Monday, August 31, 2009

Pujian Rasulullah saw

Orang yang pertama menggunakan nama Syi'ah bagi pengikut-pengikut 'Ali Amiru l-Mukminin AS ialah Rasulullah SAW. Beliaulah orang yang meletakkan batu asas dan menyemaikan benihnya yang pertama. Dan orang yang memperkuatkannya ialah Imam Amiru l-Mukminin 'Ali AS. Pada masa itu Syi'ah dikenali dengan Syi'ah 'Ali AS.

Ibn Khaldun berkata di dalam Muqaddimahnya bahawa Syi'ah dari segi bahasa bererti sahabat dan pengikut. Dan dari segi istilah Fuquha' dan Mutakallimun dahulu dan sekarang ialah pengikut 'Ali dan anak-anaknya.

Muhammad Kurdi 'Ali di dalam Khutatal-Syam berkata:"Tidak perlu bagi kita mencari dalil bahawa sebahagian sahabat dikenali dengan Syi'ah Ali. Dan dia berkata lagi:'Adapun sebahagian penulis mengatakan bahawa mazhab Syi'ah adalah daripada bid'ah 'Abdullah bin Saba' yang dikenali dengan Ibn Sauda' adalah tidak dikenali di dalam mazhab mereka.' Muhammad Kurdi 'Ali bukanlah seorang Syi'ah malah seorang yang menentang Syi'ah. Tetapi 'kebenaran membuatkan orang yang insaf atau degil bercakap.'

Hadith-hadith yang menyokong hujahku daripada pakar-pakar bahasa Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah lebih-lebih lagi hadith menurut Ahlu s-Sunnah sebagai penerangan kepada hujahku seperti berikut:

Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas bahwa dia berkata: Manakala Allah SWT menurunkan (Surah al-Bayyinah (98): 7):"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk." Rasulullah SAW bersabda kepada 'Ali:'Mereka itulah anda dan Syi'ah anda. Dan Syi'ah anda datang pada hari kiamat di dalam keadaan ridha dan diridhai dan musuh anda datang dengan marah dan dibelenggu.' Beliau berkata, siapakah musuhku? Nabi SAW bersabda:'Orang yang membersihkan diri mereka daripada anda dan melaknati anda.'

Al-Hamawaini al-Syafi'i di dalam Fara'id al-Simtin dengan sanadnya daripada Jabir bahawa dia berkata:"Kami berada di sisi Nabi SAW maka 'Ali AS pun datang. Rasulullah SAW bersabda:'Saudaraku telah datang kepada kalian.' Kemudian beliau bersabda:'Demi diriku di tanganNya. Sesungguhnya ini ('Ali AS) dan Syi'ahnya, mereka itulah orang yang menang (al-Fa'izun) pada hari kiamat. Sesungguhnya beliaulah orang yang pertama di kalangan kalian beriman bersamaku, orang yang paling setia di kalangan kalian dengan janji Allah SWT, orang yang paling teguh di kalangan kalian dengan suruhan Allah SWT, orang yang paling adil di kalangan kalian tentang orang di bawah jagaannya, orang yang paling adil di kalangan kalian di dalam pembahagian dan orang yang paling tinggi martabatnya di kalangan kalian di sisi Allah SWT.'

Dan dia berkata:(Surah al-Bayyinah(98): 7) diturunkan kepada 'Ali AS. Dia berkata lagi: Sahabat-sahabat Muhammad SAW apabila 'Ali AS datang kepada mereka, mereka berkata: Sebaik-baik makhluk telah datang.

Al-Khawarizmi al-Hanafi di dalam Manaqibnya telah meriwayatkannya daripada Jabir daripada Nabi SAW. Dia juga meriwayatkannya daripada al-Mansur al-Dawaniqi di dalam hadith yang panjang daripada Nabi SAW mengenainya. Nabi SAW bersabda:'Sesungguhnya 'Ali dan Syi'ahnya besok merekalah yang mendapat kemenangan di hari kiamat, memasuki syurga.'

Dia juga meriwayatkan daripada Nabi SAW, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:'Wahai 'Ali! Sesungguhnya Allah telah mengampuni untuk anda, keluarga anda, Syi'ah anda dan pencinta-pencinta Syi'ah anda.' Di dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:'Ali adalah orang yang paling alim, paling awal Islam.' Sesungguhnya Syi'ah beliaulah mendapat kemenangan di hari esok.'

Di dalam riwayat yang lain pula Nabi SAW bersabda:'Sekiranya tidak ada golongan yang akan berkata kepada anda sebagaimana diperkatakan oleh Nasara tentang 'Isa AS, nescaya aku akan berkata sesuatu mengenai anda dan mereka akan mengambil tanah di bawah kedua tapak kaki anda, dan dari 'lebihan air basuhan' anda untuk bersyafa'at dengannya. Tetapi cukuplah kedudukan anda di sisiku sebagaimana kedudukan Harun di sisi Musa. Aku adalah daripada anda, anda mewarisiku dan aku mewarisi anda melainkan tidak ada nabi selepasku. Andalah yang membersihkan dhimmahku. Syi'ah anda akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya. Dan sesungguhnya kebenaran berada di atas lidah anda, di hati dan di dahi anda.'

Aku berpendapat: Hadith yang mengandungi pengertian ini juga telah diriwayatkan di dalam Kifayah al-Talib, Tarikh Baghdad, Majma' al-Zawa'id, Wasilah al-Muta'abbidin dan lain-lain buku Ahlu s-Sunnah Wa l-Jama'ah.

Al-Khawarizimi al-Hanafi juga meriwayatkan di dalam Manaqibnya hadith yang panjang dengan sanadnya daripada Ibn 'Abbas marfu':'Sesungguhnya Jibra'il memberitahu bahawa 'Ali dan Syi'ahnya bergembira bersama Muhammad di syurga.'

Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah meriwayatkan daripada 'Ali AS. Sesungguhnya beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:'Wahai Ali! Anda akan mendatangi Allah dan Syi'ah anda di dalam keadaan redha dan diredhai. Musuh anda akan mendatangi kemarahanku di dalam keadaan terbelenggu. Kemudian diikat kedua-dua tangannya di tengkuknya. Dan memperlihatkan kepada mereka belenggu-belenggu tersebut.' Ibn Hajr berpendapat bahawa Syi'ah di dalam hadith-hadith tersebut dimaksudkan dengan Ahlu s-Sunnah. Kerana Syi'ah menurutnya dilaknati Allah kerana bid'ah mereka.

Al-Qunduzi al-Hanafi meriwayatkan di dalam Yanabi' al-Mawaddah daripada Mawaddah al-Qurba karangan al-Hamdani al-Syafi'i di dalam al-Mawaddah al-Thaniah daripada Abu Dhar daripada Nabi SAW sesungguhnya beliau bersabda:'Sesungguhnya Allah melihat ke bumi daripada 'ArasyNya lalu memilihku, memilih 'Ali untukku sebagai menantuku, memberikan kepadanya Fatimah dan Dia tidak memberikan kelebihan kepada seorangpun daripada anak-anak lelakinya. Dia memberikan kelebihan kepada Hasan dan Husain dan Dia tidak memberikannya kepada seorangpun seumpamanya. Dia telah memberikan kepadanya mertuanya seumpamanya. Dia telah memberikan kepadaku al-Haudh. Dia juga telah menjadikannya ('Ali) sebagai pembahagi syurga dan neraka di mana Dia tidak memberikannya seumpamanya kepada para malaikat. Dia telah menjadikan Syi'ahnya di syurga. Dia memberikan kepadaku saudaraku seumpama aku dan tidak ada seorangpun 'saudara lelaki' seumpamaku.'

Wahai saudaraku! Sesiapa yang ingin memadamkan kemarahan Tuhan, dan ingin supaya Allah menerima amalannya, maka hendaklah dia mencintai 'Ali bin Abu Talib kerana mencintainya menambahkan keimanan. Dan mencintainya dapat mencairkan segala kejahatan sebagaimana api dapat mencairkan logam.

Dia juga meriwayatkannya di dalam Yanabi' al-Mawaddah bahawa Anas bin Malik berkata: Nabi SAW bersabda:'Jibra'il memberitahuku bahawa sesungguhnya Allah mencintai 'Ali. Dia tidak mencintai para malaikat sebagaimana Dia mencintai 'Ali. Setiap kali Allah bertasbih. Dia menjadikan beberapa Malaikat yang mengucap istighfar kepada orang yang mencintainya ('Ali) dan Syi'ahnya sehingga hari kiamat.'

Dan di dalam riwayat yang lain Nabi SAW ditanya tentang 'Siapakah yang berteduh di bawah bendera anda? Nabi SAW bersabda:'Mukminun para wali Allah, Syi'ah yang benar, Syi'ahku dan Syi'ah Ali, pencinta-pencintanya, penolong-penolongnya. Alangkah beruntungnya mereka dan sebaik-baik darjat. Dan neraka wail bagi orang yang membohongi aku tentang 'Ali atau membohongi 'Ali keranaku, atau mempertikaikannya mengenai maqamnya yang dikurniakan Allah SWT.

Ibn al-Maghazali al-Syafi'i di dalam Manaqibnya dengan sanadnya daripada Nabi SAW bahawa dia berkata: Nabi SAW bersabda:'Ummat aku yang akan memasuki syurga sebanyak tujuh puluh ribu orang tanpa hisab.' Kemudian beliau berpaling kepada 'Ali AS dan bersabda:'Mereka itu adalah Syi'ah anda dan anda adalah imam mereka.'

Ibn al-Sibagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah, al-Syablanji di dalam Nur al-Absar meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas bahawa dia berkata: Manakala turunnya ayat (Surah al-Bayyinah(98): 7), Nabi SAW bersabda kepada 'Ali:'Anda dan Syi'ah anda datang pada hari kiamat di dalam keadaan redha dan meredhai, sementara musuh-musuh anda datang di dalam keadaan marah dan terbelenggu.'

Ibn al-Maghazali al-Maliki di dalam Manaqibnya meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa dia berkata: Aku bertanya Rasulullah SAW tentang firmanNya (Surah al-Wiqi'ah (56):10-11)'Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah).' Beliau menjawab: Jibra'il telah memberitahu kepadaku bahawa maksud ayat itu ialah 'Ali dan Syi'ahnya yang mendahului ke syurga, dan hampir kepada Allah kerana kekeramatannya.'

Ahmad bin Hanbal di dalam Manaqibnya menerangkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Ali AS:'Wahai 'Ali! Tidakkah anda redha, sesungguhnya anda bersamaku di syurga, Hasan dan Husain, zuriat kita di belakang kita, isteri-isteri kita di belakang zuriat-zuriat kita dan syi'ah kita yang mempercayai kita mempunyai akhlak yang terpuji.

Dan banyak lagi hadith-hadith Nabi SAW mengenai pujian beliau terhadap Syi'ah 'Ali dan Ahlu l-Baitnya telah diriwayatkan oleh para ulama Ahlu s-Sunnah di dalam Sahih-sahih, Musnad-musnad, dan karangan-karangan mereka. Al-'Allamah Sayyid al-'Abbas al-Husaini al-Kasyani telah mencatat lebih daripada seratus hadith yang muktabar semuanya menurut Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah di dalam bukunya berjodol al-Syi'ah wa l-'Itrah al-Tahirah.

Aku berdoa ke hadrat Allah SWT supaya memberkati Sayyid al-Kasyani dan semua ulama kami yang Abrar agar semua karya mereka dapat dicetak bagi faedah kaum Muslimin.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster