menjawab: Wahai orang-orang Iraq! Kalian telah mengetahuinya. Maka aku berkata kepadanya teruskanlah. Maka dia berkata: Ya! Kami berada di Juhfah. Rasulullah SAW memegang tangan 'Ali AS dan berkata: Wahai manusia! Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Ibn Majah di dalam Sunannya telah meriwayatkannya sehingga kepada al-Barra' bin 'Azib. Al-Nasa'i di dalam Khasa'is 'Ali meriwayatkan sanadnya kepada Sa'ad, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya...maka 'Ali adalah maulanya....Dia juga meriwayatkan sanadnya sampai kepada Zaid bin al-Arqam, dia berkata: Rasulullah SAW berdiri, memuji Allah kemudian bersabda: Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku aula dengan setiap mukmin daripada dirinya? Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah SAW kami menyaksikan bahawa anda adalah aula bagi setiap mukmin daripada dirinya. Maka beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Beliau lalu berlalu memegang tangan 'Ali AS.
Ibn 'Abd Rabbih di dalam al-'Aqd al-Farid telah meriwayatkan ketika menyebutkan hujah al-Mukmun ke atas fuqaha' mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib dia berkata di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Al-Suyuti di dalam Tarikh al-Khulafa' berkata al-Turmudhi telah meriwayatkannya daripada Abu Sarihah atau Zaid bin Arqam daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya...Dia juga meriwayatkan perkara yang sama di dalam Kunuz al-Haqa'iq di Hamish al-Jami' al-Saghir hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....
Di dalam Is'af al-Raghibin di Hamisy Nur al-Absar menyatakan bahawa Rasulullah SAW berada pada hari Ghadir Khum: Siapa yang menjadikan aku maulanya maka 'Ali adalah maulanya....Al-Muhibb al-Tabari di dalam al-Riyadh al-Nadhirah berkata: Daripada 'Umar bahawa dia berkata: 'Ali adalah maula bagi orang yang telah menjadikan Rasulullah SAW sebagai maulanya.
Al-Baghawi di dalam Masabih al-Sunnah meriwayatka daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Abu Nu'aim Al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya meriwayatkan daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Ibn al-Jauzi di dalam Tadhirah al-Huffaz menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Al-Khatib di dalam Tarikh Baghdad meriwayatkan hadith al-Ghadir daripada Anas, dia berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...
Demikianlah aku telah kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian kecil daripada buku-buku rujukan Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah. Walau bagaimanapun aku akan kemukakan pula kepada anda nama-nama perawi dengan menyebutkan rujukan mereka bagi menambahkan lagi penjelasan seperti berikut:
Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul. Muhammad bin Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul. Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib. Al-Tha'labi di dalam Tafsirnya. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur. Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah. Al-Turmudhi di dalam Sahihnya, dia berkata: Hadith ini adalah Hasan sahih. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak berkata: Ini adalah hadith sahih menurut syarat al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) tetapi mereka berdua tidak meriwayatkannya. Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya.
Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkata: Abu Ja'far Muhammad bin Jarir al-Tabari pengarang al-Tafsir dan al-Tarikh telah mengumpulkan dua jilid riwayat dan lafaz-lafaznya. Begitu juga al-Hafiz Abu l-Qasim bin 'Asakir telah meriwayatkan hadith-hadith yang banyak di dalam khutbahnya.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah telah menceritakan daripada Abu l-Ma'ali al-Jawaini yang dikenali dengan Imam al-Haranaini, guru kepada al-Ghazali, bahawa dia menjadi hairan dan berkata: Aku melihat satu jilid buku mengenai hadith Ghadir Khum tertulis di atasnya jilid yang kedua puluh lapan. Ianya mengandungi berbagai riwayat tentang sabda Nabi SAW: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....dan ianya akan disusuli dengan jilid yang kedua puluh sembilan.
Sebenarnya hadith-hadith mengenai al-Ghadir yang kami telah kemukakan tadi adalah merupakan sebilangan kecil sahaja, jika dibandingkan dengan hadith-hadith yang telah diriwayatkan di dalam bab ini yang tidak terkira banyaknya.
Ayatullah al-'Uzma Sayyid Hamid Husain al-Nisaburi RH di dalam 'Abaqat telah menyenaraikan nama-nama perawi yang telah menyebutkan hadith al-Ghadir. Semuanya daripada ulama-ulama besar Ahlu s-Sunnah. Ayatullah al-'Uzma Sayyid Syihab al-Din al-Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq karangan al-Sa'id al-Syahid al-Qadhi Nur Allah al-Tastari, al-Allamah al-Amini di dalam bukunya al-Ghadir. Begitu juga al-Imam al-Sayyid bin Tawus RH di dalam bukunya al-Iqbal (hlm. 663) telah menyenaraikan nama-nama ulama besar Ahlu s-Sunnah bahawa sesungguhnya mereka telah meriwayatkan hadith al-Ghadir dan memperakukan kesahihannya. Rujuklah kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman!
0 comments:
Post a Comment