Monday, August 31, 2009

Bencana Saqifah - Bahagian 5

Pemberontakan rakyat terhadap khalifah

Rakyat telah memberontak terhadap khalifah 'Uthman kerana mereka melihat 'Uthman telah melampaui hukum-hukum Allah. Mereka mengepung rumahnya dan menuntut supaya dia meletakkan jawatan atau menyerahkan Marwan.

Pemberontakan ini berlaku kerana gabenornya 'Abdullah bin Abu Sarah telah menindas rakyatnya di Mesir. 'Ali menjadi orang tengah untuk menyelesaikan perkara ini. 'Uthman bersetuju memecat gabenornya dan menggantikannya dengan Muhammad bin Abu Bakr. Dia mengutus surat kepada gabenornya 'Abdullah bin Sarah:"Apabila sampai sahaja suratku, maka letaklah jawatan anda." Muhammad bin Abu Bakr dan rombongannya berjalan menuju ke Mesir selepas tiga hari perjalanan, tiba-tiba mereka ternampak seorang penunggang unta sedang menuju ke satu jalan dari jarah jauh. Lalu mereka melintasinya dan mendapati lelaki itu adalah hamba 'Uthman dan untanya. Mereka bertanya:"Kemana arah anda?" Dia menjawab:"Mesir." Lalu mereka memaksanya dan mendapati surat padanya yang mengatakan:"Apabila Muhammad bin Abu Bakr datang kepada anda, maka bunuhlah dia."

Oleh itu mereka terus pulang ke Madinah dan membentangkan surat itu kepada orang yang sedang mengepung rumah 'Uthman. Manakala 'Ali mengambil surat itu dan membacanya, beliau menjadi marah dan terus berjumpa 'Uthman. Beliau bertanya:"Apakah ini arahan 'Uthman?" Dia mengingkarinya dan bersumpah bahawa dia tidak tahu tentang surat itu. Mereka berkata:"Tulisan adalah tulisan anda, cop adalah cop anda dan unta adalah unta anda." Dia tetap mengingkari perkara itu. Mereka berkata:"Letakkanlah jawatan anda." Dia enggan dan menolak untuk menyerahkan Marwan. Di sinilah serigala Arab memberontak sebagaimana telah diramalkan oleh 'Umar.

Walaupun keadaan masih genting, 'Uthman datang ke masjid dan memberitahu kepada orang ramai untuk memberi penyaksian tentang penukaran gabenor-gabenornya. Justeru itu semua orang berazam untuk pulang ke rumahnya, tiba-tiba Marwan sedang menunggunya dan berkata:"Apakah mesyuarat tadi?" Dia menceritakannya kepadanya. Lalu Marwan berkata kepadanya:"Mati lebih baik dari kehinaan. Anda adalah khalifah dan kami adalah kaum anda. Hantarlah surat kepada sepupu anda Muawiyah dan mintalah pertolongannya." Maka khalifah membatalkan taubatnya, lalu mengambil pendapat Marwan, menantunya dan wazirnya. Pada masa itu isteri 'Uthman, Na'ilah, mendengar apa yang diperkatakan oleh 'Uthman dan sikap yang akan diambil olehnya untuk membatalkan janjinya kepada rakyatnya. Dia (Na'ilah) berjumpa Marwan dan berkata:"Tanpa syak lagi sesungguhnya andalah pembunuhnya ('Uthman) dan membuatkan anak-anaknya yatim." Marwan menjawab:"Diam sahajalah, sesungguhnya bapa anda tidak pandai mengambil wudhuk." dia menjawab kepada Marwan dengan jawapan yang tidak menyenangkannya, kemudian berpaling kepada suaminya sambil berkata:"Sekiranya anda masih lagi mengambil Marwan, maka ketahuilah anda bahawa sesungguhnya anda tidak mustahil akan dibunuh."

Pemberontak-pemberontak di kalangan sahabat-sahabat dan tabi'in menunggunya begitu lama, maka mereka mendapatinya tidak menunaikan janji-janjinya. Malah dia mengutus surat kepada Muawiyah supaya menolongnya menentang pemberontak-pemberontak. Justeru itu Muawiyah menghantar bala tenteranya dan memerintahkan pemimpinnya supaya jangan memasuki Madinah dan berkata:"Jangan sekali-kali menyalahi apa yang aku perintahkan kepada anda."

Aku berkata:"Inilah tindak tanduk seorang khalifah, dan beginilah kelakuan seorang wazir. Begitu juga sikap "kerjasama" keturunan Umayyah sesama mereka sendiri."

Tujuan perintah Muawiyah kepada pemimpin tenteranya ialah untuk memberitahu kepada pemberontak-pemberontak tentang kedatangan bala tenteranya adalah untuk menolong Khalifah 'Uthman. Justeru itu mereka akan mempercepatkan pembunuhannya. Pemberontak-pemberontak berkumpul dan mengepung rumahnya dengan memutuskan bekalan air. Dia mengutus Abu l-Hasan ('Ali) supaya masuk campur di dalam soal air. Maka beliau menguruskan pengangkutan air kepada khalifah, tetapi beliau tidak datang sendiri kerana khalifah 'Uthman tidak mendengar nasihatnya.

Ahli-ahli sejarah telah mencatat bahawa Amiru l-Mukminin AS telah menghantar Hasan, Husain, dan Qanbar supaya tidak membenarkan seorangpun memasuki rumah 'Uthman. Manakala keadaan demikian berlarutan, pemberontak-pemberontak mendapat tahu bahawa bantuan ketenteraan dari pihak Muawiyah telah datang, mereka memanjat dinding dan memasuki rumah 'Uthman lalu membunuhnya. Isterinya merebahkan diri di atasnya, lantas dipotong anak-anak jarinya, maka khalifahpun dibunuh. Dan tentera Muawiyah tanpa memasuki Madinah kembali menurut perintah.

Fitnah pembunuhannya

Pemberontakan Muawiyah tercetus. Dia mulai menghasut penduduk-penduduk Syam supaya memberontak dan meminta 'Ali supaya menyerahkan pembunuh-pembunuh Khalifah 'Uthman. Muawiyah membawa baju 'Uthman dan isterinya, lalu mereka mengangkatkan baju yang berlumuran darah di masjid supaya dilihat oleh orang yang datang ke masjid.

Adapun jenazah Khalifah 'Uthman tinggal tiga hari tanpa dikafan sehingga anjing memakan pahanya. Dan mereka menanamnya di waktu malam di kubur orang yahudi bernama Hasy Kawkab.

Penentangan 'Aisyah Terhadap 'Uthman

Aku telah menyebutkan bahawa 'Aisyah telah menggalakkan orang ramai supaya membunuh 'Uthman. Dia berkata:"Bunuhlah na'thalan ('Uthman) kerana dia telah kafir (kafara)." Dia berkata lagi:"Sekiranya aku mampu nescaya aku akan campakkan Marwan dan 'Uthman ke laut." Tetapi apabila 'Uthman dibunuh, 'Aisyah berpura-pura membela 'Uthman bagi menentang 'Ali AS.

Khalifah yang hak adalah Imam Amiru l-Mukminin 'Ali AS

Manakala 'Uthman dibunuh maka selesailah peranannya. Dan dikembalikan khalifah kepada Imam Amiru l-Mukminin 'Ali bin Abi Talib AS, saudara Rasulullah dan menantunya, pewaris ilmunya dan bapa kepada zuriatnya, pelaksana agamanya, dan khalifah selepasnya yang telah dinaskan oleh Allah dan RasulNya ke atasnya beberapa kali di tempat yang banyak. Maka orang ramai membai'ahnya. Dan Talhah adalah orang yang pertama membai'ahnya kemudian dikuti oleh Zubair kemudian orang ramai.

Imam 'Ali AS mengisytiharkan supaya setiap orang tidak dipaksa bai'ah kepadanya. Ini adalah tepat kerana beliau adalah imam sekalipun tidak dibai'ah oleh seorangpun. Kerana wasi adalah seperti Rasul menjalankan tugasnya kecuali kenabian. Justeru itu beliau adalah dinaskan oleh Allah dan RasulNya ke atasnya dan maksum. Lantaran itu khalifah tidak terbentuk melalui persetujuan Ahlu l-Hill wa l-'Aqd kerana mereka tidak tahu siapakah yang layak untuk menjadi khalifah dan mereka tidak mempunyai pertimbangan yang tepat meskipun melalui syura atau pemilihan.

Jika kita perhatikan zaman kita sekarang, banyak perkara-perkara yang berlalu menunjukkan manusia adalah manusia dan zaman adalah zaman juga, sama ada zaman dahulu atau zaman sekarang. Kerana kita dapati ramai daripada sahabat-sahabat yang anda mengenali mereka telah melakukan sesuatu yang sebaik sahaja kewafatan Rasulullah SAW. Mereka telah meninggalkan jenazah Nabi SAW terbujur di atas hamparannya, kerana merebut jawatan khalifah seolah-olah ianya brang yang dapat dimiliki oleh sesiapa yang cepat, dialah yang dapat sedangkan mereka mengetahui, meriwayat dan mendengar nas-nas perlantikan 'Ali Amirul l-Mukminin AS.

Ini adalah dalil tidak sahnya dakwaan Ahlu l-Sunnah yang mengatakan semua sahabat adalah adil. Kami berpendapat sahabat ada yang adil dan ada yang tidak adil.

Ringkasnya apabila 'Ali AS telah dilantik menjadi khalifah,maka beliau ingin melaksanakan keadilan di kalangan rakyatnya. Beliau jadikan yang lemah menyamai yang kuat di dalam keadilan. Melaksanakan hudud yang telah diturunkan Allah di dalam kitabNya. Tetapi sayangnya Bani Umayyah dan Marwaniyyah telah menyalakan api Perang Jamal, kemudian Perang Siffin dan Perang Khawarij demikianlah seterusnya. Amiru l-Mukminin bekerja keras untuk melaksanakan hukum-hukum a-Qur'an di dalam masyarakat, menegakkan kebenaran, menentang kebatilan dan menghidupkan hukum-hukum yang telah dimatikan oleh orang-orang sebelumnya. Tetapi beliau tidak berdaya melaksanakan semua yang beliau kehendaki sehinggalah beliau dibunuh oleh orang yang paling celaka.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster