Monday, August 31, 2009

Dialogku dengan ulama besar - Bahagian 7

Kemudian dia bertanya kepadaku:"Apakah keistimewaan turbah karbala' kerana kebanyakan Syi'ah menggunakannya?"Aku menjawab:"Rahsianya telah diterangkan oleh hadith yang mulia 'Sujud di atas turbah husainiyyah mencairkan tujuh langit....' iaitu sujud di atasnya membuat solatnya diterima dan naiknya ke langit. Ianya dilakukan untuk mendapatkan afdhaliyyah yang tidak ada pada turbah selain daripada Karbala' al-Muqaddasah.' Dia bertanya lagi:"Adakah sujud di atas turbah husainiyyah menjadikan solat diterima di sisi Allah SWT sekalipun solat itu batal?" Aku menjawab:"Syi'ah berpendapat bahawa solat yang tidak cukup syarat adalah batal, tidak diterima. Tetapi solat yang cukup segala syaratnya boleh jadi diterima oleh Allah SWT dan boleh jadi tidak dterima olehNya. Dan apabila solat yang cukup syarat di atas turbah husainiyyah, maka ianya diterima dan diberi pahala ke atasnya. Oleh itu sahnya solat itu adalah suatu perkara dan penerimaannya (di sisi Tuhan) adalah suatu perkara yang lain pula."

Dia bertanyaku:"Adakah tanah Karbala' lebih mulia dari tanah Makkah dan Madinah sehingga sujud di atasnya menjadi lebih afdal?" Aku menjawab:"Apakah yang menghalangnya?"Dia menjawab:"Tanah Makkah semenjak turunnya Adam AS ke bumi adalah (tanah) Ka'bah. Dan tanah Madinah Munawwarah pula mengandungi jasad Rasul al-A'zam. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada kedudukan tanah Karbala'." Dia menambah:"Ini adalah suatu perkara yang aneh. Adakah Husain bin 'Ali afdhal daripada datuknya Rasulullah SAW?"Aku menjawab:"Sekali-kali tidak! Sesungguhnya kebesaran Husain adalah daripada kebesaran Rasulullah SAW. Kemuliaan Husain adalah daripada kemuliaan Rasulullah SAW. Dan kedudukan Husain di sisi Allah SWT adalah kerana beliau seorang imam yang berjalan di atas ugama datuknya Rasulullah SAW, sehingga beliau mati syahid kerananya. Kedudukan Husain adalah merupakan sebahagian daripada kedudukan Rasulullah SAW. Tetapi Husain AS, keluarganya dan pembantu-pembantunya dibunuh kerana menegakkan Islam, memperkukuhkan asas-asasnya serta menjaganya daripada permainan pengikut-pengikut hawa nafsu. Maka Allah menggantikan kesyahidannya dengan tiga perkara:

1. Memperkenankan doanya di bawah QubbahNya.
2. Sembilan imam adalah daripada keturunannya.
3. Penyembuhan (penyakit) adalah pada turbahnya.


Allah memuliakan turbah Husain AS kerana beliau telah dibunuh di jalan Allah dengan begitu kejam sekali. Turut terbunuh ialah anak-anak beliau, saudara-saudara beliau dan sahabat-sahabat beliau. Di samping penderitaan-penderitaan yang diterimanya kerana agama. Adakah di sana halangan? Adakah melebihkan turbah Karbala' dari tanah-tanah di bumi ini sehingga tanah Madinah bererti bahawa Husain AS lebih daripada datuknya Rasulullah? Malah perkara tersebut adalah sebaliknya. Oleh itu memuliakan turbah husainiyyah adalah memuliakan Husain. Dan memuliakan Husain AS adalah memuliakan Allah dan datuknya Rasulullah SAW."

Lantas salah seorang daripada mereka bangun dari tempat duduknya dengan penuh kegembiraan, memberi pujian kepadaku. Dia meminta daripadaku beberapa buah buku karangan Syi'ah dan berkata kepadaku:"Wahai Maulaya! Ianya adalah betul. Dahulu aku pernah berkhayal bahawa Syi'ah melebihkan Husain sehingga daripada datuknya Rasulullah SAW. Dan sekarang aku mengetahui hakikatnya. Aku berterima kasih kepada anda di atas dialog yang berguna di mana anda telah melengkapkan kami dengannya. Aku akan sentiasa membawa bersamaku ketulan tanah Karbala' al-Muqaddasah supaya aku dapat sujud di atasnya di mana sahaja aku mengerjakan solat. Aku akan sujud di atas turbah khususnya turbah husainiyyah." Kemudian aku berkata:"Kata-kata kalian bahawa Syi'ah melakukan ta'ziah terhadap Imam Husain AS adalah bid'ah", maka ianya merupakan kata-kata yang batil.

Aku tidak mengetahui kenapa kalian mendendamkan Syi'ah disebabkan mereka melakukan ta'ziah ke atas syahid yang benar imam bin imam, cucu Rasulullah. Keturunan al-Zahra' al-Batul, penghulu para syuhada.' Imam Abu 'Abdillah Husain AS di dalam menghadapi penderitaan yang besar yang menggoncangkan bayangan Arasy bersama bayangan makhluk. Dan peristiwa yang menyayatkan yang belum pernah berlaku di dunia Islam. Di kalangan kalian mengkritik Syi'ah dengan alasan bahawa Husain AS telah dibunuh sejak 14 abad yang lalu. Lantaran itu apakah gunanya menangis-nangis untuknya, menepuk-nepuk dada dan memukul-mukulkannya dengan rantai sehingga mengalir darah. Ketahuilah kalian sesungguhnya amalan Syi'ah itu ialah kebenaran itu sendiri.

Pertama, sekiranya mereka tidak meneruskan majlis peringatan penghulu para syuhada', nescaya mereka mengingkarinya sebagaimana kalian mengingkari Hari al-Ghadir. Sekalipun ianya diriwayatkan oleh lebih seratus sepuluh para sahabat. Di kalangan mereka telah terlibat dalam Perang Badar. Lantaran Syi'ah tidak mengemukakan sesuatu tanpa bukti.

Kedua, Syi'ah mengikut jejak langkah imam-imam mereka di dalam memperingati majlis Abu 'Abdullah Husain AS. Sekiranya kalian mengkaji buku-buku Syi'ah nescaya kalian tidak mengkritik Syi'ah. Perhatikanlah, umpamanya buku Muqaddimah al-Majalis al-Fakhirah karangan Sayyid Syarafuddin al-Misawi dan buku Iqna' al-La'im 'Ala Iqamah al-Ma'tam karangan Sayyid Muhsin al-'Amili RH. Kedua-dua karangan tersebut akan menyakinkan semua dan perhatikan juga buku Masabih al-Jinan karangan Sayyid al-Kasyani halaman 576. Dia menulis:"Sayugia bagi Muslimin apabila masuk bulan Muharram merasai dukacita dan sedih,mengadakan majlis ma'tam (majlis kematian) bagi memperingati kezaliman dan permusuhan yang dilakukan kepada penghulu para syuhada', keluarganya, dan sahabat-sahabatnya yang terpilih.

Ianya adalah sunnat dan digalakkan kerana ianya membesarkan syi'ar Allah SWT, mengambil contoh suruhan Rasulullah SAW dan mengikuti imam-imam maksum. Imam Redha AS iaitu imam kelapan daripada wasi-wasi Rasulullah berkata:"Bapaku iaitu Imam Musa Kazim, imam ketujuh daripada wasi-wasi Rasulullah SAW apabila masuk bulan Muharram, tidak kelihatan gembira dan kesedihannya menguasai percakapannya." Ini bererti sesuatu yang membawa kesedihan dan dukacita adalah harus tanpa melakukan perbuatan yang diharamkan. Kemudian beliau (Imam Musa AS) berkata lagi:"Disunnatkan menangis dan melakukan ta'ziah ke atas penghulu para syahid, mengalirkan air mata untuknya apatah lagi pada sepuluh pertama bulan Muharram. Kerana menangis ke atasnya adalah di antara yang baik, disunnatkan dan di antara perkara-perkara yang menjamin kebahagian abadi dan menghampiri diri kepada Allah SWT."

Banyak hadith-hadith daripada imam-imam suci yang menceritakan tentang keharusannya. Imam Redha AS meneruskan kata-katanya:"Adapun orang-orang yang menghina Syi'ah, kata-kata mereka tidak boleh diambil kira kerana mereka telah jauh daripada keinsafan dan kebersihan jiwa. Mereka telah menyeleweng dari jalan yang benar."

Walau bagaimanapun semua mazhab bersepakat tentang harusnya melahirkan kesedihan kerana kehilangan orang yang dikasihi. Dan ini telah berlaku di dalam sejarah. Adalah diriwayatkan bahawa Imam 'Ali Zaina l-Abidin bin Husain apabila sampai di Karbala' selepas pulang dari Syria, beliau menangis dan meratapi Husain AS.

Apakah salahnya jika Syi'ah melakukannya? Sedangkan kalian mengambil bid'ah Yazid bin Muawiyah yang telah menjadikan sepuluh Muharram sebagai pesta bersukaria. Dia menamakannya 'Aid al-Nasr (Hari Kemenangan)."

Apabila perbincangan sampai di sini mereka mengucapkan terima kasih kepadaku. Mereka berkata:"Kami tidak mengetahui mazhab Syi'ah sedemikian. Ini disebabkan kami mendengar tentang Syi'ah bahawa mereka tidak berada di atas kebenaran, malah mereka adalah kafirun, musyrikun."Aku menjawab:"Tidak! Malah mereka sebagaimana aku telah menceritakan kepada kalian. Kalian akan mengetahui mazhab Syi'ah apabila kalian mengkaji buku-buku mereka. Dosa adalah dosa kalian kerana kecuaian kalian (taqsir) mengkaji buku-buku Syi'ah."

Kemudian aku menerangkan kepada mereka bahawa tuduhan-tuduhan yang ditujukan kepada Syi'ah yang baik, tidaklah benar. Ianya adalah pembohongan yang diciptakan oleh orang-orang yang berdosa, terdiri daripada musuh-musuh yang menamakan diri mereka Muslimin. Justeru itu hendaklah kalian mengkaji hakikat sebenar dan janganlah kalian berpegang setiap apa yang kalian dengari dengan menentang Syi'ah. Kemudian mereka berdiri dan mengucapkan selamat tinggal. Mereka pulang ke tempat mereka dengan gembira. Dan akhirnya aku diberitahukan oleh orang yang aku percayai bahawa sebahagian mereka telah berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS. Wa l-Hamdulillah.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster