Ianya juga merupakan sebahagian daripada sebab-sebab yang mendorongku menjadi seorang Syi'ah. Manakala berdialog dengan mereka, aku dapati diriku dikalahkan oleh hujah-hujah mereka, tetapi aku tetap berdegil. Aku cuba mempertahankan hujah-hujahku yang lemah walhal aku mempunyai keilmuan yang tinggi di dalam mazhab Syafi'i dan mazhab lain. Kerana aku telah menuntut di universiti al-Azhar sehingga aku memperolehi ijazah yang tinggi sebagaimana aku telah menyebutkannya.
Dialog kami mengambil masa tidak kurang daripada tiga tahun. Kemudian aku mula mengsyaki mazhab empat kerana perselisihan sesama sendiri begitu ketara sekali.
Mengkaji buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah)
Akhirnya aku mengkaji buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah - Syi'ah) karangan Ayatullah al-'Uzma Sayyid Syarafuddin. Aku mengkajinya dengan teliti. Gaya bahasa dan kemanisan lafaznya mengkagumkanku dan membuatkan aku berfikir bagaiman dia dapat memberi hujah-hujah yang kuat di dalam dialognya dengan Syaikh al-Akbar Syaikh Salim al-Busyra, Rektor Universiti al-Azhar ketika itu.
Aku dapati pengarangnya ketika berhujah tidak berpegang kepada buku-buku Syi'ah, malah dia berpegang kepada buku-buku Sunnah wal-Jama'ah. Lantaran itu ianya menjadi sukar bagi lawannya untuk menolaknya. Pada malam itu aku tidak dapat tidur sehingga aku puas hati bahawa kebenaran adalah bersama Syi'ah. Mereka berada di atas mazhab yang benar sabit daripada Rasulullah SAW dan Ahlu l-Baitnya AS. Tidak ada syubhat sedikitpun padaku. Aku percaya bahawa mereka tidaklah sebagaimana apa yang diperkatakan kepada mereka oleh tuduhan, celaan, dan kata-kata batil yang diciptakan.
Buku al-Muraja'at (Dialog Sunnah Syi'ah) untuk saudaraku
Pada keesokannya, aku memberi buku tersebut kepada saudaraku Ahmad. Dia berkata kepadaku: Apakah ini? Aku menjawab kitab Syi'ah oleh pengarang Syi'ah. Lantas dia berkata kepadaku: Jauhkanlah buku itu dariku, sebanyak tiga kali. Ia adalah daripada buku-buku yang sesat, aku tidak perlu kepadanya. Aku benci kepada Syi'ah dan perkara yang berkaitan dengan Syi'ah. Aku berkata: Ambillah dan bacalah sahaja kerana kita tidak perlu beramal dengannya. Ia tidak akan merosakkan anda jika anda membacanya. Lalu diapun mengambil buku tersebut, mengkajinya dengan teliti. Dan akhirnya dia mengakui kebenaran mazhab Syi'ah. Dia berkata: Syi'ah di atas kebenaran. Selain daripada mereka adalah bersalah (Khati'un).
Kemudian aku dan saudaraku meninggalkan mazhab Syafi'i dan kami berpegang kepada mazhab Syi'ah Ja'fariyyah. Ini disebabkan oleh dalil-dalil yang banyak dan terang. Hati kecilku menikmati ketenangan dengan berpegang kepada mazhab Ja'fari, mazhab Ahlu l-Bait Rasulullah SAW kerana aku mengetahui bahawa aku telah sampai kepada matlamat yang paling jauh iaitu berpegang kepada mazhab yang paling suci iaitu berpegang kepada mazhab keluarga suci (al-Itrah al-Tahirah).
Justeru itu aku mempercayai suatu keyakinan yang tidak dicampuri syak bahawa aku telah berjaya daripada siksaan Allah SWT. Aku bersyukur kepada Allah SWT di atas kejayaan semua keluargaku dan kebanyakan kaum kerabatku, sahabat-sahabatku dan lain-lain. Ini adalah satu kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT yang tidak dapat dinilainya selain daripada Dia; Wilayah keluarga Rasul SAW kerana tidak ada kejayaan kecuali dengan mengangkat mereka sebagai auliya'. Sebuah hadith Rasul SAW yang dipersetujui oleh Sunnah dan Syi'ah yang bermaksud:"Umpama keluargaku sepertilah bahtera Nuh, sesiapa yang menaikinya ia akan berjaya dan sesiapa yang tidak menaikinya akan tenggelam dan binasa." Aku memohon kepada Allah SWT agar merestui kami kerana mengangkat wilayah Ahlu l-Bait AS dan mencintai mereka.
Beberapa kumpulan menjadi Syi'ah bersama-sama kami
Sebilangan besar daripada saudara-saudara kami Ahlus Sunnah dari Syria, Lubnan, Turkey dan lain-lain telah turut menjadi Syi'ah bersama kami. Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada kami dan kami tidak akan mendapat hidayah sekiranya Allah tidak memberi hidayah kepada kami.
Apabila tersebarnya berita mengenai kami, orang ramai berpusu-pusu datang kepada kami, bertanya kami sebab-sebab yang mendorong kami berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait dan meninggalkan mazhab Syafi'i. Kami memberikan jawapan kepada mereka bahawa dalil-dalil yang kuat bersama kami. Maka sesiapa yang ingin supaya kami menerangkan kepadanya mazhab al-Haqq, maka hendaklah ia datang kepada kami.
Orang ramai membuat rujukan kepada kami
Dalam masa yang singkat saja, orang ramai telah datang kepada kami. Mereka terdiri daripada para ulama, guru, pegawai, peniaga dan lain-lain. Kami menjelaskan kepada mereka kebenaran mazhab Ahlu l-Bait AS berdasarkan rujukan Ahlu s-Sunnah yang muktabar. Di kalangan mereka ada yang mendengar dan berpuas hati, kemudian berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS, dengan meninggalkan mazhab yang terdahulu. Di kalangan mereka ada yang fanatik, dan terus berpegang kepada mazhabnya. Keuzurannya adalah kejahilannya, dan fanatiknya adalah kesedarannya bahawa dia tidak mampu mempertahankan mazhabnya. Demikianlah berlalunya hari-hari, kami terus berdakwah sehingga ramai orang berpegang kepada mazhab Ahlu l-Bait AS di Syria, dan di Turkey, al-Hamdu Lillah.
Muzakarah di antaraku dan saudaraku
Untuk menambahkan keyakinan, aku dan saudaraku bermuzakarah tentang mazhab Ja'fari. Kadang-kadang dia jadikan dirinya sebagai seorang Syi'ah dan aku menjadikan diriku seorang Sunnah. Kemudian kami memulakan perbincangan. Aku mengemukakan kepadanya beberapa persoalan, maka dia memberi jawapan kepadaku mengenainya berdasarkan al-Qur'an dan Sunnah. Di dalam perbincangan itu, aku melihat diriku dikalahkan olehnya, lalu aku melihat kebenaran bersama Syi'ah. Dan pada masa yang lain aku jadikan diriku sebagai seorang Syi'ah dan saudaraku sebagai seorang Sunnah, maka kami pun bermuzakarah di dalam beberapa masalah. Dia ketawa dan melihat dirinya dikalahkan dan berkata: Kebenaran adalah bersama Syi'ah. Demikianlah berulangnya muzakarah di antara kami. Dan dengan cara ini kami dapati bahawa sesungguhnya kebenaran bersama Syi'ah kerana kebenaran adalah tinggi dan tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya.
Sebagai contoh manakala dia jadikan dirinya sebagai seorang Syi'ah, dia meminta dalil daripadaku kerana berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat seraya berkata:"Apakah dalil anda berpegang kepada mazhab Syafi'i atau Hanafi, Maliki atau Hanbali? Adakah anda dapati dalil daripada ayat al-Qur'an seperti maksud firmanNya (di dalam Surah al-An'am (6): 153 yang bermaksud:" dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan (yang lain) kerana jalan itu menceraiberaikan kami dari jalanNya." Lihatlah bagaimana Allah SWT menyuruh orang-orang Mukminin supaya berpegang kepada jalanNya yang lurus, dan melarang kami daripada mengambil jalan-jalan (Subul) yang bermacam-macam supaya kami tidak sesat daripada jalanNya.
Dia bertanya lagi: Adakah anda mendapati hadith Sahih yang menyokong pegangan anda kepada salah satu daripada empat mazhab?
Aku menjawab: Ijmak. Maka dia berkata kepadaku: Tidak ada ijmak, kerana mereka berselisih faham pada mazhab-mazhab tersebut bagaimana pula ijmak dapat dilakukan.
Apabila dia bertanya kepadaku, aku jadikan diriku sebagai seorang Ja'fari, aku memberikan dalil-dalil daripada al-Qur'an dan Sunnah RasulNya. Aku berkata: Sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga, kitab Allah dan Itrah Ahlu l-Baitku selama kalian berpegang kepada kedua-duanya, kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya. Kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh. Justeru itu jagalah baik-baik, bagaimana kalian memperlakukan kedua peninggalanku itu."
Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Umpama Ahlu l-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh, sesiapa yang menaikinya berjaya, dan sesiapa yang tidak menaikinya tenggelam." Dia menyerah kalah dan berkata kepadaku: Kebenaran bersama anda.
Begitulah kami melihat kebenaran itu tetap di samping Ahlu l-Bait Rasulullah SAW.
0 comments:
Post a Comment