Friday, August 28, 2009

Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat al-Tathir - Bahagian 4

Di sini aku akan mengemukakan sebahagian daripada nas-nas yang menerangkan tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAW dari ayat al-Tathir dan ianya tidak bertentangan dengan nas-nas yang telah lepas yang mengkhususkan ayat tersebut kepada lima orang AS. Sesungguhnya apa yang dikemukakan di sini adalah berdasarkan kepada penerangan Nabi SAW sendiri bahawa isteri-isterinya adalah terkeluar daripada ayat tersebut di antaranya:

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada 'Abdu l-Malik daripada 'Ata ibn Abi Rayah dia berkata: Orang yang telah mendengar Umm Salmah meriwayatkan kepadaku bahawa dia berkata: Sesungguhnya Nabi SAW berada di rumahnya. Maka Fatimah mendatanginya dengan cerek yang berisi makanan, maka dia memberikan kepadanya. Lalu beliau bersabda: Panggilkan suami anda dan dua anak lelaki anda. Dia berkata: Maka datanglah 'Ali, Hasan dan Husain, maka merekapun masuk dan memakan makanan tersebut. Nabi SAW berada di atas tempat tidurnya di penjuru di bawah al-Kisa' Khaibar. Dia bersabda: Aku sedang sembahyang di dalam kamarku, maka Allahpun menurunkan ayat (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."

Maka dia berkata: Beliau (Nabi SAW) mengambil al-Kisa' dan membentangkannya ke atas mereka. Kemudian beliau mengeluarkan tangannya mengangkat ke langit sambil berkata: Wahai Tuhanku mereka itulah Ahlu l-Bait dan orang istimewaku. Hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Dia berkata: Aku memasukkan kepalaku di dalamnya maka aku berkata: Aku bersama kalian wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan di akhirat kelak. Ahmad berkata selepas meriwayatkan hadith ini,"Abdu l-Malik berkata: Abu Laila telah meriwayatkan kepadaku daripada Umm Salmah seperti hadith 'Ata. 'Abdu l-Malik berkata: Daud bin Abi 'Auf al-Jahaf telah meriwayatkan kepadaku daripada Hausyab daripada Umm Salmah seumpamanya.

Ibn Kathir di dalam Tafsirnya telah meriwayatkan hadith ini. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul daripada 'Ata. Ibn al-Sibagh al-Maliki dalam al-Fusul al-Muhimmah meriwayatkannya daripada al-Wahidi.

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur, Ibn Jarir, Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, al-Tabari dan Ibn Mardawaih daripada Umm Salmah RD isteri Nabi SAW: Sesungguhnya Rasulullah SAW berada di rumahnya (Umm Salmah) di atas tempat tidur dan di bawahnya al-Kisa' Khaibar. Maka Fatimah membawa kepadanya cerek yang berisi makanan. Maka Rasulullah SAW berkata: Panggillah suami anda dan dua anak lelaki anda, Hasan dan Husain. Maka beliaupun memanggil mereka dan ketika mereka sedang makan, tiba-tiba diturunkan ke atas Rasulullah (Surah al-Ahzab (33):33)"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."

Maka Nabi SAW mengambil al-Kisa' dan membentangkannya ke atas mereka kemudian beliau mengeluarkan tangannya daripada al-Kisa' dan memberi isyarat ke langit sambil bersabda:"Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ahlu l-Baitku dan orang istimewaku. Oleh itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Beliau berkata sebanyak tiga kali. Umm Salmah berkata: Aku memasukkan kepalaku ke dala al-Kisa' maka aku berkata; Wahai Rasulullah! Aku bersama kalian? Beliau menjawab: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Beliau mengulanginya sebanyak dua kali.

Hadith ini telah juga diriwayatkan oleh Sayyid Muhsin al-Amini di dalam A'yan al-Syi'ah37 daripada Usd al-Ghabah. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur juga mengatakan: Al-Tabrani telah mengeluarkan hadith ini daripada Umm Salmah RD, sesungguhnya Rasulullah SAWAW bersabda kepada Fatimah AS: Panggillah suami dan dua anak lelaki anda. Maka beliaupun datang bersama mereka semua. Kemudian beliau bersabda: Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ali Muhammad. Di dalam perkataan lain: Jadikanlah salawat Engkau ke atas Ali Muhammad sebagaimana Engkau telah menjadikannya untuk Ali Ibrahim Innaka hamidun majid.

Maka Umm Salmah berkata: Akupun mengangkat al-Kisa' supaya aku memasuki bersama mereka. Tetapi beliau menariknya daripada tanganku dan bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada Umm Salmah. Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib daripada Ahmad di dalam Manaqib 'Ali AS dan daripada Syahr bin Hausyab daripada Umm Salmah RD.

Al-Tabrani di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal, Ibn Kathir di dalam Tafsirnya, Ibn Sibagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah, al-Turmudhi di dalam Sahihnya, al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah, al-Syablanji al-Syafi'i di dalam Nur al-Absar, Syaikh Muhammad al-Siban di dalam As'af al-'Raghibin Hamisy Nur al-Absar, dan lain-lain pembesar-pembesar ulama Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith tersebut dengan sedikit perbezaan dari segi lafaz.

Nas-nas yang sahih dan mutawatir yang dikemukakan adalah diriwayatkan oleh semua lapisan Muslimin dan ianya merupakan bukti-bukti yang jelas dan hujah-hujah yang kuat tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAWAW daripada ayat tersebut dan iannya diturunkan kepada lima manusia suci Ashabul l-Kisa' dssan iannya tidak dapat diingkari melainkan oleh orang-orang yang fanatik (muta'assib) kepada kebatilan.

Apa yang telah aku kemukakan tentang terkeluarnya 'isteri-isteri' daripada ayat al-Tathir dan turunnya ayat tersebut ke atas lima manusia suci Ahlu l-Kisa' AS, adalah mencukupi untuk menolak sangkaan yang menyatakan ianya diturunkan ke atas 'isteri-isteri' secara khusus atau secara perkongsian (al-Isytirak). Dan sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih daripada apa yang telahku kemukakan, maka buatlah rujukan kepada bukuku yang berjudul al-Syi'ah wa hujjatu hum fi al-Tasyayyu' (Syi'ah dsan hujah mereka tentang Tasyayyu').

Oleh itu aku ingin menegaskan bahawa apa yang telahku kemukakan adalah menunjukkan bahawa ayat al-Tathir adalah dikhususkan kepada lima Ashab al-Kisa' dan juga menunjukkan bahawa mereka adalah maksum daripada segala dosa. Dan ianya menunjukkan bahawa khalifah selepas Rasulullah SAW secara terus ialah 'Ali bin Abi Talib AS. Selepas beliau ialah Hasan, kemudian Husain, kemudian sembilan daripada anak-anak Husain AS secara berturut-turut menuruti nas-nas yang wujud dalam buku-buku Sunnah dan Syi'ah.

Dalilku di atas dakwaan tersebut ada dua perkara:

1. al-'Ismah adalah menjadi syarat pada seorang imam menurut Syi'ah kerana imam yang diikuti selepas Nabi SAW bila tidak maksum, tidak boleh dipercayai kata-katanya. Oleh itu sabitnya 'ismah imam seperti sabitnya 'ismah Nabi SAW. Ayat tersebut telah menunjukkan kemaksuman Amiru l-Mukminin Ali dan dua anaknya Hasan dan Husain AS. Justeru itu, terbukti bahawa jawatan khalifah adalah untuk mereka bukan selain daripada mereka. Mereka itulah para imam dan khalifah-khalifah selepas Rasulullah SAW. Setiap orang daripada mereka mengnaskan kepada imam selepasnya. Begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Imam Mahdi al-Muntazar AS. Oleh itu berpegang kepada pendapat mereka adalah wajib kerana orang lain tidak maksum. Dan apabila tidak wujudnya 'ismah maka berlakulah kesalahan. Oleh itu ianya tidak sah untuk menjadi khalifah yang mengendalikan syariat Rasulullah SAW tanpa 'ismah.

2. Imam Amiru l-Mukimin telah berulang-ulang kali menuntut jawatan khalifah untuk dirinya di tempat-tempat yang bermacam-macam. Di antaranya beliau berkata di dalam khutbah al-Syiqsyiqiyyah yang dicatat oleh jumhur Muslimin Sunnah dan Syi'ah seperti berikut:

" Demi Allah Ibn Abi Qahafah (Abu Bakar ibn Abi Qahafah) telah mengenakan pakaian khalifah itu, padahal ia mengetahui dengan yakinnya bahawakedudukanku sehubungan dengan (kekhalifahan) itu sama seperti hubungan pasak dengan roda. Air mengalir menjauhiku dan burung tidak dapat terbang kepadaku. Aku memasang tirai (terhadap kekhalifahan) dan melepaskan diri daripadanya."

" Aku pun mulai berfikir, apakah aku akan menyerangnya atau aku harus menanggung cubaan sengsara kegelapan yang membutakan itu hingga orang dewasa menjadi daif, orang muda mejadi tua, dan mu'min yang soleh hidup dalam kongkongan sehingga ia menemui Allah (di saat kematiannya). Aku pun berpendapat bahawa adalah lebih bijaksana untuk menanggungnya dengan tabah. Aku lalu menempuh jalan kesabaran, walaupun mata rasa tertusuk-tusuk dan kerongkong rasa tercekik. Aku menyaksikan perampasan terhadap warisanku hingga yang pertama (Abu Bakar) menemui ajalnya; namun ia menyerahkan kekhalifahan itu kepada Ibn Khattab (Umar al-Khattab) sendiri. (Lalu Ali mengutip syair A'sya:)

" Hari-hariku kini berlalu di punggung unta,
Dan berlalu sudah hariku bersama Jabir, saudara Hayyan."
" Sungguh aneh, semasa hidupnya ia ingin terbebas dari jawatan khalifah, tetapi ia mengukuhkannya kepada yang lain itu (Umar) setelah kematiannya. Tidak syak lagi kedua orang ini hanya berbahagi puting susu di antara keduanya sahaja. Yang satu ini (Umar) mengunci kekhalifahan rapat-rapat, di mana ucapannya sombong dan sentuhannya kasar. Kekeliruan sangat banyak, dan kerana itu maka dalihnya pun sangat banyak. Orang yang berhubungan dengan kekhalifahan itu ibarat menunggang unta yang degil. Apabila penunggang itu menarik kekangnya maka muncung unta itu akan robek; dan apabila penunggang itu membiarkannya maka ia sendiri akan jatuh terlempar. Sebagai akibatnya, demi Allah, rakyat terjerumus ke dalam ketidakpedulian, kejahatan, kegoyahan dan penyelewengan. Sekalipun demikian, aku tetap bersabar dalam waktu yang lama dengan cubaan yang keras, hingga ketika (Umar) menemui ajalnya ia menyerahkan urusan kekhalifahan itu kepada satu kelompok dan menganggap aku sebagai salah seorang daripada mereka."

" Tetapi, Ya Allah! Apa urusanku dengan syura ini! Di manakah keraguan tentang diriku dibandingkan dengan yang pertama dari antara mereka (Abu Bakar) sehingga sekarang aku harus dipandang sama dengan orang-orang ini? Namun, aku terus merendah sementara mereka merendah, dan membumbung tinggi ketika mereka terbang tinggi. Seorang dari mereka berpaling menentangku kerana hubungan kekeluargaannya, sedangkan yang lainnya cenderung memihak ke jalan lain kerana hubungan iparnya, dan ini, dan itu, sampai yang ketiga dari orang-orang ini berdiri dengan dada membusung di antaranya (Bani Umayyah) pun bangkit menelan harta Allah, bagaikan unta memakan dedaunan musim semi, sampai talinya putus, tindak tanduknya mengakhirinya dan keserakahannya menyebabkan ia terguling."

" Pada saat itu tiada yang mengejutkan aku lebih daripada (tindakan) orang ramai yang berpusu ke arahku dari segala penjuru seperti serbuan sekumpulan rubah (hyena) sehingga Hasanain (Hasan dan Husayn, dua putra Fatimah dan Ali) terinjak dan kedua bahagian bahu pakaianku terkoyak. Mereka berkumpul di sekelilingku seperti kawanan domba dan kambing. Ketika aku memegang tampuk pemerintahan sebahagian memutuskan bai'ahnya (nakatsa) dan sebahagian lagi mengingkarinya (maraqa) dan yang lain bertindak salah (qasata), kerana mereka tidak mendengar firman Allah SWT yang berbunyi [bermaksud]:

" (Kebahagian) di negeri akhirat Kami sediakan bagi mereka yang tidak suka menyombongkan diri dan melakukan kerosakan di bumi. Dan kesudahannya (adalah baik) bagi mereka yang bertaqwa." [Surah al-Qasas(28):83]

Tidak, demi Allah, mereka mendengarnya dan memahaminya tetapi dunia terlihat berkilau di mata mereka dan hiasan dunia menggoda mereka. Lihat, demi Dia yang mengembangkan biji-bijian dan menciptakan makhluk hidup, apabila orang-orang tidak datang kepadaku dan pendukung-pendukung tidak menegakkan hujah dalam bentuk penolong itu (pasukan yang membantu Ali) dan bila tidak ada perjanjian Allah dengan ulama bahawa mereka tidak boleh bungkam terhadap kerakusan seorang yang zalim dan kelaparan orang yang dizalimi maka aku akan melemparkan tali kekang (kekhalifahan) itu dan akan aku beri minum kepada yang terakhir dengan piala yang aku gunakan untuk orang yang pertama. Maka akan kamu lihat bahawa dalam padanganku duniamu tidak lebih dari bersinnya seekor kambing."

Begitu juga anak perempuan Rasulullah, dan kedua-dua anaknya Hasan dan Husain dan sembilan anak-anak Husain AS menuntut khalifah untuk Amiru l-Mukminin AS. Lantaran itu, ianya menjadi kewajipan kepada umat membenarkan mereka kerana kemaksuman mereka. Dan tidak harus ke atas mereka pembohongan kerana pembohongan adalah suatu kekotoran (rijsun) yang dinafikan daripada mereka oleh ayat tersebut.

Oleh itu jelaslah sabitnya khalifah selepas Rasulullah SAW bagi 'Ali bin Abi Talib AS. Dan ianya bukanlah mencukupi dengan ayat-ayat at-Tathir sahaja, malah banyak dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat yang menunjukkan 'Ali AS berhak menjadi khalifah selepas Rasulullah SAW sehingga diakui oleh musuh-musuhnya dan diketahui oleh yang terdekat dan yang jauh.

Dan buku-buku mengenainya telah ditulis dengan banyak. Di antaranya buku karangan Ayatullah al-'Uzma Muhammad bin Yusuf bin al-Mutahhar dikenali dengan al-'Allamah al-Hulli RH. Dia telah menulis dua ribu dalil menyokong 'Ali AS. sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW. Satu daripadanya mengandungi dalil-dalil aqliyyah dan seribu lagi mengandungi dalil-dalil naqliyyah. Dan dia menamakan bukunya al-Faini.

0 comments:

Surah Al-Asr

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."


Demi Masa

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad saw
Allahumma solli a'la Muhammad, wa ali Muhammad

 

Design by Amanda @ Blogger Buster