Dia juga meriwayatkan daripada Abu Dhar RH bahawa dia berkata: Pada suatu hari aku menunaikan solat Zuhr bersama Rasulullah SAW. Maka seorang peminta sadqah di masjid meminta (sesuatu), tidak seorangpun memperdulikannya. Lantas peminta itu mengangkat tangannya ke langit dan berkata: Wahai Tuhanku persaksikanlah sesungguhnya aku telah meminta di masjid Rasulullah SAW, tetapi tidak ada seorangpun yang memberi sesuatu kepadaku. Dan 'Ali AS pada ketika itu sedang rukuk lalu beliau memberikan isyarat kepadanya dengan anak jari tangan kanannya yang bercincin. Maka lelaki tadi datang mencabutnya dan ianya dilihat oleh Nabi SAW lalu beliau bersabda: Sesungguhnya saudaraku Musa telah meminta kepada Engkau dan berkata:(Surah Taha (20): 25): Wahai Tuhanku lapangkanlah untukku dadaku dan jadikanlah dia sekutu di dalam urusanku. Maka ayat (Surah al-Qasas (28): 35)"Kami akan membantumu dengan saudaramu dan kami berikan kamu berdua kekuasaan yang besar" diturunkan.
"Wahai Tuhanku, aku adalah Muhammad Nabi kalian dan pilihan kalian, maka lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku dan jadikanlah untukku seorang pembantuku (wazir) daripada keluargaku 'Ali dan perkukuhkanlah dengannya kekuatan." Abu Dhar berkata:"Demi Allah sebaik saja Rasulullah SAW selesai membaca doa itu, Jibra'il turun dan berkata: Wahai Muhammad "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan memberikan zakat di dalam keadaan rukuk (al-Maidah (5): 55).
Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Syablanji di dalam Nur al-Absar sanadnya sampai kepada Abu Dhar. Di antara orang-orang yang meriwayatkan hadith ini diturunkan pada Amiru l-Mukminin 'Ali AS ialah al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, al-Zamakhsyari di dalam tafsirnya al-Kasysyaf bahawa ayat ini diturunkan kepada 'Ali ketika peminta sadqah meminta kepada beliau di dalam keadaan rukuk di dalam solatnya, maka beliaupun mencampakkan cincinnya. Ibn Hajr al-Asqalani, di dalam al-Kafi al-Syafi fi Takhrij Ahadith al-Kasysyaf ketika mengeluarkan hadith ini, dia berkata: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Salmah bin Kuhail dia berkata: 'Ali bersadqah dengan cincinnya dalam keadaan rukuk. Maka ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman" [al-Maidah (5): 55] diturunkan.
Hadith ini juga diriwayatkan daripada Ibn Mardawaih dan Sufyan al-Thauri daripada Ibn Sinan daripada al-Dhahak daripada Ibn 'Abbas, dia berkata:"Ali AS sedang menunaikan solat di dalam keadaan berdiri, tiba-tiba datang seorang peminta sadqah ketika 'Ali sedang rukuk. Maka beliaupun memberikan cincinnya kepada orang itu. Lalu ayat yang bermaksud:"Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya....."[al-Maidah (5): 55] diturunkan.
Abu Bakar Ahmad bin 'Ali al-Razi al-Hanafi di dalam Ahkam al-Qur'an mengeluarkan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa ayat ini diturunkan mengenai hak 'Ali AS. Sanad-sanadnya berakhir kepada Mujahid, Sudi, Abu Ja'far, 'Atbah bin Abi Hakim dan lain-lain.
Al-Qurtubi al-Andalusi di dalam al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, memindahkan hadith ini daripada Imam al-Baqir AS bahawa ayat ini diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS dan keluarganya. Dia berkata: Mereka memberi zakat di dalam keadaan rukuk menunjukkan bahawa sadqah sunat dinamakan zakat kerana 'Ali AS telah bersadqah sunat dengan cincinnya semasa rukuk.
Rasyid Ridha yang bermazhab Wahabi di dalam tafsirnya al-Manar, al-Alusi di dalam Ruh al-Ma'ani menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada hak Amiru l-Mukminin 'Ali AS dengan berbagai riwayat yang berakhir setengahnya kepada Ibn 'Abbas dan setengahnya kepada Abdullah bin Salam.
Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, telah meriwayatkan beberapa riwayat yang sahih di dalam bab ini. Sibt Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Huffaz.
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Gha'ib, mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa imam selepas Rasulullah SAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS. Justeru itu untuk mengukuhkannya, aku berkata: Bahawa sesungguhnya ayat ini menunjukkan bahawa apa yang dimaksudkannya ialah seorang imam. Dan apabila ianya menunjukkan sedemikian maka imam tadi mestilah 'Ali bin Abi Talib AS.
al-Bahrani di dalam Ghayah al-Maram telah mengemukakan hadith-hadith yang menunjukkan ayat ini telah diturunkan kepada Amiru l-Mukminin 'Ali AS. Dia meriwayatkan sebanyak dua puluh empat hadith menurut saluran Ahlu s-Sunnah dan dua puluh hadith menurut saluran Syi'ah.
Aku berkata: Ini sahajalah peluang yang mengizinkan kami menyebutkan kata-kata Ahlu s-Sunnah di dalam bab ini. Adapun sahabat-sahabat kami Imamiyyah, Syi'ah keluarga suci, mereka bersepakat di dalam buku-buku Hadith, Tafsir dan ilmu l-Kalam bahawa ayat tersebut diturunkan pada hak 'Ali AS. Sesungguhnya beliaulah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Tidak seorangpun menyalahinya. Kadangkala mereka mendakwa bahawa hadith ini telah sampai ke peringkat kemutawatirannya. Lantaran itu tidak ada ruang dan helah bagi seseorang itu untuk mengesyaki dan menolaknya melainkan ianya seorang pemarah, penentang ataupun terlalu rendah daya pemikirannya.
Aku berkata: Ayat ini menentukan bahawa sesungguhnya imam dan khalifah selepas Rasulullah SAW ialah 'Ali bin Abi Talib AS kerana Allah SWT mengiringi wilayah 'Ali dengan wilayahNya dan wilayah RasulNya.
0 comments:
Post a Comment