Monday, August 31, 2009

Dialogku dengan ulama besar - Bahagian 5

Selepas aku membentangkan kepadanya dalil-dalil tersebut, dia bertakbir dan memuliakan kedudukanku dan berterima kasih kepadaku. Aku menjawab:"Sesungguhnya Syi'ah tidak mencaci semua sahabat malah mereka memberi setiap sahabat haknya yang sewajar. Kerana sahabat ada yang adil dan ada yang tidak adil. Ada yang alim dan ada yang jahil. Ada yang baik dan ada yang jahat dan begitulah seterusnya. Perhatikanlah apa yang mereka telah melakukannya Ahdathu di Saqifah? Mereka telah meninggalkan Nabi mereka terbaring di atas hamparannya. Mereka mulai berlumba-lumba untuk jawatan khalifah. Setiap orang melihat jawatan khalifah untuk dirinya seolah-olah ianya barang sil'ah yang boleh dimiliki oleh sesiapa yang cepat. Sedangkan mereka melihat dengan mata mereka, mereka mendengar dengan telinga mereka nas-nas yang terang dari Rasulullah SAW bermula di hari beliau mengisytiharkan dakwah sehingga di hari beliau menghembuskan nafasnya.

Walhal penyempurnaan Rasulullah SAW adalah lebih penting dari urusan khalifah jika difardhukan bahawa Nabi tidak berwasiat. Oleh itu ianya menjadi wajib ke atas mereka melaksanakan hak Rasulullah SAW. Dan selepas selesai tajhiz (penyempurnaan) mereka mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan diri mereka sekiranya mereka mempunyai keinsafan. Lantaran itu dimanakah keadilan dan perasaan hati kecil? Di manakah kemuliaan akhlak? Di manakah kebenaran dan kasih sayang al-Mahabbah?

Dan apa yang menyayatkan hati ialah serangan ke atas rumah Fatimah al-Zahra' oleh lima puluh orang sahabat. Mereka mengumpulkan kayu api untuk membakar rumahnya bersama penghuni-penghuninya sehingga seorang berkata kepada 'Umar:"Di dalam nya ada Hasan, Husain dan Fatimah." Umar menjawab:"Sekalipun mereka berada di dalamnya." Peristiwa ini telah disebutkan oleh pakar-pakar sejarah Ahlu l-Sunnah dan Syi'ah.

Dan telah diketahui oleh orang yang baik mahupun jahat dan semua penulis-penulis sejarah bahawa Nabi SAW bersabda:"Fatimah adalah sebahagian daripadaku, sesiapa yang menyakitinya maka sesungguhnya dia telah menyakitiku. Dan sesiapa yang memarahinya, maka sesungguhnya dia telah memarahiku. Dan sesiapa yang memarahiku, maka dia memarahi Allah. Dan sesiapa yang memarahi Allah maka Dia akan mencampakkannya ke neraka."

Lantaran itu hakikat sahabat tidak menunjukkan bahawa mereka semuanya adil. Rujuklah kepada al-Bukhari dan Muslim tentang hadith al-Haudh, nescaya anda akan mengetahui kebenaran pendapat Syi'ah tentang sahabat dan Ahlu s-Sunnah tentang sahabat dan Ahlu s-Sunnah yang sependapat dengan mereka. Oleh itu apakah dosa Syi'ah apabila mereka berkata ketidakadilan kebanyakan sahabat? Kenapa sahabat sendiri telah memperlihatkan hakikat kedudukan mereka. Peperangan Jamal dan Siffin adalah sekuat-kuat dalil bagi menyokong dakwaan Syi'ah. Begitu juga al-Qur'an sendiri telah mendedahkan keadaan kebanyakan sahabat. Surah al-Bara'ah adalah cukup bagi kita sebagai dalil, perhatikanlah apa yang telah dilakukan oleh Muawiyah yang kejam, 'Umru bin bin 'As, Marwan, Ziyad, Ibn Ziyad, Mughirah bin Syu'bah, dan Umar bin Sa'd di mana bapanya di kalangan sepuluh yang digembirakan dengan syurga menurut sangkaan mereka. Dan Talhah yang membai'ah 'Ali kemudian menarik bai'ah lalu memerangi Imam mereka berdua bersama 'Aisyah di Basrah. Mereka telah melakukan ahdathu jenayah-jenayah yang tidak akan dilakukan oleh orang-orang yang mempunyai maruah.

Beritahukan kepadaku adakah kewujudan Nabi SAW di kalangan mereka mewajibkan nifaq kebanyakan mereka? Kemudian selepas beliau wafat, semua sahabat menjadi adil? Aku tidak pernah mendengar seorang Nabipun yang datang kepada ummatnya, kemudian mereka semua menjadi adil. Malah apa yang berlaku sebaliknya, al-Qur'an dan Sunnah telah menerangkan kepada kita mengenainya. "Apakah pendapat anda wahai saudaraku yang dihormati?" Dia menjawab:"Benar sesungguhnya anda telah mengemukakan dalil yang menyakinkan. Semoga Allah memberikan ganjaran kepada anda di atas kebaikan yang anda lakukan kepadaku." Aku berkata:"Di dalam kitab al-Jauharah fi al-Aqa'id karangan Syaikh Ibrahim al-Laqani al-Maliki terdapat kata-kata berikut: Ikutilah orang salih daripada salaf dan jauhilah bid'ah daripada orang khalaf." Dia menjawab:"Ya! Ianya terdapat di dalam buku tersebut."

Aku bertanya:"Beritahukan kepadaku siapakah salaf (orang yang terdahulu) yang wajib kita ikuti? Dan siapakah khalaf (orang yang terkemudian) yang wajib kita tentangi?"Dia menjawab:"Salaf adalah sahabat Rasulullah SAW. Aku berkata:"Sebahagian sahabat menentang sebahagian sahabat yang lain. Dan telah berlakulah apa yang telah berlaku di kalangan mereka sebagaimana ianya telah menjadi terang kepada orang yang seperti anda."Dia berhenti sekejap, kemudian dia berkata:"Khalaf adalah orang-orang yang hidup pada awal abad ketiga."Aku berkata kepadanya:"Jikalau begitu jawapannya, anda telah menolak sebahagian daripada imam-imam empat mazhab kerana sebahagian mereka terkeluar daripada awal abad ketiga." Maka dia berhenti seketika kemudian dia bertanya:"Apakah anda mahu dari pertanyaan ini?"Aku menjawab:"Perkara itu adalah jelas iaitu wajib ke atas kita mengikuti orang yang telah dinaskan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka dan mereka menjadi ikutan kepada ummat." Dia bertanya:"Siapakah mereka?"Aku menjawab:"Ali bin Abu Talib, kemudiannya Hasan, Husain, dan sembilan anak-anak lelaki Husain AS dan akhir mereka ialah Imam al-Mahdi (AJ)."

Dia bertanya lagi:"Khalifah yang tiga?"Aku menjawab:"Khilaf telah berlaku tentang mereka. Ummat tidak sepakat ke atas mereka kerana mereka telah melakukan perkara-perkara yang wajib dikritik." Dia menjawab:"Ianya menghairankan, ini adalah pendapat Syi'ah."Aku berkata:"Adakah berlaku kepada sahabat-sahabat apa yang telah aku sebutkan kepada anda atau tidak?"Dia menjawab:"Ya." Aku berkata:"Jikalau begitu, maka wajiblah ke atas kita mengambil orang yang disepakati ummat dan meninggalkan orang yang tidak disepakati oleh mereka."

Syi'ah adalah golongan yang besar lebih daripada 100 juta di seluruh dunia. Mereka mempunyai para ulama yang besar ahli-ahli, ahli-ahli hadith yang disegani. Oleh itu mereka tidak mengiktiraf ketiga-tiga khalifah. Tetapi Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah telah mengakui khalifah Amiru l-Mukminin 'Ali AS. Oleh itu khalifah 'Ali AS adalah disepakati oleh semua pihak dan ketiga-tiga khalifah itu tidak disepakati ke atas mereka. Khalifah selepas Amiru l-Mukminin ialah Hasan kemudian Husain, kemudian anaknya sembilan imam dan yang terakhir ialah Imam al-Mahdi (AJ).

Nas-nas mengenainya terdapat di dalam buku-buku anda dengan banyaknya. Banyak riwayat-riwayat menurut saluran Ahlu s-Sunnah tentang kelebihan Ahlu l-Bait AS dan keistimewaan mereka daripada orang lain. Dan yang paling penting ialah 'ismah (kemaksuman). Dia menjawab:"Kami tidak percaya dengan 'ismah (kemaksuman)." Aku berkata:"Akupun mengetahui perkara itu. Tetapi dalil berada di pihak Syi'ah sebagaimana aku telah memperkatakannya. Aku akan memberikan anda sebuah kitab yang akan menyakinkan dan menggembirakan anda."Dia menjawab:"Apabila kemaksuman mereka sabit di sisiku, selesailah kemusykilan di antara aku dan anda." Lalu aku memberikan kepadanya sebuah buku yang berjodol al-Alfain karangan al-'Allamah al-Hulli. Dia mulai membuka buku tersebut di hadapanku dan ianya mengkagumkannya.

Kemudian dia berkata kepadaku:"Adakah anda mengetahui bahawa sesungguhnya anda telah memasukkan syak wasangka padaku mengenai empat mazhab dan aku telah cenderung kepada mazhab Ahlu l-Bait AS. Tetapi aku mahu anda membekalkanku dengan sebahagian daripada buku-buku Syi'ah. Maka aku memberikan kepadanya beberapa buah buku. Di antaranya buku-buku karangan Sayyid Syarafuddin al-Musawi berjodol al-Muraja'at (Dialog Sunnah-Syi'ah), Abu Hurairah dan al-Fusul al-Muhimmah (isu-isu penting ikhtilaf Sunnah-Syi'ah.).

Aku juga memberi kepadanya buku Dalail al-Sidq dan al-Ghadir. Aku telah menyenaraikan kepadanya nama-nama buku Syi'ah. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal lalu dia berdiri mengucapkan terima kasih dan pulang ke tempat tinggalnya. Kemudian selepas beberapa hari aku menerima surat terima kasihnya dari Universiti al-Azhar dan memberitahuku bahawa dia telah berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS dan berjanji kepadaku bahawa dia akan menulis buku tentang kebenaran mazhab Syi'ah Imamiah Ithna'sya-riyyah (Mazhab Ja'fari).

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster