Monday, August 31, 2009

Dialogku dengan ulama besar - Bahagian 8

Peristiwa Pembohongan

Pada hari kelima bulan Rabi'ul al-Awwal 1379 Hijrah (1969M) aku berada di perpustakaan yang terletak di rumahku di bandar Halab, tiba-tiba dua orang lelaki meminta izin masuk ke perpustakaanku. Maka aku mengizinkan mereka masuk.

Selepas salam dan ucapan selamat datang, aku menjemput mereka duduk. Tetapi jelas kelihatan dukacita terbayang di wajah mereka. Aku bertanya:"Apa keadaan anda berdua?"Seorang daripada mereka berkata kepada sahabatnya:"Ceritakanlah kepada yang mulia syaikh."Lalu dia memberitahuku:"Aku adalah seorang pelajar di sebuah universiti. Dan aku telah berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS semenjak dua tahun yang lalu. Ini disebabkan aku mengkaji buku-buku Syi'ah terutamanya al-Muruja'at (Dialog Sunnah-Syiah) karangan Sayyid Syarafuddin al-Musawi RH. Kelmarin kami menghadiri kuliah seorang profesor di universiti tempatku belajar. Dia mula menentang Syi'ah dan mencaci mereka. Dia mengkritik mazhab Ahlu l-Bait AS dan menentang Syi'ah dengan kuat tetapi dia tidak mengetahui aku seorang Syi'ah. Di antara kata-katanya:"Hadith-hadith Syi'ah semuanya bohong dan suatu rekaan ke atas Rasulullah SAW. Dia berkata lagi:Syi'ah mengharuskan pengumpulan sembilan isteri dengan dalil al-Qur'an (Surah al-Nisa'(4):3:'Maka kahwinilah wanita (lain) yang kamu senangi (dua), mathnathulatha (tiga), atau ruba' (empat).'

Dan mereka manyapu kaki di dalam wudhu selepas basuh. Justeru itu solat mereka adalah tidak sah. Mereka menuduh 'Aisyah berzina, mereka mempertikaikan sahabat kerana mereka berani menentang Allah dan RasulNya. Tuduhan-tuduhannya membuat aku menggeletar dan aku berkata:Subhanallah! Apakah taksub buta daripada Ahlu l-Sunnah, dan kenapa mereka menghalakan pembohongan ini terhadap Syi'ah yang baik. Justeru itu mereka mendedahkan keburukan diri mereka sendiri.

Kemudian aku menghantar surat kepada profesor yang jahil dan ingkar itu. Aku menulis: Wahai profesor, seorang pendidik (mursyid) yang melaung-laungkan untuk mendidik generasi baru. Bagaimanakah anda mendidik pelajar-pelajar anda? Anda mengajar mereka dengan pembohongan-pembohongan, dan anda mengajar mereka dengan akhlak yang buruk yang menyeru kepada perpecahan di kalangan Muslimin.

Telah sampai kepadaku berita bahawa anda kelmarin, bertempat di universiti, telah mengkritik di dalam kuliah anda di hadapan pelajar-pelajar anda tentang Syi'ah yang baik, pengikut-pengikut RasulNya SAW dan wasinya 'Ali Amiru l-Mukminin AS. Anda berkata: Hadith-hadith Syi'ah semuanya bohong dan diada-adakan ke atas Rasulullah SAW. Anda telah menuduh Syi'ah dengan pembohongan, anda berkata:Syi'ah mengharuskan pemgumpulan sembilan isteri berdalilkan firmanNya yang bermaksud:"Maka kahwinlah...."Mereka menyapu di atas kaki di dalam wudhuk sebagai ganti basuh maka sembahyang mereka adalah tidak sah. Mereka menuduh 'Aisyah berzina. Mereka mempertikaikan sahabat kerana berani menentang Allah dan RasulNya.

Apa yang menghairankan ialah kata-kata tersebut datangnya daripada anda seorang profesor. Anda mendakwa bahawa anda seorang pendidik! Apakah tuduhan yang melulu dan celoteh yang jahat ke atas lebih seratus juta Muslimin daripada pengikut-pengikut Rasulullah dan Ahlu l-Baitnya AS? Apakah jawapan anda di sisi Tuhan anda ketika bertemu denganNya di akhirat nanti? Kenapa anda mengumpat dan menuduh Muslimin dengan pembohongan-pembohongan tersebut? Kenapa anda mendedahkan keburukan diri anda dengan khurafat-khurafat anda ini? Zaman sekarang zaman cahaya. Semua mengetahui sesungguhnya anda telah berbohong dan mengada-adakan perkara-perkara tersebut.

Lantaran itu terimalah jawapan ini akibat dari kebodohan anda secara ringkas. Adapun kata-kata anda bahawa hadith-hadith Syi'ah semuanya bohong ke atas Rasulullah, jawapannya tentu tidak, wahai profesor! Perkara itu tidaklah sebagaimana anda sangkakan. Malah perkara itu adalah sebaliknya kerana Syi'ah mengambil ilmu daripada tempat yang bersih; daripada Nabi SAW dan imam-imam Ahlu l-Bait AS yang telah disucikan oleh Allah SWT dari segala kekotoran dosa. Tidak ada unsur luar masuk di dalam mazhab mereka. Justeru itu setiap kali anda mencaci mereka pada hakikatnya cacian itu adalah pada anda sendiri. Kerana perawi-perawi kalian memang terkenal di kalangan umum sebagai pembohong-pembohong. Mereka itu adalah Abu Hurairah, 'Umran bin Hattan, Samurah bin Jundab, ketua Khawarij, 'Umru bin 'As, Marwan, Mughirah bin Syu'bah dan lain-lain lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pembohongan mereka, sila rujuk kepada Kitab al-Ghadir karangan Syaikh al-Amini.

Adapun kata-kata anda Syi'ah mengharuskan nikah sembilan perempuan kerana beramal dengan zahir ayat, maka jawapannya ialah Syi'ah lebih mulia dan lebih tinggi kedudukan mereka dari mengotorkan fikiran mereka yang bercahaya dengan khurafat tersebut. Lantaran itu mereka beramal dengan hukum ayat mulia yang mengharuskan bagi ummat berkahwin empat perempuan ketika mampu melakukan keadilan di kalangan isteri-isteri. Dan jika tidak mampu, maka tidak harus baginya berkahwin lebih daripada satu. Dan sekiranya dia dapat melakukan keadilan, maka tidak mengapa dia mengahwini dua sehingga empat. Oleh itu pengertian ayat kahwinlah....mathna, iaitu dua, thulatha iaitu tiga, dan ruba' iaitu empat. Maka dia tidak boleh kahwin kelima melainkan apabila seorang daripada isterinya mati atau ditalakkan, itupun selepas tamatnya 'iddahnya.

Adapun kata-kata anda: Bahawa Syi'ah menyapu kaki mereka di dalam wudhuk adalah betul. Ianya adalah perkara yang wajib dikehendaki oleh Allah SWT daripada hamba-hambaNya yang Mukallafin. Dan diamalkan oleh Rasulullah SAW dan imam-imam Ahlu l-Baitnya AS. Di atas dasar inilah Syi'ah mengamalkannya dari masa dahulu hingga hari ini dan sehingga hari yang mereka akan dibangkitkan, tanpa meninggalkan imam-imam mereka AS, dan beramal dengan al-Qur'an yang kudus yang tidak akan didatangi kebatilan di hadapannya dan di belakangnya kerana ianya diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Ayat wudhuk (Surah al-Mai'dah(5):6) adalah Muhkamah. Oleh itu ianya tidak ada khilaf selama-lamanya, melainkan bagi orang yang mempunyai di hatinya dua ilmu yang bertentangan satu dengan yang lain.

Kerana hukum Allah SWT yang diturunkan tidak ada khilaf padanya. Sesungguhnya orang yang melakukan khilaf ialah orang yang mengambil ilmunya daripada sesiapa sahaja. Syi'ah mengambil ilmu mereka daripada lautan ilmu Ahlu l-Bait AS yang maksum. Perhatikanlah firmanNya di dalam Surah al-Maidah (5):6:"Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu bangkit untuk mendirikan solat, maka basuhlah (Faghsilu) muka (muka)mu dan tangan (tangan)mu kepada (bersama) siku dan sapulah (imsahu) kepala (kepala)mu dan kaki (kaki)mu sampai kepada kedua maka kaki(al-Ka'bain)."

Ayat ini dengan terang memerintahkan supaya membasuh dua anggota iaitu muka dan dua tangan. Begitu juga ianya menyuruh menyapu dua anggota iaitu kepala dan dua kaki. Ianya merupakan dua jumlah tiap-tiap satu daripada kedua-duanya berdiri dengan sendiri dan tidak ada hubungan dengan yang lain.

Al-'I'rab

Ighsilu terdiri daripada fi'lun (kata kerja) dan fa'il (pelaku) (basuhlah) wujuhakum adalah maf'ul dan mudafu ilaihi (muka-muka kamu) wa aidi-kum (tangan-tangan kamu adalah 'ataf ke atas wujuhakum (muka-muka kamu) wa-am sahu (dan sapulah) dan fi'lun amarfa'il bi-ru'usi-kum (di kepala-kepala kamu). Al-Ba' adalah huruf jar dan bi-ru'usi-kum adalah jar dan majrur (dibaca baris bawah) al-arjul adalah 'ataf kepada ru'usi-kum (kepala-kepala kamu).

Sekiranya ianya dibaca baris bawah, ianya menjadi 'ataf kepada lafaz. Atau dibaca baris nasb 'ala al-Mahal. Di dalam erti yang lain ia dibaca baris di atas sekiranya ianya dibuang huruf jarr. Syaikh Ibrahim al-Halabi mengatakan ayat ini dibaca dengan nasb dan jarr. Tetapi yang masyhurnya dibaca dengan nasb kerana ianya 'ataf kepada ru'us (kepala-kepala) di dalam dua bacaan. (baris di atas)

Walau bagaimanapun Tafsir al-Razi, al-Tabari, Khazin dan lain-lainnya menyokong wajib 'sapu kaki' bukan 'basuh kaki' di dalam wudhuk. Ini adalah cukup untuk membuktikan wajib sapu kaki dan bukan basuh kaki di dalam wudhuk. Ibn 'Abbas meriwayatkan bahawa wudhuk ialah dua basuh dan dua sapu. Dan dia juga berkata: Allah SWT mewajibkan wudhuk dua basuh dan dua sapu. Tidakkah anda berfikir bagaimana Dia menyebutkan tayammum, maka Dia jadikan tempat dua basuh itu (muka dan tangan) dua sapu dan Dia meninggalkan dua sapu (kepala dan kaki)8. Dan dia berkata lagi di tempat yang lain: Orang ramai enggan selain dari membasuh. Tetapi apa yang kami dapati di dalam al-Qur'an adalah al-Mash(sapu).

Daripada Sya'bi dia berkata: Jibrail menurunkan ayat tersebut dengan sapu di atas dua kaki. Dan daripada dia juga: Qur'an diturunkan dengan sapu di atas dua kaki. Dan daripada Ibn 'Abbas, dia menceritakan tentang wudhuk Rasulullah SAW bahawa beliau menyapu di atas dua kakinya.

Al-Tabari meriwayatkan daripada 'Ubbad bin Tamim daripada ayahnya berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mengambil wudhuk dia menyapu di atas dua kakinya.

Adapun riwayat-riwayat imam-imam Ahlu l-Bait AS tentang sapu amatlah banyak. Di antaranya daripada Husain bin Sa'id al-Ahwazi daripada Fadhalah daripada Hammad bin 'Uthman daripada Ghalib bin Huzail dia berkata: Aku bertanya kepada Abu Ja'far al-Baqir AS tentang sapu di atas dua kaki. Maka dia menjawab: Itulah yang dibawa turun oleh Jibra'il.

Daripada Ahmad bin Muhammad dia berkata: Aku telah bertanya kepada Abu l-Hasan Musa bin Ja'far AS tentang sapu di atas dua kaki bagaimana? Maka beliaupun meletakkan tapak tangannya di atas jari-jarinya, kemudian menyapukan kedua-duanya sehingga ke mata kakinya. Riwayat-riwayat tentang penyapuan kaki daripada para imam Ahlu l-Bait AS adalah banyak. Dan nas-nas hadith Thaqalain adalah jelas, wajib sapu di atas dua kaki. Dan di atas dasar inilah Syi'ah Imamiah melakukan wudhuk sehinggalah pada hari ini.

Syi'ah tidak mengambil riwayat daripada pemalsu-pemalsu hadith dan orang-orang jahil seperti Abu Hurairah, 'Umru bin 'As, Muawiyah dan orang yang tidak thiqah (tidak boleh dipercayai) kerana imej mereka yang buruk. Dan mereka tidak terpedaya dengan dakyah keadilan sahabat daripada awal hingga ke akhir kerana kerana mereka bukan semuanya adil.

Sekiranya anda merujuk kepada buku-buku Syi'ah yang abrar mengkajinya dengan insaf dan menjauhkan diri anda daripada 'asabiyah buta, nescaya anda akan mengetahui sesungguhnya Syi'ah berjalan di atas jalan yang lurus. Lantaran itulah banyak cacian-cacian ke atas mereka oleh orang-orang yang tamak kepada dunia.

Adapun tentang hadith-hadith 'basuh' di dalam wudhuk maka ia sama ada suatu pembohongan ataupun kurang fahaman mengenainya. Kerana Rasulullah SAW mengambil wudhuk dan menyapu kemudian mencurahkan air ke atas dua kakinya kerana ingin menyejukkan keadaan kakinya. Dan tidak sabit bahawa beliau membasuh dua kakinya di dalam wudhuk selama hidupnya.

Apabila kami memberikan hujah kepada musuh-musuh kami, mereka memberikan sebab-sebab basuh kerana kebersihan atau umum dan khusus. Mereka berkata: Setiap basuh itu sapu dan tidak sebaliknya. Ia adalah hujah yang lemah seperti rumah labah-labah.

Adakah Rasulullah SAW menyuruh manusia menyapu di atas kaki yang kotor dan najis? Kami meminta pertolongan Allah daripada kejahilan. Atau Rasulullah SAW tidak mengetahui umum dan khusus? Sehingga datang kepada kita satu kaum (Ahlu s-Sunnah) selepas tiga abad. Mereka mencipta mazhab-mazhab yang bertentangan sesama mereka. Mereka menunjukkan ummat bahawa Nabi SAW adalah seorang yang bersalah (kami meminta perlindungan dengan Allah). Atau beliau meninggalkan ugama ini tidak sempurna sehingga mereka menyempurnakannya. Atau mereka menambahkan padanya sesuatu, maka mereka memperbaikinya (kami meminta pertolongan dengan Allah) La hawla wala kuwata illa billahi l-'Aliyyil-'Azim.

Adapun hadith wailun li l-A'qab mina -Nar, jika ianya betul (dan ianya memang tidak betul) adalah menjadi hujah 'ke atas mereka' dan bukan 'untuk mereka.' Kerana ianya berbunyi: Wailun li l-A'qab mina n-Nar (Neraka wail bagi mata kaki) dan bukanlah berbunyi: Wailun liman lam yaghsiul (neraka wail bagi orang yang tidak membasuhnya). Lantaran itu beliau telah menunjukkan mereka bahawa sesungguhnya sapu tidak harus dilakukan ke atas kaki yang terkena najis.

Aku ingin bertanya kepada perawi hadith ini iaitu 'Abdullah bin 'Umru bin al-'As yang terkenal dengan keburukannya dan keburukan bapanya, maka anda berkata kepadanya: Di manakah anda mengetahui 'sapu' jikalau ia tidak (dilakukan) dahulu? Dia meriwayatkan "kami berperang bersama Rasulullah SAW, maka kami mendahului. Solat 'Asr telah menyusahkan kami, lalu kami mengambil wudhuk dan kami menyapu. Maka dapati Rasulullah SAW bersabda: Wailun li l-A'qab mina n-Nar sehingga tiga kali. Riwayat ini ternyata palsu sebagaimana berikut:


1. Sesungguhnya Nabi SAW mempunyai akhlak yang mulia sebagaimana telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya (Surah al-Qalam (68):4):"Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung" dan tidak kasar. Oleh itu bagaimana beliau mengancamkan mereka dengan neraka sedangkan mereka tidak mengetahui ilmu nasakh? Kerana mereka berkata: Jibra'il telah membawa turun ayat itu dengan 'basuh.'

Pendapat ini adalah tidak kuat kerana hadis ini hanya diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja dan hadis ahad tidak boleh memansuhkan al-Quran apatah lagi ayat wudhuk adalah muhkamah.


2. Perawi mengatakan dia berperang bersama Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah. Dan dia sendiri meriwayatkan hadis tersebut. Ini menunjukkan bahawa riwayat tersebut adalah diada-adakan sahaja.


3. Ijmak Ahlu l-Bait A.S. di atas 'sapu' dan ramai ulamak Ahlu s-Sunnah bersepakat bahawa al-Quran diturunkan dengan 'sapu'. Oleh itu kami terus beramal dengan al-Quran dan amalan Ahlu l-Bait A.S. kerana hadis tersebut dipertikaikan malah ianya hadis palsu.

Adakah apa yang aku kemukakan kepada anda wahai profesor, memuaskan? Dan maafkan aku kerana ingin bertanya:

1. Adakah anda daripada orang yang mengerjakan solat atau orang yang meninggalkan solat?
2. Adakah anda mengetahui mazhab anda dan anda beribadat dengannya? Sekiranya anda ahlinya, adakah anda mengetahui hadis-hadis Sahih dan palsu? Adakah anda mengetahui ilmu nasikh dan mansukh?

Adapun kata-kata anda bahawa Syi'ah menuduh 'Aisyah berzina adalah tohmah anda semata-mata dan bukan daripada Syi'ah. Oleh itu Syi'ah tidah menuduhnya berzina sehingga mereka membersihkan diri mereka. Kajilah buku-buku Syi'ah dan di dalam buku Syi'ah manakah anda telah dapati tuduhan itu wahai profesor, dan dari ulamak manakah anda mendengarnya? Allahumma ! Ini dan lain-lainnya adalah suatu pembohongan yang besar terhadap Syi'ah yang abrar.

Adapun kata-kata anda bahawa Syi'ah mempertikaikan sahabat kerana mereka berani terhadap Allah dan Rasul-Nya maka ini adalah kata-kata yang bohong. Kerana Syi'ah telah memberikan setiap sahabat haknya dan mereka ada yang alim, jahil, adil dan zalim malah ada yang munafik.

Kemudian wahai profesor, sekiranya anda seorang yang alim tentang sejarah Syi'ah dan tasyasyu', maka apakah pembohongan-pembohongan ini keluar daripada anda dan orang seumpama anda yang mempunyai maruah dan keinsafan. Dan sekiranya anda jahil di dalam masalah ini, bagaimana anda menentang golongan mukminin yang berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait Rasulullah SAW. Kerana di kalangan mereka terdapat ulama-ulama, fuqaha' yang besar, failasuf dan lain-lain. Mereka telah memenuhi bumi Allah dengan keilmuan dan amalan. Tetapi kami berkata: Pembohong tidak akan menyedarinya.

Akhirnya aku mengemukakan kepada anda nasihat yang ikhlas wahai profesor, Samahaka-llah, bertaqwalah kepada Allah tentang diri anda dan berhentilah daripada mengharungi kehormatan Muslimin. Dan tinggallah mereka beramal dengan mazhab mereka kerana hisab mereka di atas Allah SWT. Kami pada masa ini amat memerlukan kepada perpaduan lantaran kami berdiam diri di hadapan kebanyakan orang-orang yang tidak mempunyai ilmu dan sejarah, malah mereka tidak berguna. Tidak ada pada mereka dhamir yang bebas, maruah dan keinsafan. Mereka itulah yang menghalakan kepada kami cacian-cacian, pembohongan-pembohongan, dan tohmah-tohmah....Diamnya kami adalah kerana ingin menjaga perpaduan Islam. Dan salam ke atas mereka yang mengikuti petunjuk.

Sekian,
Muhammad Mar'i al-Amin al-Antaki.
Pencinta mazhab Ahlu l-Bait As.
Halab - Syria.
25hb. Rabi'ul al-Thani, 1379H (1969M).

Aku telah memberi suratku ini kepada dua lelaki tersebut dan berkata: Sampaikan surat ini kepada profesor itu. Maka mereka berduapun menyampaikannya.

Dan para 27hb. Rabi'ul al-Thani 1379 Hijrah, profesor tersebut datang untuk menziarahiku dengan malu-malu di atas apa yang telah berlaku dan meminta maaf kerana tidak mengkaji mazhab Ahlu l-Bait AS. Dia meminta daripadaku beberapa buku karangan Syi'ah. Ini adalah selepas berlakunya dialog di antara kami. Maka akupun memberikan kepadanya buku-buku karangan Sayyid Syarafuddin al-Musawi RH. Dia meminta maaf, dan mengucap selamat tinggal kepadaku dan pulang ke tempatnya. Selepas satu minggu dia datang kembali kepadaku. Kali kedua memujiku dan berterima kasih kepadaku dan memberitahukan kepadaku bahawa dia kini berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS. Dia berkata: Aku menyembunyikan perkara ini dan tidak mengisytiharkan tasyayyu' disebabkan perkara tertentu tetapi aku akan berdakwah dan mengajar mengikut apa yang diredhai Allah, RasulNya dan 'itrahnya yang suci. Lalu aku menghadiahkan kepadanya sebuah al-Qur'an, tulisan tangan yang berharga.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster