Sabda Nabi SAW:"Umpama Ahlu l-Baitku samalah seperti bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya. Dan siapa yang enggan atau terlambat akan tenggelam."
Para ulama Islam telah bersepakat tentang kesahihan hadith ini. Ianya telah diriwayatkan oleh para ulama Sunnah dan Syi'ah di mana lebih seratus daripada para penghafal, ahli Hadith,Sirah, Sejarah telah mencatatnya di dalam buku-buku mereka, mengakui kepentingannya kerana kepatuhan kepada kebesaran Allah SWT. Mereka menerimanya dengan senang hati.
Nas Hadith
Di sini diperturunkan sebahagian daripada nama-nama ulama Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith ini seperti berikut:
Al-Hakim di dalam al-Mustadrak dengan sanadnya daripada Hunsy al-Kinani berkata: Aku mendengar Abu Dhar yang sedang berpegang di pintu Ka'bah berkata: Siapa yang mengenaliku, maka akulah orang yang kalian kenali dan siapa yang tidak mengenaliku, maka akulah Abu Dhar. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Umpama Ahlu l-Baitku seperti bahtera Nuh siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang enggan atau terlambat akan tenggelam. Hadith ini adalah sahih menurut pensyaratan Muslim.
Al-Tabrani telah mencatatkan di dalam al-Ausat daripada Abu Sa'id, Nabi SAW bersabda: Umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang enggan atau terlambat akan tenggelam. Dan umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah pintu pengampunan bagi Bani Isra'il. Siapa yang memasukinya akan diampun.
Ibn Hajr dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah mengemukakan beberapa riwayat yang menyokong satu sama lain bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya. Di dalam riwayat Muslim:'Dan siapa yang membelakanginya akan tenggelam. Sesungguhnya umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah pintu pengampunan bagi Bani Isra'il. Siapa yang memasukinya akan diampun.' Dan dalam riwayat yang lain:'Dosa-dosanya akan diampun.'
(Kemudian dia berkata) selepas mengemukakan hadith ini dan hadith-hadith yang seumpamanya dan membentangkan perumpamaan mereka dengan bahtera bahawa sesungguhnya orang yang mencintai mereka, dan menghormati mereka kerana mensyukuri nikmat yang dikurniakan dan berjaya daripada kegelapan perselisihan. Dan sesiapa yang membelakanginya, nescaya akan tenggelam di lautan kekufuran nikmat dan binasa di dalam arus kezaliman. Sehingga dia berkata: Cinta kepada Ahlu l-Bait adalah menjadi sebab ummat ini dijadikan.
Al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin dengan membuang sanad-sanadnya daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada 'Ali AS: Wahai 'Ali, aku adalah bandar hikmat, dan anda adalah pintunya, dan tidak akan memasuki bandar melainkan melalui pintunya. Dan berbohonglah orang yang menyatakan bahawa dia mencintaiku sedangkan dia memarahi anda, kerana anda adalah daripadaku, dan aku adalah daripada anda. Daging anda adalah dagingku. Darah anda adalah darahku. Jiwa anda adalah jiwaku. Batin anda adalah batinku. Zahir anda adalah zahirku. Anda adalah imam umatku dan khalifahku ke atasnya selepasku. Berbahagialah orang yang mentaati anda. Celakalah orang yang menderhakai anda. Beruntunglah orang yang mewalikan anda. Rugilah orang yang memusuhi anda. Beroleh kemenanganlah orang yang berada di samping anda. Dan binasalah orang yang menjauhi anda. Anda samalah seperti para imam daripada anak-anak lelaki anda selepasku seperti bahtera Nuh siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang membelakanginya akan tenggelam. Dan kalian sepertilah bintang-bintang setiap kali satu bintang tidak kelihatan, timbul pula bintang yang lain sehingga ke hari kiamat.
Ibn al-Maghazili al-Syafi'i meriwayatkan tentang kelebihan-kelebihan Ahlu l-Bait AS dengan sanadnya daripada Harun al-Rasyid daripada al-Mahdi daripada al-Mansur daripada bapanya daripada datuknya daripada Ibn 'Abbas RD berkata: Rasulullah SAW bersabda: Umpama Ahlu l-Baitku sepertilah bahtera Nuh, siapa yang menaikinya berjaya. Dan siapa yang enggan atau terlambat akan binasa. Tetapi apa yang menghairankan ialah tindakan kekerasan mereka terhadap Ahlu l-Bait AS meskipun mereka mempercayai kelebihan 'mereka.'
Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar meriwayatkan bahawa sekumpulan pengarang-pengarang Sunan telah meriwayatkan daripada para sahabat bahawa Nabi SAW bersabda: Umpama Ahlu l-Baitku pada kalian samalah seperti bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang membelakanginya binasa. Di dalam riwayat yang lain 'tenggelam.'
Hadith ini bukan sahaja mutawatir di kalangan Ahlu l-Sunnah malah ianya menjadi mutawatir di kalangan Syi'ah. Aku berkata: Ini adalah ringkasan tentang hadith al-Safinah yang banyak. Walau bagaimanapun aku kemukakan sebahagian daripada nama-nama ulama Ahlu l-Sunnah yang meriwayatkan hadith al-Safinah di dalam buku-buku mereka:
Muslim di dalam Sahihnya, Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya, al-Tabari di dalam Tarikhnya, al-Hakim di dalam al-Mustadrak, Muhibuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, Abu Nua'im al-Asfahani di dalam al-Hilyah dan Dala'il al-Nubuwwah, Ibn 'Abd Birr di dalam al-Isti'ab, al-Khatib di dalam Tarikh Baghdad, Ibn al-Athir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah, Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib, Ibn Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul, Muhibb al-Tabari di dalam Riyadh al-Nadhirah, Sibt Ibn al-Jauzi di dalam al-Tadhkirah, Ibn al-Sabagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah, al-Suyuti di dalam al-Jami' al-Saghir, Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq, al-Syblanji di dalam Nur al-Absar, al-Siban di dalam al-Is'af, al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah, al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib, dan lain-lain.
Di antara orang yang mengakui kesahihannya ialah Imam al-Syafi'i sendiri. Al-Ujaili telah mengaitkan kata-kata Syafi'i di dalam Dhakhirah al-Mal:
Manakala aku melihat manusia telah berpegang kepada mazhab yang bermacam-macam di lautan kebodohan dan kejahilan
Aku menaiki dengan nama Allah bahtera kejayaan mereka itulah Ahlu l-Bait al-Mustafa dan penamat segala Rasul.
Wahai pembaca yang budiman, sesungguhnya hadith yang mulia ini datangnya daripada Nabi SAW. Beliau telah menutup jalan-jalan yang banyak. Justeru itu beliau tidak meninggalkan selain daripada jalan Ahlu l-Bait yang terang seperti matahari di siang hari. Beliau telah memimpin mereka ke jalan yang benar dengan hujah yang terang yang akan membawa mereka ke syurga.
Dan perumpamaan Ahlu l-Baitnya dengan bahtera Nuh adalah jelas menunjukkan bahawa mengikuti mereka, mematuhi kata-kata dan perbuatan-perbuatan mereka adalah wajib. Dan untuk mendapat kejayaan adalah dengan menaiki bahtera, nescaya mereka berjaya daripada tenggelam kerana bahtera itu terselamat daripada keaiban. Sekiranya terdapat kecacatan, nescaya binasalah orang yang berada di dalamnya tanpa syak lagi. Kerana ombak-ombak taufan begitu kuat memukul seperti bukit sebagaimana diceritakan oleh al-Qur'an tentang kesengsaraan yang menakutkan. Nuh menyeru anak lelakinya dari jauh:"Wahai anakku! Naiklah bersama kami dan janganlah anda berada bersama orang yang kafir. Anaknya berdegil tidak mahu menaikinya sambil berkata: Aku akan berlindung di bukit yang dapat memeliharaku daripada air. Maka Nuh menjawab: Tidak ada pemeliharaan di hari ini (sesuatupun) dari suruhan Allah (selama-lamanya) selain daripada orang yang dirahmati Allah (dengan menaiki bahtera). Lantas orang yang ingkar tetap berkeras dengan penuh penentangannya. Maka ombak telah memisahkan di antara keduanya, maka termasuklah dia dari golongan orang yang tenggelam yang berdegil di atas kekufuran mereka. Maka ombak-ombak tadi memukul mereka, lalu mereka pun binasa. Wa l-Hamdulillah 'Ala Halaki Ahli l-Kufr.
Demikianlah para imam Ahlu l-Bait AS dengan ummat ini. Siapa yang berlindung kepada mereka dan berjalan menurut jalan mereka yang lurus, berpegang kepada ikatan kukuh yang tidak akan berpisah buat selama-lamanya, mengambil daripada mereka asas-asas agamanya serta cabang-cabangnya, berakhlak dengan akhlak mereka yang mulia, berpegang kepada kewalian mereka, benar-benar mencintai mereka di dalam ertikata orang lain tidak mendahului mereka, nescaya dia akan berjaya dari tenggelam dan akan mendapat ganjaran yang sewajarnya. Selamat daripada siksaan Allah di hari akhirat dan akan mendapat ganjaran daripada Allah dan Nabi SAW. Dan sesiapa yang membelakangi mereka adalah seperti orang yang berlindung di hari Taufan kepada bukit untuk menyelamatkannya daripada urusan Allah. Maka dia disambar oleh ombak lalu tenggelam dan binasa. Demikian juga ombak-ombak fitnah telah melanda (mereka) bertubi-tubi samalah seperti ombak-ombak Taufan Nuh. Tidak ada beza di antara kedua-duanya menurut nas hadith. Ombak mengambilnya dan menenggelamkannya kemudian dia tinggal di neraka. Perbezaan yang pertama tenggelam di air sementara yang kedua tenggelam di neraka jahannam (Wa l-'Iyadhubillah).
Al-Sayyid al-Muhsin al-Amin al-'Amili berkata: Manakah kata-kata yang lebih jelas daripada sabdanya:"Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang membelakanginya binasa atau tenggelam" sebagaimana orang yang menaiki bahtera Nuh berjaya daripada tenggelam. Dan siapa yang tidak menaikinya tenggelam dan binasa. Begitu juga dengan orang yang mengikuti Ahlu l-Bait AS berada di dalam kebenaran dan selamat daripada kemurkaan Allah SWT serta mendapat kemenangan dengan keridhaanNya. Dan siapa yang menyalahi mereka akan binasa dan jatuh ke dalam kemurkaan Allah dan siksaanNya. Ini menunjukkan kemaksuman mereka. Jikalau tidak, bagaimana orang yang mengikuti mereka berjaya dan orang yang menyalahi mereka binasa.
Ini adalah secara umum dan khusus sebagaimana telah diterangkan di dalam hadith Thaqalain. Apa yang dimaksudkan di dalam hadith itu ialah para imam Ahlu l-Bait yang telah disepakati kelebihan mereka. Dikenali dengan keilmuan, kezuhudan dan kewarakan mereka. Dan ummat juga bersepakat selain daripada mereka tidaklah maksum. Orang yang tidak maksum tidak menjamin kejayaan pengikutnya, dan penentangnya pula tidaklah binasa dalam setiap keadaan.
Justeru itu memadailah mereka dinamakan pintu pengampunan kerana kejayaan terletak pada mengikuti mereka dan pelepasan dosa serta kemaksiatan, adalah dengan mengambil jalan mereka.
Aku berkata: Hadith ini yang mulia ini merupakan hujah yang pemutus dan dalil yang kuat terhadap dakwaan Syi'ah al-Abrar dan pengikut-pengikut Ahlu l-Bait AS bahawa khalifah adalah untuk 'Ali Amirul Mukminin AS. Selepas Rasulullah SAW secara langsung dan selepasnya adalah zuriatnya yang terpilih berdasarkan kepada nas hadith bahawa orang-orang yang berpegang kepada 'itrah yang suci akan berjaya. Dan orang yang membelakangi mereka akan binasa. Lantaran itu tidak ada ruang bagi seseorang untuk menentang hujah mereka dan mengambil selain daripada mereka serta mendakwa kejayaan bagi dirinya. Aku memohon kepada Allah supaya menunjukkan Muslimin kepada jalan yang benar dan menyatukan pemikiran mereka bagi mengikuti kebenaran dan mengilhamkan mereka percakapan yang benar.
0 comments:
Post a Comment