Friday, August 28, 2009

Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat al-Wilayah - Bahagian 1

Syi'ah mengambil hukum-hukum agama mereka selepas Nabi SAW daripada al-Qur'an dan Sunnah Nabawiyyah. Adapun daripada al-Qur'an para mujtahid mereka mengambil hukum-hukum daripada nas-nas yang terang. Adapun nas-nas yang memerlukan penafsiran, mereka merujukkan kepada penafsiran al-Itrah yang suci.

Bagi orang yang bukan mujtahid, sama ada dia seorang muhtat yang memilih hukum untuk dirinya sendiri atau seorang muqallid yang mentaklidkan kepada seorang mujtahid yang adil menurut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam buku-buku mereka. Apa yang paling penting baginya ialah mujtahid tersebut mestilah mengambil fiqhnya daripada Nabi SAW dan Ahlu l-Baitnya yang suci bersama al-Qur'an dan membuat kesimpulan dengan cahaya akal: Syi'ah mempunyai hujah-hujah yang kuat di dalam buku-buku mereka. Justeru itu aku kemukakan kepada kalian sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi SAW yang menunjukkan sabitnya hak dan dakwaan mereka.

Di sini dikemukakan ayat-ayat al-Qur'an yang menyokong dakwaan Syi'ah yang telah ditafsirkan oleh para ulama Ahlu l-Sunnah yang sejajar dengan pentafsiran Syi'ah seperti berikut:

1. Ayat al-Wilayah

FirmanNya di dalam (Surah al-Maidah (5): 55):"Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya, dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberi zakat dalam keadaaan rukuk."

Telah sepakat semua Ahlu l-Bait AS, para ulama Tafsir dan Hadith dari golongan Syi'ah dan kebanyakan para ulama tafsir Ahlu s-Sunnah, malah keseluruhan mereka bahawa ayat ini telah diturunkan pada Amiru l-Mukminin Ali AS, ketika beliau memberi sadqah cincinnya kepada si miskin di dalam keadaan beliau (Ali AS) sedang solat di Masjid Rasulullah SAW. Peristiwa ini telah diakui oleh para sahabat pada zaman Nabi SAW, para tabi'in dan penyair-penyair yang terdahulu sehingga mereka memasukkan peristiwa ini ke dalam syair-syair mereka.

Di sini diperturunkan kenyataan para ulama Ahlu s-Sunnah mengenai perkara tersebut seperti berikut:

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur berkata: al-Khatib telah mengeluarkannya di dalam al-Muttafaq daripada Ibnu Abbas, dia berkata:'Ali AS telah menyedekahkan cincinnya dalam keadaan rukuk. Maka Nabi SAW bersabda: Siapakah yang memberikan kepada anda cincin ini? Lelaki ini menjawab: Lelaki yang sedang rukuk itu. Maka Allah SWT menurunkan ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberi zakat di dalam keadaan rukuk (Surah al-Maidah(5): 55).

Al-Tabrani telah menulisnya di dalam al-Ausat. Ibn Mardawaih daripada 'Ammar bin Yassir berkata: Seorang peminta sadqah berdiri di sisi Ali yang sedang rukuk di dalam sembahyang sunat. Lalu beliau mencabutkan cincinnya dan memberikannya kepada peminta tersebut. Kemudian dia memberitahukan Rasulullah SAW mengenainya. Lalu ayat tersebut diturunkan. Kemudian Nabi SAW membacakannya kepada para sahabatnya. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku, hormatilah orang yang memperwalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya, cintailah orang orang mencintainya, bencilah orang yang membencinya, tolonglah orang yang menolongnya, tinggallah orang yang meninggalkannya dan penuhilah kebenaran bersamanya di mana saja dia berada."

Begitu juga Abdu l-Razzaq, 'Abd b. Hamid, Ibn Jarir dan Abu Syaikh telah mengesahkan bahawa Ibn Mardawaih meriwayatkannya daripada Ibn Abbas, dia berkata: ayat "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.....(Surah al-Maidah (5):55) telah diturunkan ke atas 'Ali bin Abi Talib.

Hadith ini telah dikeluarkan juga oleh Ibn Abi Hatim, Abu Syaikh dan Ibn 'Asakir daripada Salmah bin Kuhail. Dia berkata: Ali menyedekahkan cincinnya dalam keadaan rukuk. Kemudian ayat (Surah al-Ahzab (33): 33) diturunkan.

Begitu juga Ibn Jarir, daripada Sudi dan 'Atbah bin Hakim telah mengeluarkan hadith yang sama, sementara Abu Syaikh dan Ibn Mardawaih meriwayatkan hadith ini daripada 'Ali bin Abi Talib. Dia berkata: Ayat (Surah al-Maidah (5):55) "Sesungguhnya wali kami adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman....." adalah diturunkan kepada Rasulullah SAW di rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dan memasuki masjid. Orang ramai bersembahyang di antara rujuk dan sujud, malah ada yang berdiri. Tiba-tiba datang seorang peminta sadqah, adakah seseorang telah memberikan kepada anda sesuatu? Dia menjawab: Tidak, selain daripada lelaki yang sedang rukuk iaitu 'Ali bin Abi Talib telah memberikan cincinnya kepadaku.

Ibn Mardawaih telah mengeluarkan hadith ini melalui al-Kalbi daripada Abi Salih daripada Ibn Abbas dia berkata: 'Abdullah bin Salam dan beberapa orang Ahlu l-Kitab datang kepada Nabi SAW di waktu zuhur. Mereka berkata: Sesungguhnya jarak rumah-rumah kami jauh sekali. Kami tidak dapati orang yang ingin duduk bersama kami dan bergaul dengan kami selain di masjid ini. Dan sesungguhnya kaum kami apabila mereka melihat kami telah membenarkan Allah dan RasulNya, dan meninggalkan agama mereka, lalu mereka melahirkan permusuhan mereka dan bersumpah supaya mereka tidak bergaul dengan kami, mereka tidak makan bersama-sama kami. Lantaran itu ianya menimbulkan kesulitan kepada kami. Dan di kalangan mereka ada yang merayu perkara itu kepada Rasulullah SAW. Dan kemudian ayat yang bermaksud: Sesungguhnya wali kami adalah Allah, RasulNya dan orang yang beriman..[al-Maidah (5): 55] diturunkan. Kemudian azan diadakan bagi menunaikan solat Zuhr.

Kemudian Rasulullah SAW keluar ke masjid, tiba-tiba beliau melihat peminta sadqah lalu beliau bersabda: Adakah seseorang telah memberikan anda sesuatu? Dia menjawab: Ya. Beliau bertanya: Siapa? Dia menjawab: Lelaki yang sedang berdiri itu. Beliau bertanya lagi: Di dalam keadaan manakah dia memberikannya kepada anda? Dia menjawab: Dalam keadaan rukuk. Beliau bersabda: Itulah 'Ali bin Abi Talib AS. Lalu Rasulullah SAW bertakbir dan di masa itu beliau membaca ayat al-Qur'an (Surah al-Maidah (5): 55):"Sesiapa yang mewalikan Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya parti Allah itulah yang pasti kemenangan."

Al-Kanji al-Syafi'i telah menyebutkannya di dalam Kifayah al-Talib daripada Anas bin Malik: Sesungguhnya ada seorang peminta sadqah di masjid bertanya: Siapakah yang akan memberikan sadqah kepadanya. 'Ali yang sedang rukuk memberikan isyarat kepadanya supaya mencabutkan cincin di tangannnya. Rasulullah SAW bersabda: Wahai 'Umar! Sesungguhnya telah wajib baginya ('Ali) syurga kerana Allah tidak mencabutkannya daripada tangannya sehingga Dia mencabutkan segala dosa dan kesalahan daripadanya. Dan ayat (Surah al-Maidah (5):55) diturunkan.

Kemudian penyair Hasan bin Tsabit memperkatakan syairnya:

Wahai Abu l-Hasan! Jiwa ragaku berkorban untukmu dan setiap pencinta petunjuk
Adakah akan sia-sia orang yang memujimu?
Orang yang memuji pada zat Allah tidak akan sesat
Kaulah yang telah memberi di dalam keadaan rukuk
seluruh jiwa ragaku berkorban untukmu
wahai sebaik-baik orang yang rukuk.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster