Saturday, August 29, 2009

Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat Tabligh atau Hadith al-Ghadir - Bahagian 2

Adapun Syi'ah, mereka telah bersepakat tentang kemutawatirannya. Tetapi manakala sabitnya hadith al-Ghadir sehingga mencapai ke tahap di mana orang yang mempunyai perasaan iri hati tidak dapat menolaknya, lalu ditanamkan perasaan curiga kepada perawi-perawi dan riwayat-riwayat mereka pula. Mereka menakwilkan perkataan al-Maula menurut hawa nafsu mereka. Kadangkala mereka mentafsirkannya dengan pencinta (al-Muhibb), pembantu (al-Nasir) dan dengan perkataan al-Aula (lebih utama).

Demikianlah sekiranya mereka tidak ada jalan lain lagi untuk melakukan kecacatan dan 'kelemahan' di dalam penafsiran ayat dan hadith. Mereka juga mengatakan bahawa Nabi SAW berada di Ghadir Khum, dan berkhutbah bagi menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali dan memperkenalkannya ('Ali) kepada orang ramai dan bukan bertujuan untuk menjadikannya khalifah selepasnya.

Adapun orang yang syak tentang perkataan al-Waliyy sebagaimana telah disebutkan, sekalipun ianya mungkin memberi pengertian-pengertian tersebut sebagaimana dikatakan oleh lawan yang angkuh, maka ianya pasti memberi pengertian 'orang yang lebih berhak dengan khalifah'. Dan tidak harus seorangpun melakukan perkara tersebut selain daripadanya ('Ali AS). Dalil kami ialah ayat al-Wilayah (Surah al-Maidah (5):55). Adapun pendapat lawan yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berada di Ghadir Khum adalah untuk menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali AS sahaja dan bukan sebagai pengganti Nabi SAW adalah rekaan semata-mata. Lantaran itu percakapannya adalah batil, tidak sampai kepada hakikat dan ianya tidak dapat diterima.

Kerana seolah-olah 'Ali AS tidak dikenali sebelumnya sehingga Rasulullah SAW berada di tempat tersebut dan memperkenalkannya kepada orang ramai pada masa yang mencemaskan dengan suhu yang tinggi. Sebagaimana telah diterangkan kepada kalian sesungguhnya 'Ali lebih dikenali di dalam peperangan-peperangannya, disaksikan oleh peristiwa-peristiwa tersebut dan beliau ('Ali AS)lah yang telah mengukuhkan agama ini dengan pedangnya.

Oleh itu dalil yang paling kuat tentang kebenaran dakwaan kami ialah 'Ali AS sendiri berdiri memberi khutbahnya di atas mimbar di Rahbah sebagaimana telah disebutkan oleh semua ahli sejarah selepas beliau menjadi khalifah.

Dia berkata: Aku menyeru kerana Allah bagi setiap orang yang mendengar Rasulullah SAW bersabda di Hari al-Ghadir supaya berdiri dan mempersaksikan apa yang telah didengarinya. Dan tidak boleh berdiri melainkan orang yang melihatnya (Nabi SAW) dengan matanya dan mendengar dengan kedua telinganya. Maka tiga puluh sahabat berdiri termasuk dua belas orang yang telah mengambil bahagian di dalam peperangan Badr. Maka mereka telah menyaksikan bahawa beliau SAW telah memegang 'Ali dengan tangannya dan berkata kepada orang ramai: Tidakkah anda mengetahui bahawa sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.

Pembaca yang budiman tentu seklai tidak akan mengatakan bahawa tiga puluh sahabat itu telah berbohong, kerana ini tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Lantaran itu pencapaian tahap kemutawatiran hadith al-Ghadir yang berlaku semata-mata dengan penyaksian mereka adalah Qat'i. Dan tidak syak lagi bahawa hadith ini pula diambil oleh semua orang yang berada di Rahbah di dalam perhimpunan tersebut, dan menyebarkannya selepas mereka pulang ke tempat-tempat mereka.

Sebagaimana Sayyid Syarafuddin al-Musawi berkata di dalam bukunya al-Murujaat (Dialog Sunnah-Syi'ah); Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa hari Rahbah itu berlaku semasa Khalifah Amiru l-Mukminin. Beliau telah dibai'ah pada tiga puluh lima hijrah. Hari al-Ghadir ialah pada Haji Wida' tahun kesepuluh. Dan jarak masa di antara dua hari tersebut (hari al-Ghadir dan hari Rahbah) ialah dua puluh lima tahun.

Di sepanjang masa tersebut telah menular penyakit taun dan berlaku beberapa peperangan yang telah meragut nyawa sebahagian besar para sahabat yang telah menyaksikan hari al-Ghadir dan pemuda-pemuda mereka yang terlibat di dalam peperangan meninggal dunia. Sehingga tinggal bilangan kecil yang masih hidup dan yang masih hidup pula tinggal di merata-rata tempat. Justeru itu mereka yang menyaksikan hari Rahbah ialah mereka yang tinggal bersama Amiru l-Mukminin di Iraq. Meskipun begitu tiga puluh sahabat berdiri dan memberikan penyaksian mereka. Dua belas daripada mereka terlibat di dalam peperangan Badr, telah menyaksikan hadith hari al-Ghadir dan mendengarnya daripada Nabi SAW. Memang terdapat sahabat-sahabat seperti Anas bin Malik yang enggan memberi penyaksian tersebut di mana 'Ali AS berkata kepadanya: Kenapa anda tidak berdiri bersama-sama sahabat-sahabat Rasulullah SAW untuk memberi penyaksian kepada apa yang telah anda dengari daripadanya di hari itu? Dia menjawab: Wahai Amiru l-Mukminin. Aku telah tua dan pelupa pula.

Lantas 'Ali AS berkata: Sekiranya anda berbohong, nescaya Allah akan mengenakan anda dengan penyakit keputihan kulit yang tidak dapat ditutupi serban. Dia tetap tidak berdiri sehingga mukanya di hinggapi keputihan kanser. Selepas itu dia berkata: Aku ditimpa penyakit ini disebabkan berkat hamba yang soleh ('Ali AS). Jikalaulah Imam 'Ali AS membuat persiapan bagi menghimpunkan semua sahabat yang masih hidup di masa itu, kemudian beliau menyeru mereka sebagaimana beliau telah melakukannya di hari Rahbah, nescaya bilangan mereka akan berlipat ganda lagi. Apatah lagi jika beliau membuat persiapan itu di Hijaz sebelum berlakunya Hari al-Ghadir. Lantaran itu hakikat ini nescaya anda akan mendapatinya sekuat-kuat dalil kemutawatiran hadith al-Ghadir.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster