Monday, October 5, 2009

Usul al-Kafi Kitab al-Hujjah

Bab 31

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Galian Ilmu, Pokok Kenabian Dan Tempat Turunnya Malaikat (inna al-Aimmata ma‘danu al-‘ilmi wa-syajaratu al-Nubuwwah wa-makhtalafu al-Malaikati)☼

(157)-1. Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada lebih daripada seorang, daripada Hammad bin Isa, daripada Ruba‘i bin Abdullah, daripada Abu Jarud berkata: Ali bin al-Husain a.s telah berkata: Kenapa orang ramai cemburu kepada kami? Demi Allah, kamilah pokok kenabian, rumah rahmat, galian ilmu dan tempat turunya para Malaikat”

(158)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Abdullah bin Muhammad bin Isa, dariapda bapanya, daripada Abdullah bin al-Mughirah, daripada Ismail bin Abu Ziyad, daripada Ja‘far bin Muhammad, daripada bapanya a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Sesungguhnya kami- Ahlu l-Bait- Adalah pokok kenabian, tempat risalah, tempat turunnya para malaikat, rumah rahmat dan galian ilmu.

(159)-3. Ahmad bin Muhammad, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada al-Khasysyab berkata: Sebahagian sahabat kami telah memberitahu kepada kami daripada Khaisyamah berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata kepadaku: Wahai Khaisyamah, kami adalah pokok kenabian, rumah rahmat, kunci hikmah, galian ilmu, tempat risalah, tempat turunnya malaikat, tempat simpan rahsia Allah, kamilah simpanan Allah pada hamba-hamba-Nya, kamilah haram Allah yang lebih besar (nahnu haram Allah al-Akbar), kamilah cagaran Allah (dhimmah Allah), kamilah janji Allah. Sesiapa yang menyumpurnakan janji kami, maka sesungguhnya beliau menyumpurnakan janji Allah. Sesiapa yang mengabaikannya, maka beliau mengabaikan cagaran Allah dan janji-Nya.



Bab 32

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Pewaris Ilmu, Seorang [Imam] Mewarisi Ilmu Daripada Seorang [Imam] Yang lain (anna al-Aimmata a.s warathatu al-‘ilm, yarithu ba‘dhu-hum ba‘dhan al ‘ilma)☼


(160)-1. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada Buraid bin Mu‘awiyah, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Ali adalah seorang yang alim dan ilmu boleh diwarisi, tidak mati seorang alim melainkan tempatnya diganti oleh orang yang mengetahui ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah.

(161)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hammad bin Isa, daripada Huraiz, daripada Zurarah dan al-Fudhail, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan ilmu diwarisi. Ali a.s adalah orang alim umat ini. Sesungguhnya seorang alim daripada kami tidak mati melainkan seorang daripada keluarganya yang mempunyai ilmu sepertinya menggantikannya atau apa yang dikehendaki Allah.

(162)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada ‘Abd al-Hamid al-Ta’i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi (yatawarathu) dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau meninggalkan seorang alim seumpamanya atau apa yang dikehendaki Allah.

(163)-4. Abu Ali al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan, daripada Musa bin Bakr, daripada al-Fudhail bin Yasar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya pada Ali a.s sunnah seribu nabi. Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan tidak mati seorang alim (imam) sehingga hilang ilmunya dan ilmu diwarisi.

(164)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada Umar bin Abban berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan. Seorang alim tidak akan mati sehingga ilmunya dihilangkan”

(165)-6. Muhammad, daripada Ahmad, daripada Ali bin al-Nu‘man secara marfu‘, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Mereka menghisap lembapan sementara itu mereka meninggalkan sungai yang besar (al-Nahr al-‘Azim). Ada orang berkata kepadanya: Apakah sungai yang besar itu? Beliau a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w dan ilmu yang diberi oleh Allah kepadanya. Sesungguhnya Allah a.w telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w sunnah-sunnah para nabi daripada Adam sehinggalah kepada Muhammad s.a.w. Ada orang bertanya kepadanya: Apakah sunnah-sunnah itu? Beliau a.s telah berkata: Ilmu para nabi kesemuanya (‘ilm al-Nabiyyin bi-asri-hi).
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberikan semuanya kepada Amir al-Mukminin a.s, seorang lelaki telah bertanya: Wahai anak lelaki Rasulullah, adakah Amir al-Mukminin lebih mengetahui (a‘lam) atau sebahagian nabi? Abu Ja‘far a.s telah berkata: Dengarlah apa yang beliau kata? Sesungguhnya Allah membuka telinga sesiapa yang Dia kehendaki, sesungguhnya aku telah memberitahu kepadanya bahawa sesungguhnya Allah telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w ilmu para nabi dan sesungguhnya Dia telah mengumpulkan semuanya di sisi Amir al-Mukminin a.s, beliau telah bertanya kepadaku, adakah beliau (Ali a.s) lebih mengetahui atau sebahagian para nabi [lebih mengetahui]”

(166)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada ‘Abd al-Hamid al-Ta’i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi, maka seorang alim tidak akan mati sehingga beliau meninggalkan seorang yang mengetahui seumpama ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah”

(167)-8. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus, daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah berkata: Sesungguhnya ilmu yang turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau telah mewariskan ilmunya. Sesungguhnya bumi tidak akan tinggal tanpa seorang yang alim.




Bab 33

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Telah Mewarisi Ilmu Nabi, Ilmu Semua Nabi Dan Wasi Sebelum Mereka (inna al-Aimmata warithuu ‘ilma al-Nabi, wa-jami‘ al-Anbiyaa’ wa al-Ausiyaa’ al-ladhin min qabli-him)☼

(168)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada ‘Abd al-‘Aziz al-Muhtadi, daripada Abdullah bin Jundub bahawa sesungguhnya al-Ridha a.s telah menulis surat kepadanya: Amma ba‘d, adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya Muhammad s.a.w adalah penjaga [yang dilantik 0lehNya) pada makhluk-Nya. Apabila baginda s.a.w mati, kamilah pewarisnya. Kamilah penjaga di bumi-Nya. Di sisi kami ilmu tentang kematian, apa yang berlaku kepada orang ramai, ilmu tentang keturunan Arab dan mereka yang lahir di dalam Islam. Sesungguhnya kami mengetahui seseorang apabila kami melihatnya dengan hakikat iman dan hakikat nifak. Sesungguhnya Syiah kami tertulis dengan nama mereka dan nama bapa-bapa mereka. Allah telah mengambil perjanjian ke atas kami dan mereka.

Mereka sampai di tempat yang kami sampai dan mereka memasuki tempat yang kami masuki, tidak ada di dalam agama Islam selain daripada kami dan mereka (laisa ‘ala millat al-Islam ghairu-na wa-ghairu-hum). Kamilah orang cerdik yang selamat, kamilah orang yang pertama menerima para nabi, kamilah anak-anak lelaki para wasi. Kamilah yang dikhususkan di dalam Kitab Allah a.w. Kamilah orang yang paling istimewa (aula al-Nas) dengan Kitab Allah, kamilah orang yang paling istimewa dengan Rasulullah s.a.w.

Kamilah orang yang Allah telah meletakkan agama-Nya untuk kami, maka Dia telah berfirman di dalam Kitab-Nya “Dia telah mensyariatkan bagi kamu (wahai keluarga Muhammad) tentang agama, apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh (sesungguhnya Kami telah wasiatkan apa yang telah diwasiatkan kepada Nuh) dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa (sesungguhnya Dia telah mengajar kami dan menyampaikan kepada kami ilmu mereka dan kami menyimpan ilmu mereka. Kamilah pewaris Ulun al-‘Azmi) iaitu: Tegakkanlah agama (wahai keluarga Muhammad) dan janganlah kamu berpecah belah (Jadilah kamu di atas jemaah). Amat berat bagi mereka yang musyrik (sesiapa yang bersekutu dengan wilayah Ali) apa yang kamu seru mereka kepadanya (tentang wilayah Ali sesungguhnya). Allah menarik kepadaNya orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali kepada-Nya” (sesiapa yang menyahuti anda tentang wilayah Ali).

(169)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Ja‘far a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya wasi yang pertama di muka bumi ini adalah Hibatullah bin Adam a.s. Tidak ada seorang nabi yang berlalu (mati) melainkan baginya seorang wasi. Bilangan para nabi adalah 120 ribu orang, lima daripada mereka adalah Ulu al-‘Azmi; Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan Muhammad a.s. Sesungguhnya Ali bin Abu Talib adalah Hibatullah (pemberian Allah) kepada Muhammad, beliau a.s telah mewarisi ilmu para wasi dan ilmu mereka sebelumnya. Sesungguhnya Muhammad s.a.w telah mewarisi ilmu para nabi dan rasul sebelumnya.

Tertulis di tiang ‘Arasy: “Hamzah adalah singa Allah dan singa rasul-Nya dan penghulu para syahid”. Dan di hujung Arasy itu pula tertulis: Ali adalah pemimpin Mukminin”. Maka ini adalah Hujjah kami menentang orang yang mengingkari hak kami dan menentang warisan kami. Tidak ada yang menghalang kami dari mengatakan kebenaran apabila keyakinan di hadapan kami. Manakah Hujjah yang lebih kuat daripada ini”!?

(170)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Abdullah bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada Zar‘ah bin Muhammad, daripada al-Mufadhdhal bin Umar berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Sulaiman telah mewarisi Daud, sesungguhnya Muhammad telah mewarisi Sulaiman dan sesungguhnya kami telah mewarisi Muhammad. Sesungguhnya di sisi kami ilmu Taurat, Injil, Zabur dan penjelasan apa yang ada pada Loh-loh (alwaah). Aku telah berkata: Ini juga ilmu. Beliau a.s telah berkata: Ini bukanlah ilmu, sesungguhnya ilmu (kepada kami) itu apa yang berlaku hari selepas hari dan jam selepas jam.

(171)-4. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Safwan bin Yahya, daripada Syu‘aib al-Haddad, daripada Dhurais al-Kinasi berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s dan di sisinya Abu Basir, maka Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Daud telah mewarisi ilmu para nabi, sesungguhnya Sulaiman telah mewarisi Daud dan sesungguhnya Muhammad s.a.w telah mewarisi Sulaiman. Sesungguhnya kami telah mewarisi Muhammad s.a.w (warath-na Muhammadan). Sesungguhnya di sisi kami mashaf Ibrahim dan loh-loh Musa. Maka Abu Basir telah berkata: Sesungguhnya ini adalah ilmu. Beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya ini bukanlah ilmu, sesungguhnya ilmu datang (kepada kami) di waktu malam dan siang, hari ke hari dan jam ke jam”

(172)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Jabbar, daripada Muhammad bin Ismail, daripada Ali bin al-Nu‘man, daripada Ibn Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata kepadaku: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya Allah a.w tidak memberi sesuatu kepada para nabi melainkan Dia telah memberinya kepada Muhammad s.a.w, beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya Dia telah memberi kepada Muhammad segala yang telah Dia berikan kepada para nabi. Di sisi kami mashaf-mashaf yang mana Allah a.w telah berfirman: “Mashaf-mashaf Ibrahim dan Musa” Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah dia Alwaah? Beliau a.s telah berkata: Ya.

(173)-6. Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Abdullah bin Sinan, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w “Sesungguhnya telah kami tulis di dalam Zabur selepas al-Dhikr…” Apakah al-Zabur dan al-Dhikr? Beliau a.s telah berkata: Al-Dhikr adalah [ilmu] di sisi Allah dan al-Zabur [kitab] diturunkan kepada Daud. Setiap kitab yang diturunkan, maka ia di sisi ahli ilmu (‘inda ahl ‘ilmi) dan kamilah mereka (wa nahnu hum).

(174)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abu Zahir atau orang lain, daripada Muhammad bin hammad, daripada saudara lelakinya Ahmad bin Hammad, daripada Ibrahim, daripada bapanya, daripada Abu al-Hasan yang pertama berkata: Aku telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, beritahulah kepadaku tentang Nabi s.a.w, adakah baginda s.a.w telah mewarisi [ilmu] semua nabi? Beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah berkata: Daripada Adam sehingga berakhir kepada dirinya? Beliau a.s telah berkata: Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan Muhammad s.a.w lebih mengetahui daripadanya. Aku telah berkata: Sesungguhnya Isa bin Maryam telah menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah. Beliau a.s telah berkata: Anda memang benar dan Sulaiman bin Daud telah memahami percakapan burung dan Rasulullah s.a.w mampu mengatasi semua kedudukan ini.

Beliau telah berkata: Sesungguhnya Sulaiman bin Daud telah berkata kepada hudhud ketika ketiadaannya dan syak pada urusannya, maka beliau telah berkata: “Mengapa aku tidak melihat hudhud, apakah dia termasuk yang tidak hadir. Ketika ketiadaannya, lantas beliau memarahinya dan berkata: “Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya atau benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang”

Sesungguhnya beliau telah memarahinya, kerana hudhud telah menunjukkannya kepada air. Burung ini telah diberi apa yang tidak diberikan kepada Sulaiman. Angin, semut, manusia, jin dan syaitan-syaitan mematuhinya (Sulaiman), tetapi Sulaiman tidak mengetahui bahawa air ada di bawah udara. Tetapi burung hudhud telah mengetahuinya. Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam Kitab-Nya “Sekiranya ada suatu bacaan yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya mereka yang telah mati dapat berbicara”

Sesungguhnya kami telah mewarisi al-Qur’an ini yang mana padanya apa yang dapat menggoncangkan gunung-gunung, melintasi negeri-negeri, menghidupkan mereka yang telah mati, kami mengetahui air di bawah udara. Sesungguhnya di dalam Kitab Allah ayat-ayat yang mana ia tidak dapat “dilaksanakan” melainkan dengan izin Allah. Tetapi Dia telah menjadikannya untuk kami di dalam Umm al-Kitab. Sesungguhnya Dia telah berfirman: “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami” Maka kamilah orang yang telah dipilih oleh Allah a.w dan kami telah mewarisi ini (al-Qur’an) padanya penjelasan kepada setiap perkara”.



Bab 34

☼Sesungguhnya Para Imam A.S Di Sisi Mereka Semua Kitab Yang Diturunkan Oleh Allah A.W Dan Sesungguhnya Mereka Mengetahuinya Sekalipun Berbeza bahasanya (inna al-Aimmata a.s ‘inda-hum jami‘a al-Kutub al-Lati nazalat min ‘indi llahi a.w wa inna-hum ya‘rifuuna-ha ‘ala ikhtilafi alsinati-ha)☼

(175)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Ibrahim, daripada Yunus, daripada Hisyam bin al-Hakam di dalam riwayatnya tentang Buraih apabila dia datang bersamanya kepada Abu Abdillah a.s, tiba-tiba dia berjumpa dengan Abu al-Hasan Musa bin Ja‘far a.s, Lalu Hisyam menceritakan kepadanya satu hikayat. Manakala dia selesai, maka Abu al-Hasan a.s telah berkata kepada Buraih: Wahai Buraih, bagaimana keilmuan anda tentang kitab anda? Dia berkata: Aku benar-benar mengetahui tentangnya. Kemudian dia berkata: Bagaimana kepercayaan anda tentang takwilnya?

Dia berkata: Aku yakin dengan ilmuku mengenainya. Hisyam berkata: Abu al-Hasan a.s mulai membaca Injil. Kemudian Buraih berkata: Aku telah mencari anda selama lima puluh tahun atau orang seperti anda. Lalu Buraih telah beriman dan imannya adalah baik dan seorang wanita bersamanya juga telah beriman. Kemudian Hisyam, Buraih dan wanita tadi datang berjumpa dengan Abu Abdillah a.s. Lalu Hisyam menceritakan kepada Abu Abdillah a.s tentang percakapan yang telah berlaku di antara Abu al-Hasan dan Buraih, maka Abu Abdillah a.s membaca firman Allah a.w “Iaitu satu keturunan yang sebahagiannya dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” Buraih berkata: Dari manakah Taurah, Injil dan kitab-kitab para nabi datang kepada anda?

Beliau a.s telah berkata: Kitab-kitab tersebut ada di sisi kami sebagai warisan daripada mereka, kami membacanya sebagaimana mereka membacanya dan kami menerimanya sebagaimana mereka telah menerimanya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang Hujjah di bumi-Nya apabila ditanya tentang sesuatu, maka dia akan berkata: Aku tidak mengetahuinya.

(176)-2. Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Bakr bin Salih, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Mufadhdhal bin Umar berkata: Kami telah datang di pintu [rumah] Abu Abdillah a.s dan kami mahu meminta izin daripadanya, tiba-tiba kami telah mendengarnya bercakap dengan bahasa bukan Arab, maka kami menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian beliau a.s telah menangis, lalu kamipun menangis kerana tangisannya. Kemudian seorang budak keluar kepada kami, lalu dia membenarkan kami masuk, maka kamipun masuk berjumpa dengannya.

Aku telah berkata: Aslaha-ka llahu, kami telah mendatangi anda, kami ingin meminta izin anda, kemudian kami telah mendengar percakapan yang bukan berbahasa Arab, maka kami telah menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian anda telah menangis, lalu kami telah menangis sama kerana tangisan anda, maka beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah mengingati nabi Ilyas, beliau adalah seorang nabi Bani Israel yang amat kuat ibadatnya, maka aku telah berkata sebagaimana beliau telah berkata di dalam sujudnya. Kemudian belia a.s telah membacanya di dalam bahasa Syriac yang baik. Demi Allah, kami belum pernah melihat seorang paderi atau Jaathiliq yang lebih fasih daripadanya. Kemudian beliau a.s telah menerangkannya di dalam bahasa Arab. Beliau a.s telah berkata di dalam sujudnya:

Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
dahaga kerana beribadat kepadaMu
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Melumurkan mukaku dengan tanah untuk beribadat
kepadaMu
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Menjauhi segala maksiat,
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Berjaga malam untukMu

Beliau telah berkata: Allah telah mewahyukan kepadanya: “Supaya mengangkat kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazab engkau. Beliau telah berkata: Jika Engkau berkata: Aku tidak mengazab engkau, kemudian Engkau mengazab aku bagaimana? Tidakkah aku ini hambaMu dan Engkau adalah Tuhanku? Maka Allah telah memberi wahyu kepadanya: Angkatlah kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazabmu, sesungguhnya Aku apabila Aku membuat janji, maka Aku melaksanakannya.



Bab 35

☼Sesungguhnya Tidak Seorangpun Yang Telah Mengumpulkan Al-Qur’an Kesemuanya Melainkan Para Imam A.S. Sesungguhnya Mereka Mengetahui Semua Ilmunya (Inna-hu lam yajma‘ al-Qur’an kulla-hu illa al-Aimmatu a.s wa-anna-hum ya‘lamuun ‘ilma-hu kulla-hu)☼

(177)-1. Muhammad bin Yahya, Ahamd bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada ‘Umru bin Abu al-Muqdam, daripada Jabir berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s telah berkata: Tidak ada seorang pun yang telah mendakwa bahawa sesungguhnya beliau telah mengumpulkan semua al-Qur’an sebagaimana diturunkan melainkan dia adalah seorang pendusta (Ma idda‘a ahadun min al-Naas anna-hu jama‘a al-Qur’an kulla-hu kama unzila illa kadhdhab) dan tidak seorang pun yang telah mengumpulkannya dan menghafaznya sebagaimana diturunkan Allah Ta‘aala melainkan Ali bin Abu Talib dan para imam a.s selepasnya (wa ma jama‘a-hu wa hafiza-hu kama nazzala-hu llahu Ta ‘aala illa ‘Ali bin Abi Talib wa al-Aimmatu ba‘da-hu a.s).

(178)-2. Daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada al-Mankhal, daripada Jabir, daripada Abu Ja‘far a.s bahawa beliau a.s telah berkata: Tidak ada seorang pun yang mampu mendakwa bahawa di sisinya semua al-Qur’an zahirnya dan batinnya selain daripada para wasi.

(179)-3. Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada al-Qasim bin al-Rabi‘, daripada ‘Ubaid bin Abdullah bin al-Hasyim al-Sairafi, daripada ‘Umru bin Mus‘ab, daripada Salmah bin Muhriz berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya di antara ilmu yang diberikan kepada kami ialah tafsiran tentang al-Qur’an dan hukum-hukumnya, ilmu perubahan masa dan peristiwa-peristiwanya. Apabila Allah mengehendaki kebaikan kepada satu kaum, maka Dia membuatnya mendengar dan jika Dia membuatnya mendengar kepada orang yang tidak mahu mendengarnya, maka beliau akan menolakkannya, seolah-olah beliau tidak mendengarnya. Kemudian beliau a.s mendiamkan diri seketika, kemudian beliau a.s telah berkata: Jikalau kita mendapati orang yang menerimanya, nescaya kami berkata: Allahlah Yang Menolong.

(180)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Isa, daripada Abu Abdillah al-Mu’min, daripada ‘Abd al-A‘la, maula Ali Syam berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku lebih mengetahui Kitab Allah daripada awalnya hingga akhirnya seolah-olah ia di tapak tanganku, padanya berita langit dan berita bumi, berita yang telah berlaku dan berita yang akan berlaku, Allah telah berfirman “Penjelasan segala sesuatu”

(181)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Abu Zahir, daripada al-Khasysyab, daripada Ali bin Hassan, daripada ‘Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdillah a.s telah membaca Firman-Nya “Berkatalah orang yang mempunyai ilmu dari Kitab: Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip” Abu Abdillah a.s telah membuka jari tangannya kemudian meletakkannya di dadanya sambil berkata: Dan di sisi kami, demi Allah, ilmu Kitab kesemuanya”.

(182)-6. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya dan Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada orang yang menyebutnya, semuanya daripada Abu ‘Umair, daripada Udhainah, daripada Buraid bin Mu‘awiyah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja‘far a.s: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antara kamu dan orang yang di sisinya ilmu al-Kitab”? Beliau a.s telah berkata: Kepada kamilah ia dimaksudkan. Ali adalah orang yang pertama kami, orang yang paling afdhal kami dan orang yang paling baik kami selepas nabi s.a.w.



0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster