Sunday, August 30, 2009

Hadith-hadith mengenai Amirul Mukminin dan zuriatnya - Bahagian 4

30. 'Ali bermalam di tempat tidur Rasulullah SAW.'


Al-Hakim di dalam al-Mustadrak telah meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas bahawa dia berkata:'Ali telah mendedahkan dirinya kepada bahaya, lalu memakai pakaian Nabi SAW. Kemudian beliau tidur di tempatnya. Orang-orang Musyrikin mengejar Nabi SAW kerana ingin membunuhnya. Lalu beliau SAW memakaikan 'Ali burdahnya (kainnya). Lantaran itu mereka mulai mengejar 'Ali kerana menyangka 'Ali adalah Nabi SAW. 'Ali mulai mengeliat-geliut (di tempat tidurnya). Mereka berkata: Sesungguhnya andalah yang malang, anda sedang menggeliat-geliut kerana sakit sedangkan sahabat anda tidak mengeliat-geliut. Dan sesungguhnya kami memprotesnya di hadapan anda.

Diriwayatkan bahawa 'Ali mengungkapkan beberapa bait syairnya mengenai peristiwa tersebut:

Aku menjaga diriku sebaik-baik
orang yang memijakkan anak-anak batu
Dan sebaik-baik orang yang melakukan Tawaf
di Ka'bah dan Hajr (Ismail)
Rasul khuatir mereka melakukan rancangan (pembunuhan)nya
maka beliau diselamatkan Allah dari rancangan (jahat) mereka.
Rasul bermalam di gua dengan aman.
dijaga dengan jagaan Tuhan secara sembunyi.
Aku telah bermalam menjaga mereka sehingga mereka tidak menuduhku
Sesungguhnya aku telah menetapkan diriku
sama ada dibunuh atau ditawan.


31. 'Ali telah memecahkan berhala Quraisy yang paling besar.


Al-Hakim di dalam al-Mustadrak telah meriwayatkan hadith ini dengan membuang sanadnya daripada Ali AS beliau berkata:"Pada masa aku diperintahkan oleh Rasulullah SAW supaya aku tidur di atas hamparannya. Aku dan Rasulullah SAW datang ke Ka'bah yang dikelilingi berhala-berhala. Lalu beliau memerintahkan aku supaya duduk di tepi Ka'bah, akupun duduk. Kemudian Rasulullah SAW menaiki di atas bahuku kemudian beliau berdiri, maka akupun berdiri. Tetapi manakala beliau melihat kelemahanku di bawahnya beliau bersabda:Duduklah. Lalu akupun duduk dan aku menurunkannya dariku. Lalu Rasulullah SAW berdiri kemudian beliau berkata kepadaku: Wahai 'Ali! Naiklah di atas bahuku, maka akupun menaiki di atas bahunya. Kemudian Rasulullah SAW berdiri. Aku berfikir andainya aku mahu nescaya aku boleh sampai ke langit. Akupun menaiki Ka'bah lalu Rasulullah menjauhkan dirinya. Maka akupun mencampakkan berhala mereka yang paling besar yang dibuat daripada tembaga yang dicampur dengan besi. Dan akhirnya aku memecah-mecahkannya dan akupun turun."


32. 'Ali telah menyampaikan Surah al-Bara'ah kepada penduduk Makkah.


Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya, al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, al-Turmudhi di dalam Sahihnya, al-Hakim di dalam al-Mustadraknya, al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal, Ibn Hajr al-Asqalani di dalam al-Isabah dan Ibn Hajr al-Haithami di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah menerangkan bahawa Nabi SAW telah memerintahkan Ali AS supaya menyampaikan Surah al-Bara'ah kepada penduduk Makkah. 'Ali terpaksa mengambil tugas ini daripada Abu Bakr kerana ianya mesti dilakukan sam ada oleh Nabi SAW sendiri atau seorang lelaki daripada keluarganya.


33. 'Pengakuan 'Umar tentang kelebihan 'Ali AS.'


Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib, al-Tabari di dalam Riyadh al-Nadhirah, Ibn al-Sibbaqh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah, al-Suyuti di dalam Tarikh al-Khulafa' meriwayatkan daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn Abbas daripada Umar dia berkata:'Ali adalah orang yang paling alim di kalangan kami.'

Ibn 'Abd al-Birr di dalam al-Isti'ab meriwayatkan daripada Sa'id bin al-Musayyab dia berkata:'Umar sentiasa meminta perlindungan daripada permasalahan di mana Abu l-Hasan tidak ada (bersamanya).


34. Kata-kata 'Umar bahawa kemuliaan tidak akan sempurna melainkan dengan wilayah 'Ali.


Ibn Hajar di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah meriwayatkan bahawa Umar berkata:Ketahuilah kalian bahawa kemuliaan tidak akan sempurna melainkan dengan wilayah 'Ali.


35. Penyaksian Nabi SAW tentang keilmuan 'Ali AS.


Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddahdaripada 'Abbas dia berkata: Nabi SAW bersabda:'Manakala aku berjalan di 'hadapan" Tuhanku, Dia berkata-kata dan 'bermunajat" denganku. Aku memberitahu kepada 'Ali apa yang aku mengetahuinya. Beliaulah pintu ilmuku. Dan di dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda kepada 'Ali. Siapa yang mahu melihat kepada Adam tentang ilmunya, kepada Nuh tentang kecekapannya, kepada Ibrahim tentang lemah lembutnya, kepada Musa tentang kebijaksanaanya kepada 'Isa tentang kezuhudannya, maka hendaklah dia melihat kepada 'Ali bin Abi Talib.'

Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Sumtin, al-Khawarizmi dan al-Maghazali di dalam Manaqib mereka, Kamaludian al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul, Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah, Abu Nu'aim di dalam Hilyah al-Auliya', al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib, Ibn Mardawaih di dalam Manaqibnya daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda di rumah Umm Habibah:'Sesungguhnya anda ('Ali) akan menyampaikan risalahku denganku, menunaikannya sebagai penggantiku, memperdengarkan kepada orang ramai suaraku, dan mengajar mereka dari kitab Allah apa yang mereka tidak mengetahuinya.'

Aku berpendapat: Ini adalah sebahagian kecil daripada hadith-hadith yang banyak yang menunjukkan keilmuan Amirul Mukminin dan Ahlu l-Baitnya yang telah dijadikan Allah sebagai khazanah ilmunya dan pemegang amanah ke atas hamba-hambanya dengan penyaksian Rasulullah SAW, jurucakap yang dipercayai yang tidak bercakap menurut hawa nafsunya malah dengan wahyu yang diwahyukan kepadanya. Oleh itu hadith ini tdak dapat disembunyikan lagi bahawa ianya telah diriwayatkan oleh orang-orang yang thiqah daripada ulama-ulama Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah. Dan di sana banyak lagi hadith-hadith yang telah dicatat oleh ulama-ulama Syi'ah al-Abrar. Justeru itu, buatlah rujukan kepada buku-buku mereka, nescaya anda akan mendapati di dalamnya apa yang dihajati oleh anda.


36. Penyaksian para ulama tentang keilmuan 'Ali dan keluarganya yang disucikan.


Amiru l-Mukminin AS semenjak lahirnya matahari Islam dan permulaan dakwah sehingga hari ini sentiasa menjadi bahan keilmuan dan penghormatan mereka di seluruh dunia pada setiap masa dan tempat. Mereka melihat beliau sebagai contoh yang tinggi bagi manusia sempurna yang mempunyai sifat-sifat kelebihan, kesempurnaan dan gambaran yang indah bagi seorang lelaki muslim yang tertumpu kepadanya ajaran-ajaran Islam yang bernilai dan contoh-contoh kemanusiaan yang tinggi.

Lantaran itu kita dapati pemimpin-pemimpin ummat, pembesar-pembesar mereka, para cendikiawan mereka menyokong kelebihannya dan mengisytiharkan kepada orang ramai tentang kebesarannya yang luar biasa dan kecerdikannya yang unik. Serta kelebihannya di atas semua ummat pada segala sifat-sifatnya yang baik. Justeru itu tiga khalifah (Abu Bakr, 'Umar, 'Uthman) merujuk apa yang mereka perlu kepadanya di dalam pentadbiran hukum. Mereka amat memerlukannya yang menunjukkan bahawa beliau adalah imam kepada semua (imam al-Kull). Perhatikanlah kepada kata-kata Umar bin al-Khattab,"Allah tidak akan meninggalkan aku di dalam permasalahan di mana Abu l-Hasan tidak ada" dan kata-katanya: Sekiranya 'Ali tidak ada nescaya binasalah Umar dan lain-lain lagi. Rasulullah SAW bersabda kepadanya:'Anda sepertilah Ka'bah didatangi dan bukan mendatangi.'

Aku telah mengemukakan, wahai pembaca yang budiman, penyaksian Rasulullah SAW tentang keilmuan 'Ali dan Ahlu l-Baitnya yang disucikan serta hak mereka terhadap jawatan khalifah. Perhatikanlah juga pembesar-pembesar ummat ini dan cerdik pandai mereka dan lain-lain tentang mereka (Ahlu -Bait AS) bahawa merekalah orang yang paling alim, paling baik dan paling berhak daripada orang lain untuk jawatan khalifah menurut al-Qur'an dan Sunnah Nabawiyyah. Semasa aku menulis buku ini, aku sempat membaca dua risalah yang bernilai berjodol Madhab Ahlu -Bait AS karangan al-'Allamah Sayyid 'Ali Naqiy al-Haidar di Baghdad dan Syi'ah wa l-'Itrah al-Tahirah AS karangan al-'Allamah Sayyid al-'Abbas al-Kasyani di Karbala. Kedua-duanya menerangkan penyaksian-penyaksian kebanyakan ulama-ulama ummah dan pemimpin mereka tentang kelebihan Ahlu l-Bait AS. Mereka mengakui keilmuan, kelebihan dan hak mereka terhadap jawatan khalifah daripada orang lain.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster