Saturday, August 29, 2009

Syi'ah dan Sunnah Nabawiyyah - Hadith Thaqalain - Bahagian 1

Hadith Thaqalain (Hadith dua perkara yang berharga)

Sabda Nabi SAW:"Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian thaqalain (dua perkara yang berharga) Kitab Allah dan itrah Ahlu l-Baitku. Sekiranya kalian berpegang kepada kedua-duanya nescaya kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya."

Hadith ini telah mencapai kemuncak kemasyhurannya sehingga sumber-sumber rujukannya tidak dapat dipertikaikan lagi. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Sunnah dan Syi'ah serta mereka mengakui kesahihannya. Malah ianya diketahui oleh segenap lapisan masyarakat dan dihafal oleh orang yang tua dan muda, alim dan jahil. Lantaran itu ianya hampir sampai had kemutawatirannya.

Meskipun perawi-perawinya tidak sepakat mengenai nas hadith ini, tetapi perselisihan pendapat itu tidak akan menambahkan matlamatnya sehingga ia tidak akan menjadi alasan bagi penakwilannya dan tidak akan menjadi sebab bagi melepaskan diri dari beban pengertiannya.

Tetapi perselisihan menyaksikan apa yang diperkatakan bahawa Rasulullah SAW telah bercakap mengenai pengertian hadith yang mulia ini di beberapa tempat dengan menjaga menyatuan makna serta matlamatnya.

Sebagaimana bilangan perawi-perawi di dalam hadith ini dan berbagai cara periwayatannya menggambarkan kepada kita bahawa ianya telah berlaku di beberapa tempat. Di antaranya berlaku di Haji Wida', di Hari Wida', di Hari Arafah ketika perhimpunan orang ramai, di Hari Ghadir Khum sebagaimana di dalam khutbahnya. Ianya berlaku ketika Nabi SAW sedang gering dan ketika berwasiat kepada ummatnya.

Di sini aku kemukakan kepada anda wahai pembaca yang budiman sebahagian daripada nama-nama pemuka Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith thaqalain di dalam sahih-sahih, musnad-musnad, sunan-sunan, tafsir-tafsir, sirah-sirah, tarikh-tarikh mereka seperti berikut:

Muslim di dalam Sahihnya mengutip sabda Nabi SAW: Aku tinggalkan kepada kalian Thaqalain (dua perkara yang berharga) pertamanya Kitab Allah padanya petunjuk dan cahaya. Oleh itu ambillah kalian dengan Kitab Allah dan peganglah kepadanya. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahlu l-Baitku ini.

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada Sa'id al-Khudri daripada Nabi SAW bersabda: Aku hampir dipanggil (oleh Tuhanku) dan aku segera menyahutinya. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian al-Thaqalain (dua perkara yang berharga) Kitab Allah dan 'Itrahku. Kitab Allah adalah tali yang terbentang daripada langit ke bumi dan 'Itrahku Ahlu l-Baitku. Sesungguhnya Allah SWT memberitahuku tentang kedua-duanya. Sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga dikembali kepadaku di Haudh. Maka kalian jagalah baik-baik kedua peninggalanku itu.

Al-Muttaqi al-Hindi meriwayatkan hadith ini di dalam Kanz al-Ummal. Sementara al-Turmudhi di dalam Sahihnya daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari dia berkata: Aku melihat Rasulullah SAWAW di Haji Wida' hari Arafah ketika beliau berada di atas unta dan bersabda: Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian, jika kalian mengambilnya nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan 'Itrah Ahlu l-Baitku. Al-Turmudhi berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Dhar, Abu Sa'id, Zaid bin Arqam dan Huzaifah bin Usayd.

Al-Turmudhi juga meriwayatkannya daripada Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian selama kalian berpegang teguh kepadanya, kalian tidak akan sesat selepasku. Salah satunya lebih besar daripada yang lain: Kitab Allah merupakan tali yang terbentang daripada langit dan bumi dan 'Itrah Ahlu l-Baitku. Kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Kalian jagalah baik-baik dan bagaimana kalian memperlakukan kedua-dua peninggalanku. Al-Turmudhi selepas mengeluarkan hadith ini menyatakan bahwa hadith ini adalah hadith Hasan.

Al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, al-Hakim di dalam al-Mustadrak daripada Zaid bin Arqam, sesungguhnya Nabi SAW bersabda semasa Haji Wida': Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian Thaqalain (dua perkara yang berharga) salah satunya lebih besar dari yang lain; Kitab Allah dan Itrahku. Oleh itu jagalah kedua-duanya peninggalanku itu. Sesungguhnya kedua-duanya itu tidak akan berpisah sehingga dikembalikan di Haudh. Al-Hakim selepas mengemukakan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini adalah sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim. Juga al-Dhahabi di dalam Talkhisnya.

Al-Qunduzi al-Hanafi dalam Yanabi' al-Mawaddah meriwayatkan daripada Imam al-Ridha AS bahawa beliau berkata tentang itrah: Mereka disabdakan Rasulullah SAW: Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga: Kitab Allah dan 'itrah Ahlu l-Baitku. Sesungguhnya kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Dan jagalah baik-baik kedua-dua peninggalanku itu. Wahai manusia, janganlah kalian mengajar mereka kerana mereka lebih mengetahui daripada kalian. Ibn Kathir telah meriwayatkan hadith ini di dalam Tafsirnya.

Ibn Hajr di dalam Sawa'iqnya bab kesebelas menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan dengan banyak. Ketahuilah bahawa hadith Thaqalain telah diriwayatkan oleh lebih daripada dua puluh sahabat. Ada yang menyatakan ianya berlaku di Haji Wida' di Arafah, ada yang menyatakan di Madinah ketika Rasulullah SAW sedang gering di mana biliknya dipenuhi oleh para sahabat. Ada yang menyatakan ianya berlaku selepas beliau pulang dari Taif. Walau bagaimanapun ianya tidak menjadi halangan jika beliau mengulangi hadith tersebut di tempat-tempat yang berlainan kerana penekanan beliau yang serius terhadap Kitab Allah dan 'itrahnya yang suci.

Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: Aku melintasi kalian ketika kalian dibentangkan di hadapan Haudh. Sesungguhnya aku akan bertanya kepada kalian ketika kalian dikembalikan kepadaku tentang Thaqalain. Dan lihatlah bagaimana kalian memperlakukan kedua-dua peninggalanku. Mereka bertanya: Apakah Thaqalain (dua perkara yang berharga) wahai Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Yang pertama adalah yang paling besar iaitu Kitab Allah (berada) 'di tangan' Allah dan di tangan kalian. Justeru itu kalian berpeganglah dengannya. Janganlah kalian menjadi sesat, dan janganlah kalian menukarnya dan kedua 'itrah Ahlu l-Baitku.

Al-Darimi telah menyebutkannya di dalam al-Sunan, al-Nasa'i di dalam al-Khasa'is dan al-Khanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib. Abu Nua'im al-Isfahani di dalam al-Hilyah, Ibn al-Kathir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah, Ibn Abd Rabbih di dalam al-Iqd al-Farid, Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Khawwas, al-Halabi al-Syafi'i di dalam Insan al-'Uyun, Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib, al-Nisaburi di dalam Tafsirnya, al-Khazin di dalam Tafsirnya, Ibn Abi l-Hadid di dalam Syarh Nahj al-Balaghah, Syablanji di dalam Nur al-Absar, Ibn Sibaqh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah, dan al-Baghawi al-Syafi'i di dalam Masabih al-Sunnah.

Sayyid Syarafuddin RH menyatakan di dalam bukunya al-Muraja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah) bahawa buku-buku sahih yang mewajibkan berpegang kepada Thaqalain (dua perkara berharga) adalah Mutawatir, dan ianya telah diriwayatkan oleh lebih dua puluh sahabat. Di mana Rasulullah SAW telah bersabda di tempat yang banyak, di hari Ghadir Khum, hari Arafah di Haji Wida', selepas kembalinya dari Taif, di atas mimbar masjidnya di Madinah dan akhirnya di dalam biliknya semasa sakitnya. Bilik di waktu itu dipenuhi oleh para sahabat. Beliau bersabda: Wahai manusia! Hampir nyawaku diambil dengan cepat, dia (Izra'il) sedang datang kepadaku. Dan sesungguhnya aku telah mengemukakan kepada kalian kitab Allah 'Azza Wa Jalla dan 'Itrah Ahlul Baitku. Kemudian beliau mengambil tangan 'Ali lalu mengangkatnya sambil bersabda: Ini 'Ali bersama al-Qur'an, dan al-Qur'an bersama 'Ali kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya kembali kepadaku di Haudh.

Anda mengetahui perkataan khutbah SAW di hari itu tidaklah berhenti dengan perkataan ini sahaja, tetapi sayangnya politik telah membelenggukan lidah-lidah pakar-pakar hadith, dan menahan pena penulis-penulis. Meskipun titisan yang sedikit (ini) dari lautan itu dan serpihan yang kecil dari keseluruhannya adalah memcukupi. al-Hamdulillah.

Sayyid Hasyim al-Bahrani dalam Ghayat al-Muram menyatakan bahawa hadith Thaqalain telah diriwayatkan dengan tiga puluh sembilan cara menurut Ahlu l-Sunnah dan lapan puluh dua cara menurut Syi'ah daripada Ahlu l-Bait AS.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster