Justeru itu ianya suatu kepastian bahawa ayat Tathir dan pembersihan kekotoran daripada mereka adalah istimewa untuk para imam Ahlu l-Bait AS. Mereka adalah zuriat Rasulullah SAW dan mereka lebih berhak dengannya. Justeru itu perkataan innama di dalam ayat tersebut bermaksud al-Hasr (pengkhususan kepada mereka sahaja).
Ayat ini juga dengan jelas menunjukkan bersihnya "itrah Nabi SAW daripada keaiban dan kemaksuman mereka daripada dosa-dosa. Dan aku akan menerangkan dalam bukuku ini bahawa imamah tidak layak melainkan bagi mereka yang bersih daripada segala keaiban dan dosa. Justeru itu sabitnya imamah 'Ali dan anak-anaknya AS sama ada mereka memegang jawatan itu ataupun tidak disebabkan orang ramai tidak menyokong mereka sebagaimana sabdanya:"Hasan dan Husain kedua-duanya imam sama ada mereka memegang jawatan ataupun tidak" kerana kedua-duanya telah dilantik oleh Allah SWT. Dan sesiapa yang mempunyai kedudukan sedemikian, keimamahannya tidak akan dicacatkan oleh penentangan orang ramai terhadapnya. Kerana imamah bukanlah melalui perlantikan orang ramai, malah melalui nas daripada Allah SWT.
Imam al-Bahrani di dalam Ghayat a-Maram telah mencatat lebih daripada satu ratus dua puluh hadith mengkhususkan Ahlu l-Bait AS dengan "mereka" bukan isteri-isteri Nabi SAW dan lebih sepertiga daripada hadith-hadith tersebut adalah menurut saluran Ahlu s-Sunnah. Oleh itu buatlah rujukan kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman.
Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur menegaskan bahawa ayat tersebut diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa melalui dua puluh saluran. Al-Tabari di dalam Jami' al-Bayan menyatakan ianya diturunkan kepada Nabi SAW, Fatimah, 'Ali, Hasan dan Husain melalui enam belas saluran. Al-Sayyid Syihabuddin dan al-Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haq karangan Qadhi Nur Allah al-Tastari RH telah menyebutkan riwayat-riwayat dan hadith-hadith yang banyak semuanya menurut saluran Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa';Muhammad, Fatimah,'Ali, Hasan dan Husain AS.
Di sini diperturunkan beberapa riwayat Ahlu s-Sunnah yang menunjukkan bahawa ayat Tathir diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa' seperti berikut:
1. Ahmad bin Hanbal telah mencatat dalam Musnadnya daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW telah melalui rumah Fatimah AS selama enam bulan. Apabila beliau keluar untuk sembahyang Subuh, beliau bersabda: wahai Ahlu l-Bait! Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul telah menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan bahawa ianya diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa'.
2. Ibn Jarir telah mencatat di dalam Tafsirnya begitu juga Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih,al-Tabrani, dan lain-lain. Al-Turmudhi dan al-Hakim menyatakan kesahihan hadith tersebut. Begitu juga al-Baihaqi di dalam Sunannya dengan bermacam-macam saluran. Umm Salamah berkata: Ayat Tathir telah diturunkan di rumahku. Di dalam rumah itu ada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Maka Rasulullah SAW menyelimutkan mereka dengan al-Kisa' (kain berwarna hitam) dan bersabda: Wahai Tuhanku, mereka itulah Ahlu l-Baitku. Justeru itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya.
3. Muslim di dalam Sahihnya bab 'Fadhl Ahlu l-Bait AS' meriwayatkan daripada 'Aisyah dia berkata: Rasulullah keluar di waktu pagi, di atasnya kain hitam, maka datanglah Hasan bin 'Ali, maka beliau memasukkan ke dalamnya. Kemudian datang Husain, maka dia memasukkan bersamanya, kemudian datang 'Ali, maka beliau memasukkannya. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran dosa Ahlu l-Bait dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya." Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ahmad daripada hadith 'Aisyah di dalam Musnadnya. Dan ianya juga telah dikeluarkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim, al-Hakim pengarang al-Jami' baina al-Sahihaini, dan pengarang al-Jami' Baina al-Sihah al-Sittah. Dan sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, hendaklah membuat rujukan kepada Rasyfah al-Sadi karangan Abu Bakar Syahabuddin dan Muruja'at (Dialog Sunnah-Syi'ah) karangan Sayyid Syarafuddin tentang pengkhususan ayat Tathir kepada lima Ahlu l-Kisa'.Dan ianya sudah mencukupi bagi orang yang mempunyai mata hati.
0 comments:
Post a Comment