Saturday, October 3, 2009

Mengenang Peristiwa Karbala - bahagian 1

Peristiwa Karbala

Setelah kesyahidan Imam Ali AS, umat Islam telah membai'ah Imam Hasan AS sebagai khalifah. Namun berita perlantikan Imam Hasan AS tidak disenangi oleh Muawiyah. Beliau menulis surat-surat protes kepada Imam Hasan dan menolak Imam Hasan AS sebagai khalifah. Muawiyah segera mengumpulkan pasukan tentera yang besar untuk menentang Imam Hasan AS. Lalu bersiap sedia untuk menyerang Iraq.

Apabila berita ini sampai kepada Imam Hasan AS, beliau AS mengirimkan pasukan tentera di bawah pimpinan Qays bin Sa'ad dan Ubaydillah bin Abbas seramai 12, 000 untuk mengawasi musuh sehingga Imam Hasan menyusul kemudian. Kelewatan Imam Hasan AS berangkat itu disebabkan sikap keberatan orang Kufah untuk pergi bersamanya menentang Muawiyah. Ketika Imam Hasan AS mengajak orang-orang Kufah untuk berangkat bersamanya untuk menghadapi Muawiyah, mereka agak keberatan untuk pergi berjuang bersama Imam Hasan AS. Adi bin Hatim seorang sahabat Rasulullah SAWAW kemudian menyampaikan kepada orang-orang Iraq desakan untuk menjawab seruan "Imam mereka anak dari putri Rasul mereka", barulah mereka keluar menuju medan peperangan.

Imam Hasan AS kemudian meninggalkan Kufah dengan tenteranya dan menuju al-Mada'in. Ketika itu pasukan tentera di bawah pimpinan Qays telah sampai di Maskin berhadapan dengan tentera Muawiyah. Gabenor Syria cuba menyogok Qays dengan menawarkan wang satu juta dirham jika ia membelot dari barisan Hasan dan bergabung dengannya. Qays menolak tawaran itu. Muawiyah membuat tawaran sama sama kepada Ubaydillah bin Abbas yang segera menerimanya. Beliau bergabung dengan barisan Muawiyah bersama 8,000 orang tenteranya.

Ketika Imam Hasan AS sampai di Sabat dalam perjalanan ke Mada'in, ia melihat beberapa orang dari pasukannya menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh, acuh tidak acuh atau enggan berperang. Imam Hasan AS berhenti di Sabat, mendirikan khemah dan berkhutbah:"Wahai saudara-saudaraku, aku tidak memiliki dendam apa pun terhadap sesama Muslim. Aku tidak lebih dari seorang pengawas atas diri kalian dan diriku sendiri. Kini, aku mempertimbangkan sebuah rencana; janganlah kalian menentangku dalam hal ini. Berdamai tidak disukai oleh sebahagian kalian, lebih baik daripada perpecahan yang lebih disukai dari kalian, lebih-lebih lagi ketika aku melihat kebanyakan dari kalian surut dari perang dan ragu untuk berperang. Kerana itu aku berfikir adalah, tidak bijaksana memaksakan kepada kalian sesuatu yang tidak kalian sukai."

Khutbahnya itu telah menyebabkan Imam Hasan AS ditikam oleh seorang Khawarij yang bernama al-Jarrah b. Sinan al-Asadi yang mendakwa Imam Hasan telah menjadi kafir seperti ayahnya. Imam Hasan AS luka dipahanya dan berita ini telah diekploitasikan oleh Muawiyah untuk memecahbelahkan tentera Imam Hasan di Maskin. Qays kemudian mengarahkan pasukan tenteranya bertempur dengan tentera Muawiyah. Walau bagaimanapun pasukan tentera Qais mulai membelot kepada Muawiyah dengan besar. Qays menulis surat kepada Imam Hasan AS dan apabila berita itu sampai ke tangan Imam Hasan AS, beliau segera memanggil para pemimpin Iraq dan berbicara dengan mereka dengan rasa kesal:

"Wahai rakyat Iraq, apa yang akau aku lakukan dengan orang-orangmu yang bersamaku ini? Ada surat dari Qays yang mengkhabarkan kepadaku bahawa bahkan orang-orang mulia dari kalangan kalian telah menyeberang ke pihak Muawiyah. Demi Allah betapa mengejutkan dan buruknya kelakuan pihak kalian! Kalianlah orang yang memaksa ayahku untuk menerima Tahkim di Siffin dan ketika tahkim yang menyebabkannya tunduk (kerana tuntutan kalian), kalian berbalik menentangnya. Dan ketika ia mengajak kalian untuk memerangi Muawiyah sekali lagi, kalian memperlihatkan kekenduran dan kelesuan. Setelah ayahku wafat, kalian sendiri datang kepadaku dan membai'atku dengan hasrat dan keinginan kalian sendiri. Aku terima bai'at kalian dan keluar menghadapi Muawiyah. Hanya Allah yang tahu betapa aku bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Kini kalian berperilaku seperti dulu lagi (seperti dengan ayahku). Wahai kaum Iraq, cukuplah bagiku jika kalian tidak memfitnah aku dalam agamaku, kerana sekarang aku akan menyerahkan urusan ini (khalifah) kepada Muawiyah."
Setelah itu Imam Hasan AS mengutus Abdullah bin Naufal bin al-Harits menemui Muawiyah tentang hasratnya untuk mengundurkan diri dan membincangkan syarat-syarat pengunduran tersebut. Qays bersama tenteranya kemudian meninggalkan medan pertempuran dan menuju ke Kufah serta bergabung dengan pasukan Imam Hasan AS. Abdullah bin Naufal menuliskan syarat-syarat yang ia fikirkan dan Muawiyah menerima syarat-syarat tersebut dan memberikan kertas kosong kepada Abdullah untuk dibawa kepada Imam Hasan supaya beliau boleh menambah apa sahaja yang ia inginkan namun Imam Hasan AS kemudian menetapkan syarat-syaratnya seperti berikut:
"Ini adalah syarat yang atasnya Hasan bin Ali bin Abi Talib berdamai dengan Muawiyah bin Abi Sufian dan menyerahkan kepadanya negaranya atau pemerintahan Ali Amirul Mukminin:
1. Bahawa Muawiyah harus memerintah menurut Kitab Allah, Sunnah Rasul dan perangai Khulafa' al-Rasyidin. Muawiyah tidak akan menunjuk atau mengangkat seorang untuk jabatan khalifah sesudahnya;
2. Bahawa khalifah akan dikembalikan kepada Hasan setelah Muawiyah mati namun jika apa-apa berlaku kepada Hasan, maka Husain akan mengambil alih jawatan khalifah.
3. Bahawa Muawiyah tidak menuntut apa-apa tindakbalas ke atas penduduk Madinah, Hijaz, dan Iraq di atas sikap mereka pada masa kekhalifahan Imam Ali AS.
4. Bahawa gabenor-gabenornya tidak akan melaknat Amirul Mukminin di atas mimbar atau mencacinya dengan perkataan buruk atau melaknatnya dalam qunut solat.
5. Bahawa rakyat akan dibiarkan dalam aman damai di mana juga mereka berada di bumi Allah.
6. Muawiyah tidak berhak ke atas urusan Baitul Mal di Kufah. Hasan sahaja yang berhak ke atas urusannya.
7. Bahawa tidak ada gangguan atau bahaya, secara rahsia atau terbuka, akan ditimpakan terhadap Hasan bin Ali dan saudaranya Husain atau para pengikut dan penyokong mereka atau wanita-wanita mereka.

Walau bagaimanapun Muawiyah mempunyai tujuannya sendiri. Beliau kemudian menghasut Jud'ah al-Asy'ats meracun Imam Hasan AS. Peristiwa itu berlaku pada 28 Safar tahun tahun 50 Hijrah. Kemudian beliau mahu melantik Yazid sebagai khalifah selepas beliau. Pada tahun 50 Hijrah Muawiyah mengarahkan penduduk Syria memberikan bai'ah kepada Yazid sebagai Putera Mahkota. Pada tahun 51 Hijrah Muawiyah pergi Haji ke Makkah untuk mendapatkan bai'ah umat Islam kepada Yazid. Di Madinah Muawiyah memaksa penduduk Madinah memberi bai'ah kepada Putera Mahkota Yazid. Namun terdapat empat tokoh yang tidak memberikan bai'ah kepada Yazid iaitu Husain bin Ali, Abdullah bin Umar Abdur Rahman bin Abi Bakar dan Abdullah bin Zubair.

Muawiyah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir telah berpesan kepada Yazid:"Wahai anakku aku telah mengatur segalanya untukmu, dan aku telah membuat semua orang Arab sepakat untuk patuh kepadamu. Tidak ada seorangpun kini yang menentang engkau dalam hak khalifahmu tetapi aku sangat cemas akan Husain bin Ali, Abdullah bin Umar Abdur Rahman bin Abi Bakar dan Abdullah bin Zubair. Di antara mereka, Husain bin Ali mempunyai daya tarik cinta dan penghormatan besar kerana hak-hak keutamaannya dan hubungan dekatnya dengan Rasul. Aku kira rakyat Iraq tidak akan meninggalkannya sampai mereka bangkit memberontak menentangmu...."

Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijrah. Yazid memerintahkan gabenor Madinah untuk memaksakan bai'ah kepada Imam Husain AS atau mengirimkan kepalanya ke Damsyik sekira dia enggan memberikan bai'ahnya.


0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster