Monday, August 31, 2009

Dialogku dengan ulama besar - Bahagian 3

Seorang Sunnah dan Syi'ah berdialog di sisiku

Pada suatu hari dua orang lelaki datang menziarahiku di Halab, seorang Syi'ah dan seorang lagi Sunnah. Perbincangan telah berlaku di antara mereka berdua tentang keutamaan 'Ali menjadi khalifah. Lelaki Syi'ah berkata kepadaku:"Sahabatku ini daripada Ahlu s-Sunnah dia berkata:"Tidak ada nas untuk 'Ali AS sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW secara langsung." Lelaki Sunnah tadi bertanya kepadaku:"Adakah di sana nas yang jelas?" Maka aku menjawab:"Ya, malah banyak nas-nas yang jelas di dalam buku-buku dan rujukan anda." Maka akupun membuka Tarikh al-Tabari, Tarikh Ibn al-Athir, dan tafsir-tafsir yang lain mengenai ayat wa andhir asyiratakaal-Aqrabin (Berilah peringatan kepada kerabat anda yang terdekat) dan hadith yang panjang telah diriwayatkan oleh Ibn al-Athir dengan penambahan kepada beberapa lafaz yang diriwayatkan oleh al-Tabari sehingga aku mengakhiri kepada sabda beliau SAW:"Siapakah di kalangan anda yang akan membantuku di dalam urusan ini, dia akan menjadi akhi (saudaraku) dan khalifahku selepasku." Maka 'Ali AS menjawabnya manakala tidak ada seorangpun yang menjawabnya. Maka Rasulullah SAW bersabda:"Hadha akhi wa waziri wa wasiyyi wa khalifati min ba'di fasma'u lahu wa iti'u (inilah saudaraku, wazirku, wasiku dan khalifahku selepasku. Maka dengarlah beliau dan taatilah kepadanya).

Kemudian aku berkata kepadanya:"Adakah anda menghendaki nas yang lebih terang daripada ini?" Dia menjawab:"Jikalau begitu apakah mereka telah melakukannya (Sana'u)." Maka aku memahami daripada kata-katanya ma sana'u menunjukkan mesyuarat mereka di Saqifah, dan pertengkaran mereka tentang siapakah yang menggantikan Rasulullah SAW adakah orang Muhajirin atau orang Ansar? Aku berkata:"Itu adalah apa yang telah berlaku." Maka dia menjawab:"Aneh sekali telah berlakunya perkara tersebut, tetapi aku tidak mahu menyebutkannya." Kemudian dia dapat memahami hakikat tersebut sejurus kemudian dia pergi dan mengucap terima kasih kepadaku. Kemudian aku menerima berita mengenainya daripada orang yang boleh dipercayai bahawa dia terus aktif di dalam dakwah mazhab al-Haq dan ramai telah menerima mazhab Ahlu l-Bait melaluinya.

Dialogku dengan sekumpulan Ahlu s-Sunnah

Pada malam kelima bulan Ramadhan al-Mubarak tahun 1371 Hijrah (1951M) manakala aku sibuk menulis bukuku al-Syi'ah wa-hujjatu-hum fi al-Tasysyayu' di perpustakaanku, tiba-tiba datang kepadaku satu kumpulan seramai lebih kurang lima belas orang terdiri daripada ulama dan bukan ulama. Maka aku mengalu-alukan kedatangan mereka dengan penuh kegembiraan. Selepas duduk seketika, mereka mendesakku untuk perbincangan akademik; mereka mahu keterangan dariku tentang mazhab Syi'ah dan iktiqad mereka mengenai khilafah dan apa yang berlaku di sekitarnya. Aku segera menjawabnya dan mereka berdiam diri sambil mencari dalil-dalil yang terang dan hujah-hujah pemutus yang terdapat di dalam buku-buku Syi'ah dan Sunnah sehingga berlarutan kepada dua pertiga malam.

Selepas perbincangan selesai, ada di kalangan mereka yang berterima kasih dan ada yang ingkar. Pada keseluruhannya aku berkata kepada mereka:"Tidak syak lagi sesungguhnya Nabi SAW telah mengetahui ummatnya yang baru dengan zaman Islam, dan cinta mereka kepada jawatan khalifah. Beliau juga mengetahui kebanyakan sahabatnya akan berpaling ke belakang dan mereka tidak akan selamat kecuali sebilangan unta Hamalu al-Na'am yang tersesat daripada pengembalanya, sebagaimana telah dicatat oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam Sahih-sahih.

Nabi SAW mengetahui dengan yakin sesungguhnya sahabat-sahabatnya telah menyembunyikan kejahatan al-Syirr terhadap pewarisnya, khalifahnya selepasnya, 'Ali AS dan selepas kewafatannya mereka segera melakukan bid'ah. Justeru itu beliau telah meletakkan penyelesaian kepada jawatan khalifah dan menegah orang lain mendakwa dirinya khalifah.

Begitu juga tentang sahabat Nabi SAW telah mengenali mereka yang baik dan yang jahat kerana beliau bersabda kepada mereka:"Kalian akan mengikuti sunnah orang yang sebelum daripada kalian sejengkal demi sejengkal, hasta demi hasta (satu persatu). Jika mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kalian akan memasukinya."

Syaikh kami Syaikh Ahmad Afandi al-Tawil al-Antaqi selepas menerangkan hadith tersebut kepada kami di masa kuliahnya dan juga di atas mimbar masjid berkata:"Jika seorang daripada mereka menjimakkan isterinya di pasar nescaya kalian akan melakukannya."

Dan Nabi SAW juga bersabda:"Siapa yang tidak mengetahui imam zamannya, dia akan mati sebagai seorang jahiliyyah (iaitu menjadi kafir)." Justeru itu beliau telah meletakkan penyelesaian bagi jawatan khalifah dan memberhentikan mereka di sempadannya.

Selama kami beriktiqad bahawa beliau seorang Nabi yang diutuskan daripada Allah SWT beliau mengetahui bahawa beliau adalah Nabi terakhir yang berterusan risalahnya sehingga akhir dunia. Justeru itu tidak harus baginya meninggalkan ummatnya di dalam keadaan huru-hara. Lebih-lebih lagi beliau telah mengetahui bahawa ummatnya akan berpecah kepada 73 golongan sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith ini. Lantaran itu dakwaan yang mengatakan urusan khalifah diserahkan kepada ummat ini adalah dakwaan yang batil di antaranya:

1. Ahlu al-Hilli wa l-'Aqd, pemilihan atau ahli syura tidak dapat menyempurnakan apa yang telah diwakilkan kepada mereka sepanjang masa, malah ianya membuatkan ummat di dalam keadaan huru-hara yang menjatuhkan mereka ke dalam jurang yang jauh yang tidak ada batasan dan penetapan. Justeru itu ummat masih berada di lautan darah semenjak hari Saqifah sehingga ke hari kita ini dan berakhirnya kehidupan manusia di Hari Akhirat.

2. Suatu perkara yang tidak dapat disembunyikan bahawa manusia berselisih tentang aqidah-aqidah mereka dan berlainan pendapat-pendapat mereka. Dan kita lihat dua orang tidak boleh bersatu di dalam satu pendapat. Malah seseorang itu sendiri tidak boleh berterusan dengan satu pendapat. Malah fikirannya berubah setiap saat. Oleh itu bagaimana urusan khalifah diwakilkan kepada Ahlu al-Hilli wal-'Aqd. Ini tidak boleh diterima oleh akal dan naluri insan.

3. Adalah mustahil mendapat persetujuan dengan mewakilkan urusan khalifah kepada Ahlu al-Hilli wa l-Aqd kerana penentangan yang kuat di kalangan rakyat, pembunuhan, rampasan dan lain-lain pasti berlaku iaitu satu hakikat yang sering berlaku di setiap masa dan tempat. Dan ketua negara tidak dapat melaksanakan sendiri peraturan kehidupan manusia melainkan dengan menggunakan kekuatan tentera. Ini adalah kekuatan sementara yang akan hilang dan apabila ianya hilang, setiap orang kembali kepada kerja-kerja lampau yang merosakkan orang ramai.

Justeru itu kami berkali-kali menyatakan bahawa Allah tidak meninggalkan sesuatupun daripada urusan agama kepada ummat di mana hawa nafsu akan menguasai mereka. Oleh itu ianya mestilah diwakilkan kepada orang yang mempunyai keilmuan yang tinggi di sisi Rasulullah SAW. Keberanian, kebijaksanaan, kekeramatan, kezuhudan, ketakwaaan, keperwiraan dan yang paling penting ialah al-'Ismah (kemaksuman). Sehingga menjadikan wasi seorang yang layak untuk menduduki tempat Rasulullah SAW bagi melaksanakan kehalusan hukum Allah SWT. Pilihan seperti ini tidak dapat dilakukan selain daripada Allah SWT kerana Dia mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. Dan Rasul SAW pula telah menerangkannya dengan jelas pada setiap munasabah:"Sesungguhnya wasi dan khalifah selepas beliau ialah 'Ali bin Abu Talib.' Sebagaimana di sana terdapat dalil-dalil yang banyak yang boleh menunjukkan anda kepada hujah yang anda pertahankan. Ianya terdapat di dalam dua sumber; Sunnah dan Syi'ah. Kemudian mereka berkata:"Apa yang aku sampaikan kepada mereka adalah baik." Mereka meminta daripadaku sebahagian daripada buku-buku karangan Syi'ah. Maka aku berikan kepada mereka sebahagian daripada buku-buku yang ada di sisiku. Maka merekapun berdiri dan memohon diri dariku untuk pergi.

Beberapa hari selepas itu sampai berita kepadaku bahawa sebahagian daripada mereka telah berpegang keapda mazhab Ahlu l-Bait AS. Maka aku memuji Allah di atas nikmatNya.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster