Monday, August 31, 2009

Dialogku dengan ulama besar - Bahagian 1

Selepas perisytiharanku menjadi Syi'ah, seorang daripada ulama besar mazhab Syafi'i dari Halab datang menemuiku, dan bertanya kepadaku dengan lembut:"Kenapa anda berpegang kepada mazhab Syi'ah dan meninggalkan mazhab anda? Apakah sebab yang mendorong anda berpegang kepadanya? Dan apakah dalil anda bahawa 'Ali lebih berhak menjadi khalifah daripada Abu Bakr?" Aku berdialog dengannya berkali-kali dan akhirnya dia berpuashati.

Di antara dialognya dia bertanya kepadaku tentang siapakah yang lebih berhak menjadi khalifah. Adakah Abu Bakr lebih berhak dari 'Ali atau 'Ali lebih berhak? Maka aku menjawab:"Ini adalah perkara yang jelas sekali bahawa orang yang lebih berhak khilafah ialah Amiru l-Mukminin 'Ali AS sebalik sahaja wafatnya Rasulullah SAW, kemudian selepas beliau ialah Hasan Mujtaba' AS, kemudian Syahid Karbala' AS, kemudian Ali bin Husain Zain al-Abidin AS, kemudian Muhammad bin Ali al-Baqir AS, kemudian Ja'far bin Muhammad al-Sadiq AS, kemudian Musa bin Ja'far Kazim AS, kemudian Ali bin Musa al-Redha AS, kemudian Muhammad bin Ali Jawad AS, kemudian Ali bin Muhammad al-Hadi AS, kemudian Hasan 'Askari AS, kemudian al-Hujjah bin Hasan (Imam al-Mahdi al-Muntazar AS). Dalil Syi'ah di dalam perkara ini ialah al-Qur'an dan Sunnah yang sabit daripada Rasulullah dari dua sumber; Sunnah dan Syi'ah. Sumber-sumber Syi'ah penuh dengan hujah-hujah dan bukti-bukti yang kuat. Syi'ah memperkuatkan dakwaan mereka dengan sumber-sumber rujukan kalian. Tetapi kalian enggan membuat rujukan kepada sumber-sumber Syi'ah dan mengkajinya. Dan inilah sebahagian daripada fanatik buta.

Adapun dalil daripada al-Qur'an ialah firmanNya yang bermaksud:"Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberi zakat dalam keadaan rukuk." (Surah al-Mai'dah (5): 55). Sesungguhnya ayat ini telah diturunkan kepada 'Ali tanpa syak lagi dengan ijmak Syi'ah dan kebanyakan ulama Sunnah di dalam kitab-kitab Tafsir seperti al-Tabari, al-Razi, Ibn Kathir dan lain-lain. Mereka berkata bahawa ayat ini diturunkan kepada 'Ali bin Abu Talib AS.

Di antara apa yang tidak dapat disembunyikan lagi kepada orang yang waras fikirannya bahawa apabila Allah SWT mengutuskan rasul-rasulNya kepada ummat manusia, Dia tidak akan menghentikan urusan mereka semata-mata kerana inginkan keredhaan manusia. Begitu juga wasiat adalah daripada Allah SWT dan bukan melalui Syura, dan bukan melalui Ahlu al-Hilli wa l-Aqdi dan bukan pula melalui pilihanraya. Kerana wasiat adalah satu rukun daripada rukun-rukun agama. Allah SWT tidak akan meninggalkan satu rukun daripada rukun-rukun agama kepada ummat, kerana ianya akan dikuasai oleh hawa nafsu mereka kerana setiap orang akan cenderung kepada puaknya.

Justeru itu orang yang menjalankan urusan Allah al-Qaim bi amrillah selepas kewafatan Nabi SAW ialah orang yang dinaskan ke atasnya. Beliau tidak kurang dan tidak lebih daripada para rasul, maksum daripada kesalahan. Oleh itu ayat al-Wilayah adalah nas yang terang tentang wilayah 'Ali AS.

Syi'ah dan kebanyakan ahli Tafsir Sunnah telah bersepakat bahawa orang yang telah memberi zakat dalam keadaan rukuk ialah 'Ali tanpa khilaf. Justeru itu khilafahnya adalah sabit selepas Rasulullah SAW dengan ayat ini.

Dia membentangkan kepadaku satu hujah untuk menyokong khalifah Abu Bakr. Dia berkata:"Abu Bakr lebih berhak menjadi khalifah kerana dia telah membelanjakan harta yang banyak yang dikemukakan kepada Rasulullah SAW. Dan dia telah mengahwinkan anak perempuannya dengan Rasulullah SAW. Dia telah menjadi imam solat jama'ah di masa Nabi SAW sedang gering." Aku menjawab:"Adapun perbelanjaan harta-hartanya adalah satu dakwaan yang memerlukan dalil bagi membuktikan kebenarannya.

Dan kami tidak memperakui perbelanjaan tersebut. Di manakah dia mendapatkan wang yang begitu banyak? Siapakah yang menyuruhnya untuk melakukan perbelanjaan tersebut? Adakah perbelanjaan tadi di Makkah atau di Madinah?

Sekiranya anda menjawab di Makkah, maka Nabi SAW tidak memperlengkapkan angkatan tentera, tidak membina Masjid lebih-lebih lagi orang yang memeluk Islam pula berhijrah ke Habsyah. Nabi SAWAW dan semua Bani Hasyim tidak menerima Sadqah. Apatah lagi Nabi SAW adalah seorang yang kaya dengan harta Khadijah sebagaimana mereka dakwakan.

Sekiranya anda berkata 'perbelanjaan' itu di Madinah. Maka Abu Bakr berhijrah tidak memiliki harta selain daripada enam ratus dirham dan sebahagiannya dia tinggalkan untuk keluarganya dan membawa bakinya bersamanya. Dia pula tinggal bersama orang Ansar. Malah setiap 'orang' menjadi beban kepada orang Ansar. Selain daripada itu Abu Bakr bukanlah seorang peniaga yang besar. Dia hanya menjual barang-barang yang dipikulnya di hari-hari perhimpunan. Kadang-kadang menjadi pengajar kepada kanak-kanak dan kadang-kadang menjadi tukang kayu membaiki pintu dan seumpamanya.

Adapun mengahwinkan anak perempuannya dengan Rasulullah SAW, (ini) tidaklah menyebabkan dia berhak menjadi khalifah. Mengenai menjadi imam solat jama'ah, jika ianya betul tidaklah juga menyebabkan dia menjadi khalifah. Kerana solat jama'ah bukan khilafah (jawatan khalifah). Kerana-sahabat-sahabat yang lain telah menjadi imam di masa musafir dan hadhar (tidak musafir). Jikalaulah ini boleh menyokong hujah anda nescaya semua sahabat yang telah menjadi imam solat berhak menjadi khalifah, dan mereka menuntutnya di Saqifah untuk mereka. Tetapi hujah tersebut tidak berlaku, malah ianya berlaku di dalam pemerintahan Muawiyah yang kejam terutamanya manakala hadith dipalsukan dengan banyak. Kemudian hadith solat jama'ah datangnya daripada anak perempuannya 'Aisyah RH sahaja.

Dan janganlah kita lupa bahawa Nabi SAW apabila mendengar takbir solat, beliau bertanya:"Siapakah yang sedang mengimamkan solat itu?" Mereka menjawab:"Abu Bakr." Beliau berkata:"Bawalah aku." Lalu beliau dipapah oleh 'Ali dan Fadhl sehingga beliau memasuki masjid. Lalu beliau memecat Abu Bakr dan beliau sendiri mengimamkan solat. Dan beliau tidak meninggalkan Abu Bakr meneruskan solatnya. Oleh itu jikalaulah solat Abu Bakr dengan izin Nabi SAW atau dengan keredhaan beliau, maka kenapa beliau keluar sedangkan beliau sedang gering lalu mengimamkan solat.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster