Monday, August 31, 2009

Hadith-hadith mengenai Amirul Mukminin dan zuriatnya - Bahagian 5

37. Penyaksian Abu Bakr RD

Al-Bahrani di dalam Ghayah al-Maram daripada al-Turmudhi bahawa dia berkata: Abu Bakr berkata: Pecatlah aku (dari jawatan khalifah) kerana 'Ali lebih berhak daripada aku. Dia (Turmudhi) berkata: Dia (Abu Bakr) berkata sedemikian kerana dia mengetahui kedudukan 'Ali dan martabatnya yang tinggi bagi memegang jawatan Khalifah.

38. Penyaksian Umar RD


Ibn Abi l-Hadid al-Muktazili di dalam Syarh Nahj al-Balaghah daripada Umar bin al-Khattab RD sesungguhnya dia berkata:'Demi Tuhan sekiranya pedangnya ('Ali) tidak ada nescaya tidak tegaknya Islam, beliau seorang yang paling alim di kalangan ummat ini, paling awal Islamnya dan mempunyai kemuliaan yang tinggi
.'

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya, al-Hakim di dalam Mustadraknya daripada 'Umar bin al-Khattab RD sesungguhnya dia berkata:'Sesungguhnya 'Ali dikurniakan tiga perkara, sekiranya aku memiliki salah satu daripadanya lebih aku cintai dari keseluruhan nikmat dunia ini, isterinya Fatimah bin Rasulullah SAW, Rasulullah membenarkannya tinggal di masjidnya sebagaimana Rasulullah SAW dan bendera di Hari Khaibar.'


39. Penyaksian 'Aisyah RD


Al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin menyatakan bahawa 'Aisyah telah berkata mengenai 'Ali AS:'Beliau adalah orang yang paling alim di dalam Sunnah Nabi SAW.'

Kenyataan ini juga telah diriwayatkan oleh Muhibuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, Ibn Abd al-Birr di dalam al-Isti'ab, Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah dan lain-lain.


40. Penyaksian Ibn 'Abbas RD


Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa dia berkata:Sesungguhnya al-Qur'an telah diturunkan dengan tujuh huruf, setiap huruf mempunyai pengertian zahir dan batin. Sesungguhnya 'Ali bin Abi Talib mengetahui ilmu zahir dan batin.


41. Penyaksian Ibn Mas'ud RD


Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah meriwayatkan daripada Ibn Mas'ud bahawa dia berkata: al-Qur'an telah diturunkan dengan tujuh huruf mempunyai pengertian zahir dan batin. 'Ali mengetahui pengertian al-Qur'an zahir dan batin.


42. Penyaksian Taghut Muawiyah


Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya meriwayatkan daripada Muawiyah bahawa dia berkata:Sesungguhnya 'Ali adalah utusan Allah, beliau diliputi cahaya ilmu; dan dia juga berkata: Apabila 'Umar menghadapi masalah, dia merujuk kepadanya ('Ali).


43. Penyaksian Dhirar di hadapan Taghut Muawiyah.

Ibn al-Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah, Ibn al-Jauzi di dalam Tadhirah al-Khawwas dan ulama-ulama Ahlu s-Sunnah yang lain, menyatakan bahawa Dhirar bin Dhumah menemui Muawiyah. Muawiyah berkata kepadanya: Ceritakan kepadaku mengenai 'Ali. Dia menjawab: Adakah anda akan memaafkan aku? Muawiyah menjawab: Aku tidak memaafkan anda. Dhirar berkata: Jika ianya satu perkara yang mesti aku perkatakan maka demi Allah beliau ('Ali) menghukum dengan adil, ilmunya terpancar dari segenap pelusuk, hikmah bercakap di sekitarnya, beliau takut kepada kilauan dunia, bermunajat di waktu malam, menangis, banyak berfikir.....beliau seperti kita. Beliau menjawab apabila ditanya dan mendatangi kita apabila kita menjemputnya....Dia berkata: Air mata Muawiyah mengalir di atas janggutnya. Dia cuba mengesatnya dengan tapak tangannya dan orang ramai turut menangis.


44. Penyaksian 'Umru bin al-'As


Al-Khawarizmi al-Hanafi di dalam Manaqibnya menyatakan bahawa Muawiyah telah mengutus surat kepada 'Umru bin al-'As supaya dia melibatkan diri di dalam peperangan menentang Imam Ali AS. 'Umru bin al-'As menjawab surat Muawiyah dengan menyebutkan kelebihan-kelebihan 'Ali bin Abu Talib. Di antaranya: Bagaimana aku akan menolong anda di atas kebatilan dan menghunus pedang ke muka 'Ali. Beliau adalah saudara Rasulullah SAW, wasinya, pewarisnya, pembayar hutangnya dan orang yang melaksanakan janjinya. Walau bagaimanapun akhirnya dia melibatkan dirinya di dalam peperangan menentang 'Ali AS selepas mendapat tawaran yang istimewa daripada Muawiyah.


45. Penyaksian Muawiyah Kedua


A-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah daripada Ibn al-Jauzi daripada Qadhi Abu Ya'la di dalam Kitabnya selepas menyebut jenayah-jenayah Yazid bahawa sesungguhnya Muawiyah bin Yazid manakala dilantik menjadi khalifah, dia menaiki mimbar dan berkata: Sesungguhnya khalifah ini adalah tali Allah Ta'ala. Sesungguhnya datukku Muawiyah telah merebutnya daripada orang lebih berhak menjadi khalifah daripadanya iaitu 'Ali bin Abu Talib.


46. Penyaksian 'Umar bin 'Abdu al-'Aziz


Ibn al-Jauzi al-Hanafi di dalam Tadhkirah al-Khawwas74 daripada Umar bin 'Abdu l-'Aziz sesungguhnya dia berkata: Kami tidak mengetahui seorangpun daripada ummat ini selepas Rasulullah SAW lebih zuhud daripada 'Ali bin Abu Talib.


47. Penyaksian Mansur al-Dawaniqi


Al-Khawarizmi di dalam Manaqibnya bab 16 daripada Sulaiman bin Mihran daripada al-Mansur, sesungguhnya dia menceritakan kepadanya tentang kemuliaan kedudukan 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Akhirnya Sulaiman berkata kepada al-Mansur: Berilah jaminan keselamatan kepadaku. Al-Mansur menjawab: Aku beri jaminan keselamatan kepada anda. Maka dia berkata: Apa pendapat anda pada mereka yang membunuh mereka itu? Al-Mansur menjawab: Di neraka tidak syak lagi. Dia bertanya lagi: Apa pendapat anda pada orang yang membunuh anak-anak mereka dan anak-anak cucu mereka? Al-Mansur mengeleng kepalanya sambil menunjukkan sikap kurang senangnya kepada pertanyaan tersebut
.


48. Penyaksian Harun al-Rasyid


Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah mencatat bahawa al-Makmun telah meriwayatkan daripada bapanya al-Rasyid bahawa dia berkata kepada anak-anaknya tentang hak Musa al-Kazim: Ini adalah imam manusia, hujjah Allah ke atas makhlukNya, dan khalifahNya ke atas hamba-hambaNya. Aku adalah imam orang ramai pada zahir melalui paksaan dan kekuatan. Demi Allah sesungguhnya beliau lebih berhak dengan maqam Rasulullah SAW daripada aku dan daripada semua makhluk. Tetapi demi Allah, sekiranya beliau mempertikaikan aku tentang khalifah, nescaya aku mengungkilkan kedua-dua matanya.


49. Penyaksian Al-Makmun


Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah menceritakan tentang surat al-Makmun kepada Bani 'Abbas manakala mereka cuba mengalihkan pandangannya dari perlantikan Imam al-Ridha AS sebagai penggantinya. Di antaranya dia berkata: 'Ali adalah orang yang paling alim di kalangan mereka tentang agama Allah. Beliau dilantik oleh Nabi SAW sebagai wali Mukminin di-Ghadir Khum. Beliau adalah nafs al-Nabi di Hari Mubahalah. Allah telah mengumpulkan segala kelebihan untuknya dan menurunkan ayat-ayat Qur'an memujinya. Kita dan anak-anak 'Ali AS pada mulanya 'satu tangan' (bekerjasama) sehingga kita menguasai urusan khalifah. Lalu kita mengenakan tekanan ke atas mereka, dan kita membunuh mereka lebih ramai daripada pembunuhan yang dilakukan oleh Bani Umayyah terhadap mereka.


50. Penyaksian Abu Hanifah


Diriwayatkan dari Manaqib 'Ali bin Abi Talib tentang Imam Ja'far al-Sadiq AS daripada Musnad Abu Hanifah dia berkata: Husain bin Zaid berkata: Aku mendengar Abu Hanifah ditanya tentang siapakah orang yang paling alim yang anda ketahui? Dia menjawab: Ja'far bin Muhammad. Apabila dipanggil oleh Khalifah al-Mansur, dia berkata kepadaku: Wahai Abu Hanifah! Sesungguhnya orang ramai menabur fitnah tentang Ja'far bin Muhammad. Oleh itu sedialah soalan-soalan anda yang tajam untuknya. Akupun menyediakannya empat puluh masalah. Kemudian aku diutuskan untuk berjumpa Khalifah al-Mansur di Hirah. Maka akupun mendatanginya. Ja'far al-Sadiq berada di kanannya. Manakala aku melihat kepadanya, aku mulai merasa kehebatan Ja'far al-Sadiq melebihi kehebatan Khalifah al-Mansur. Akupun memberi salam kepadanya. Maka dia memberi isyarat kepadaku supaya duduk. Maka akupun terus duduk kemudian dia berkata: Kemukakan soalan-soalan anda kepada Abu 'Abdillah (Imam Ja'far al-Sadiq). Akupun mengemukakannya kepadanya dan beliau memberi jawapan kepada aku dan berkata: Kalian berpendapat begitu, penduduk Madinah mempunyai pendapat yang lain. Tetapi kami berkata begini. Kadang-kadang seorang itu menurut kami, kadang-kadang menurut mereka dan kadang-kadang dia menyalahi kami di dalam semua hal, sehingga aku mengemukakan kepadanya empat puluh masalah, maka beliau menjawab semua masalah itu.

Kemudian Abu Hanifah berkata lagi: Tidakkah orang yang paling alim itu ialah orang yang alim tentang perselisihan (pendapat) orang lain?


51. Penyaksian Malik bin Anas


Diriwayatkan daripada Manaqib 'Ali bin Abi Talib daripada Malik bin Anas RD sesungguhnya dia berkata: Mata tidak pernah melihat, telinga tidak pernah mendengar, hati tidak pernah terlintas tentang orang yang lebih baik daripada Ja'far al-Sadiq dari segi keilmuan, ibadah dan kewarakan.


52. Penyaksian Ahmad bin Hanbal


Muhammad bin Talhah al-Syafi'i telah meriwayatkan di dalam Matalib al-Su'ul daripada Ahmad bin Hanbal RD sesungguhnya dia berkata: Tidak ada seorangpun daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW mempunyai kelebihan-kelebihan seperti 'Ali.


53. Penyaksian Muhammad bin Idris al-Syafi'i RD


Sebilangan besar para ulama Ahlus Sunnah telah meriwayatkan di dalam buku-buku mereka bahawa Syafi'i telah ditanya tentang Imam 'Ali bin Abi Talib. Maka dia menjawab: Apakah aku akan ucapkan kepada seorang lelaki di mana musuh-musuhnya mengingkari kelebihannya kerana hasad dan tamak. Sementara pencinta-pencintanya pula menyembunyikan kelebihannya kerana khuatirkan perpecahan. Justeru itu ia melimpahi di antara dua denyutan jantung.

Di sini diperturunkan beberapa bait syair Imam Syafi'i memuji Ahlu l-Bait Rasulullah SAW sebagaimana telah dicatat oleh Ibn Hajr di dalam al-Sawaiq al-Muhriqah.

Wahai Ahlu l-Bait Rasulullah
cinta kalian satu fardhu daripada Allah
di dalam al-Qur'an diturunkan
Kebesaran kalian telah memadai
sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian
tidak ada solat baginya
Ibn al-Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah telah mencatat syair-syair Syafi'i di antaranya Imam Syafi'i berkata:

Sekiranya seorang itu menjadi Rafidhi (Syi'i)
kerana cintanya kepada keluarga Muhammad
hendaklah jin dan manusia persaksikan bahawa
aku seorang Rafidhi (Syi'i)

Imam Syafi'i berkata:

Sekiranya al-Murtadha ('Ali) mendedahkan
kedudukannya
nescaya manusia akan 'sujud' kepadanya....


Imam Syafi'i juga berkata:

Sayangnya sehingga bila
aku dicela kerana mencintai pemuda ini ('Ali)?
Fatimah tidak mengahwini selain daripadanya ('Ali)
selain daripadanya adakah turun Surah Hal Ata?


Ini adalah sebahagian kecil daripada syair-syair Imam Syafi'i yang menerangkan kelebihan 'Ali dan Ahlu l-Baitnya AS. Syair-syair tersebut telah dicatat oleh para ulama Ahlu s-Sunnah di dalam buku-buku mereka. Lantaran itu rujuklah kepada buku-buku tersebut.

Demikianlah dikemukakan sebahagian daripada penyaksian pemuka-pemuka dan pemimpin-pemimpin mereka tentang kelebihan peribadi mulia yang unik di dunia ini selepas Nabi Muhammad SAW. Kerana tidak ada seorangpun sahabat yang dapat menandingi kelebihannya dengan penyaksian penentang-penentangnya sendiri sebagaimana anda mengetahuinya. Ini adalah tulisan daripada limpahan yang banyak.

Sekiranya aku mahu menulis tentang kelebihan Imam 'Ali AS dan mencatat kesemua pendapat pembesar-pembesar ummat ini, cerdik pandai dan lain-lain mengenai kelebihan personaliti yang unik ini, nescaya aku akan memenuhinya dengan berjilid-jilid buku dan aku tidak mampu untuk melakukannya. Walau bagaimanapun tulisan ini sudah cukup bagi orang yang ingin mendengar dan menjadikan dirinya sebagai saksi.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster