Saturday, August 29, 2009

Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat Tabligh atau Hadith al-Ghadir - Bahagian 3

Di sini aku akan kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian daripada pendapat-pendapat ahli Tafsir dan ahli hadith mengenai ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah (5):56)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu...." dan ayat Ikmaluddin dalam (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu...." dan ayat (Surah al-Ma'arij (70):1)"Seorang telah meminta kedatangan azab...." serta hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....dan lain-lain hadith yang telah dikaitkan secara khusus mengenai 'Ali AS untuk jawatan khilafah dan Imamah selepas Rasulullah SAW secara langsung di Hari al-Ghadir.

Hadith al-Ghadir telah diriwayatkan oleh para ulama besar Muslimin dengan sanad yang mutawatir dan dikhususkan kepada Imam Amiru l-Mukminin 'Ali AS.

Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul berkata: Sesungguhnya ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5):67) telah diturunkan di hari al-Ghadir pada 'Ali bin Abi Talib RD. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur berkata: Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih dan Ibn Asakir telah meriwayatkannya daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5): 67) telah diturunkan ke atas Rasulullah di hari al-Ghadir mengenai 'Ali bin Abu Talib AS.

Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib berkata: Ahli Tafsir telah menyebutkan bahawa sebab turun ayat ini sehingga dia berkata: (kesepuluh) ayat ini telah diturunkan tentang kelebihan 'Ali bin Abi Talib AS. Manakala ayat ini diturunkan Nabi SAW memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Hormatilah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya. Kemudian Umar (RD) memujinya dan berkata: Tahniah kepada anda wahai anak Abu Talib. Anda telah menjadi maulaku dan maula semua mukmin dan mukminah. Ini adalah riwayat Ibn 'Abbas, al-Barra' bin Azib dan Muhammad bin Ali.

Al-Nisaburi di dalam Tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini telah diturunkan mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib RD di hari al-Ghadir. Dia menyebutkan sebagaimana telah disebutkan oleh Fakhruddin al-Razi satu demi satu.

Al-Syaukani di dalam Tafsirnya menyebutkan bahawa Abu al-Syaikh meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya Allah telah mengutuskan (kepadaku) satu misi yang mencemaskan, aku mengetahui bahawa sesungguhnya orang ramai akan membohongiku. Maka Dia telah menjanjikan aku supaya aku menyampaikannya atau Dia akan menyiksaku. Maka turunlah ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah (5):67)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu....Dia telah menyebutkan apa yang telah disebutkan oleh al-Suyuti bahawa ianya diturunkan di hari al-Ghadir Khum tentang 'Ali bin Abi Talib AS. Dan mereka membaca ayat tersebut dengan: Inna Aliyyan Maula al-Mukminin (Sesungguhnya 'Ali adalah wali Mukminin).

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah menulis: al-Tha'labi telah meriwayatkan daripada Ibn Salih daripada Ibn 'Abbas daripada Muhammad al-Baqir RD mereka berdua berkata: Ayat ini diturunkan mengenai 'Ali AS.

Al-Alusi di dalam Ruh al-Ma'ani berkata: Ibn 'Abbas berkata: Ayat ini diturunkan kepada 'Ali AS. Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya mengisytiharkan kepada orang ramai (para sahabatnya) mengenai wilayah 'Ali AS. Rasulullah SAW merasa takut bahawa mereka akan berkata bahawa beliau SAW memilih sepupunya. Mereka akan menentang beliau mengenainya. Lantaran itu Allah menurunkan ayat ini, maka beliau melaksanakan wilayahnya ('Ali AS) dan berkata: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Dia telah menyebutkannya sebagaimana telah disebutkan oleh al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur hingga ke akhirnya.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster