Imam Ja’far al-Sadiq AS adalah putera kepada Imam Muhammad ibn Ali AS. Imam Ja’far al-Sadiq AS lahir pada 17 Rabiul Awwal tahun 83 Hijrah iaitu pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan. Ibu kepada Imam Ja’far al-Sadiq AS ialah Fatimah puteri kepada al-Qasim ibn Muhammad ibn Abi Bakar. Beliau AS merupakan anak sulung kepada Imam Muhammad al-Baqir AS. Saudara seibunya ialah Abdullah ibn Muhammad AS.
Saudara-saudara-saudaranya yang berlainan ibu ialah Ibrahim dan Ubaydullah beribukan Umm Hakim puteri Asid ibn al-Mughirah al-Thaqafi, Ali dan Zaynab beribukan wanita hamba, dan juga Umm Salamah dari ibu wanita hamba. Beliau dibesarkan dengan asuhan ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS dan perhatian datuknya Imam Ali Zainal Abidin AS. Imam Muhammad ibn Ali AS dikenali dengan panggilan Imam Muhammad “al-Baqir” yang membawa maksud pembelah ilmu. Gelaran ini telah diberikan oleh Rasulullah SAWA kepada beliau. Sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah al-Ansari, bermaksud:
“Rasulullah SAWA bersabda kepadaku:”Akan berlaku nanti kamu hidup sehingga kamu bertemu dengan seorang daripada keturunanku dari al-Husayn AS bernama Muhammad, beliau akan memecahkan kebuntuan ilmu agama. Bila kamu menemuinya, sampaikan salamku kepadanya. [Syaikh al-Mufid, Al-Irshad, Bab fi Dzikir al-Imam Muhammad al-Baqir, hlm. 294]“
Imam Ja’far al-Sadiq AS adalah cucu kepada Imam Ali Zainal Abidin iaitu ayahanda kepada Imam Muhammad al-Baqir AS. Imam Ali Zainal Abidin AS dikenali dengan panggilan “al-Sajjad” yang bermaksud yang banyak bersujud. Imam Ali Zainal Abidin AS dan puteranya Imam Muhammad al-Baqir AS hadir dalam peristiwa karbala yang menyayat hati itu. Imam Ali Zainal Abidin AS wafat pada tahun 95 Hijrah akibat diracun oleh khalifah al-Walid bin Abdul Malik.
Pada zaman remajanya, Imam J’afar AS, turut menyaksikan kejahatan dinasti Bani Umayyah seperi al-Walid bin Abdul Malik (86-89H) dan Sulaiman bin Abdul Malik (96-99H). Kedua-dua bersaudara inilah yang terlibat dalam pakatan meracun Imam Ali Zainal Abidin AS pada tahun 95 Hijrah. Pada ketika itu Imam Ja’far al-Sadiq AS baru berusia kira-kira 12 tahun. Beliau juga dapat menyaksikan keadilan Umar bin Abdul Aziz 996-101H). Pada zaman remajanya Imam Ja’far AS menyaksikan puncak kekuasaan dan kejatuhan Bani Umayyah.
Tatkala al-Baqir AS kembali ke rahmatullah pada 7 Zul Hijjah 114 Hijrah, Imam Ja’far al-Sadiq AS berusia 31 tahun. Dengan kewafatan ayahandanya, Imam Ja’far al-Sadiq AS, menjawat jawatan Imam kaum Muslimin berdasarkan nas yang terang dari ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS. Muhammad ibn Abi Umayr meriwayatkan dari Hisham ibn Salim dari Aba Abdillah Ja’far ibn Muhammad AS (beliau) berkata yang bermaksud:
“Ketika ayahandaku menghampiri saat-saat kewafatannya, beliau berkata: “Ja’far aku memberikan kepadamu wasiat perintah kepadamu sypaya memperlakukan dan mengasuh pengikut-pengikutku dengan baik.” “Semoga saya menjadi tebusanmu,” Aku menjawab,” Demi Allah, saya akan mendidik mereka supaya mereka memahami agama mereka, dengan itu mereka tidak perlu meminta nasihat dari sesiapa pun dari kalangan orang lain.” [Syaikh al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Terdapat lagi riwayat-riwayat lain yang menunjukkan hak Imamah Imam Ja’far al-Sadiq AS yang termasuk dalam 12 Imam dari Ahlul Bayt AS. Aban ibn Uthman meriwayatkan dari Abu al-Sabbah al-Kinani (beliau) berkata:
“Abu Ja’far Muhammad AS ketika memandang anaknya Abu Abdillah Ja’far AS dan (beliau) berkata kepada kami: “Lihatlah lelaki itu? Dia adalah seorang yang Allah Yang Maha Tinggi dan Berkuasa firmankan:” Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka Imam dan orang-orang yang mewarisi (Q28:5).” [Syaikh al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Hisham ibn Salim meriwayatkan dari Jabir ibn Yazid al-Jufi:
“Abu Ja’far Muhammad AS ketika ditanya tentang orang yang akan menjadi al-Qaim selepas beliau. Beliau menepuk-nepuk Aba Abdillah Ja’far AS dengan tangannya dan berkata:” Demi Allah, inilah lelaki dari keluarga Muhammad AS yang akan menjadi al-Qaim Imamah.” [Syaikh al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Yunus ibn Abd Rahman meriwayatkan dari Abd al-A’la dari kekuarga Sam, dari Abu Abdillah Ja’far AS (beliau) berkata:
“Ayahku (Muhammad ibn Ali AS) mewasiatkan (kepada yang hadir). Ketika beliau hampir wafat, beliau berkata: “Panggil saksi-saksi untukku.” Aku (Abu Abdillah Ja’far AS) memerintahkan empat orang lelaki dari Bani Quraysh, di antara mereka ialah Nafi’. (Ayahku berkata):” Tulis wasiat ini, aku wasiatkan seperti Yakub mewasiatkan kepada anak-anaknya:” Anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam agama Islam (Q2:132).” Muhammad ibn Ali AS menyediakan wasiat terakhir ini kepada Ja’far ibn Muhammad AS. Beliau memerintahkan Ja’far mengapankannya dengan jubah yang beliau sering gunakan untuk solat Jumaat, memakaikan beliau serban, membentuk kuburnya empat persegi, meninggikan kuburnya empat jengkal daripada bumi dan mengambil pakaian kotornya jauh daripadanya ketika pengkebumiannya. Kemudian beliau berkata kepada saksi-saksi:” Pergilah kamu semua semoga Allah mengasihi kamu semua.” Ayah, aku berkata kepadanya (selepas mereka semua beredar).” Mengapakah mereka menyaksikan semua ini?” “Anakku,” Beliau menjawab,” Aku tidak mahu nanti kamu diatasi kerana dikatakan kamu tidak diwasiatkan. Aku mahu kamu mempunyai hujah dan bukti.”[Syaikh al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Malahan hal tersebut telah dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAWA. Shaykh Sulaiman Balkhi Hanafi meriwayatkan dalam Yanabi al-Mawaddah, meriwayatkan dari kitab Fara’ed al-Simtain oleh Humaini dari Mujahid, dari Ibn Abbas, bahawa seorang Yahudi bernama Na’tsal datang kepada Rasulullah SAWA dan berkata:
” Wahai Muhammad! Aku akan bertanya anda beberapa perkara yang tidak menyenangkan hatiku seketika. Sekiranya anda dapat memberi jawapan kepadaku, nescaya aku akan memeluk Islam di tangan anda. Beliau SAWA bersabda:” Tanyalah wahai Abu ‘Ammarah’ Dia bertanya beberapa perkara sehingga dia berkata: Beritahukan kepadaku tentang wasi anda siapa dia? Tidak ada seorang nabi melainkan ada baginya seorang wasi. Dan sesungguhnya nabi kami Musa bin Imran telah berwasiatkan kepada Yusyu’ bin Nun. Nabi SAWA menjawab:” Sesungguhnya wasiku ialah Ali ibn Abi Talib AS; selepas beliau ialah Hasan dan Husayn AS dan selepasnya ada sembilan orang yang kesemuanya adalah dari keturunan Husayn AS. Namakan mereka kepadaku.
Beliau SAWA menjawab: Apabila wafatnya Husayn AS ialah anaknya Ali AS akan menjadi Imam; apabila wafatnya Ali ialah anaknya Muhammad; apabila wafatnya Muhammad ialah anaknya Ja’far; apabila wafatnya Ja’far ialah anaknya Musa; apabila wafatnya Musa ialah anaknya Ali; apabila wafatnya Ali ialah anaknya Muhammad; apabila wafatnya Muhammad ialah anaknya Ali; apabila wafatnya Ali ialah anaknya Hasan; apabila wafatnya Hasan ialah anaknya al-Hujjah Muhammad al-Mahdi. Bilangan mereka adalah dua belas orang…” [Yanabi al-Mawaddah, hlm.446-447]
Akhirnya lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan menceritakan bahawa nama-nama para Imam Dua Belas telah tertulis di dalam buku-buku para nabi yang terdahulu, dan ia termasuk di antara apa yang telah dijanjikan oleh Musa AS.
” Apabila Allah Yang Maha Tinggi berfirman:” Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu (Q4:58), aku berkata: Wahai Rasulullah kami mengetahui dan mengenal Allah dan kami mentaatiNya dan kami mengetahui dan mengenal anda dan mentaati anda tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan Ulil Amri itu, yang Allahj perintahkan kami mentaati mereka? Beliau bersabda,” Wahai Jabir, mereka adalah pengganti-penggantiku dan memiliki autoriti selepasku. Yang pertama ialah Ali, kemudian anaknya Hasan, kemudian Husayn, kemudian Ali ibn Husayn, kemudian Muhammad ibn Ali dan kamu akan nanti menemuinya, Wahai Jabir, apabila kamu bertemu dengannya sampaikanlah salamku kepadanya, kemudian Ja’far ibn Muhammad, kemudian Musa ibn Ja’far, kemudian Ali ibn Musa, kemudian Muhammad ibn Ali al-Jawad, kemudian Ali ibn Muhammad, kemudian Hasan ibn Ali, kemudian Muhammad ibn al-Hasan yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan sebagaimana ketika itu ia dipenuhi dengan kezaliman.”
Dalam hal ini al-Kulaini dalam al-Kafi meriwayatkan satu hadith yang panjang dari Imam Ja’far al-Sadiq AS daripda Abu Basir (beliau berkata):
” Aku bertanya kepada Aba Abdillah AS tentang firman Allah AZWJ ‘Taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu’. Beliau menjawab,” Ia (ayat ini) diwahyukan berkenaan Ali ibn Talib, al-Hasan dan al-Husayn AS.” Aku berkata kepadanya,” Mereka berkata,” Maka mengapa Allah AZWJ tidak menamakan Ali dan Ahlul Bayt di dalam KitabNya?” Beliau AS menjawab,” Jelaskan kepada mereka: Perintah berkenaan solat diturunkan kepada Rasulullah SAWA tetapi Allah tidak menjelaskan perinciannya tiga atau empat rakaat, oleh itu Rasulullah SAWAlah yang akan menjelaskannya.
Dan Dia menurunkan perintah berkenaan zakat dan tidak menjelaskan perinciannya bahawa bagi setiap empat puluh dirham (zakatnya) satu dirham sehingga Rasulullah SAWA menjelaskan hal itu kepada mereka. Dan Dia menurunkan perintah Haji tetapi Dia tidak berfirman,” Tawaf keliling Ka’abah tujuh kali,” sehingga Rasulullah SAWA menjelaskan perkara itu kepada mereka. Dia ayat, ” Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu, ” diturunkan dan ia diwahyukan berkenaan dengan Ali, al-Hasan, al-Husayn dan Rasulullah SAWA menjelaskannya tentang Ali, “Maka barang siapa yang mengakui aku mawlanya maka Ali adalah mawlanya juga.” Dan dia SAWA bersabda,” Aku perintahkan kamu mentaati Allah AZWJ supaya tidak memisahkan kedua-duanya sehingga kedua-duanya menemuiku di al-Hawd ( telaga di syurga), dan Dia memperkenankan permintaanku itu. Dan dia SAWA bersabda,” Mereka tidak akan memesungkan kamu dari jalan petunjuk dan tidak akan membawa kamu ke jalan kesesatan.” Sekiranya Rasulullah SAWA mendiamkan diri tentang hal itu dan tidak menjelaskan siapa Ahlul Bayt, sudah tentu ahli rumah sipolan dan sipolan akan menuntut hak tersebut.
Walau bagaimanapun AZWJ telah menurunkan perkara itu dalam KitabNya, mengesahkan sabda NabiNya:” Ahlul Bayt, sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan kamu dari kekotoran wahai Ahlul Bayt dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya (Q33:33),” dan mereka adalah Ali, al-Hasan, al-Husayn dan Fatimah AS. Rasulullah SAWA memasukkan mereka dalam selimut di rumah Umm Salamah, kemudian berkata: Allahumma, sesungguhnya bagi setiap nabi ada Ahlnya dan Thaqlnya dan mereka ini adalah Ahl dan Thaqlku.” Apabila Rasulullah SAWA wafat Ali adalah awla kepada mereka kerana Rasulullah SAWA telah menjelaskan hal itu dengan menyuruhnya berdiri dan mengangkat tangannya.
Dan apabila Ali wafat, beliau tidak akan dan tidak mungkin memasukkan anaknya Muhammad ibn Ali atau al-Abbas ibn Ali atau anak-anaknya yang lain ke dalam (maksud) Ahlul Bayt. Jika beliau berbuat demikian tentulah al-Hasan dan al-Husayn akan berkata: Allah Tabaraka Wa Ta’ala menurunkan hal itu tentang kamu sebagaimana Dia menurunkan hal itu tentang kami. Dia memerintahkan ketaatan kepada kami sebagaimana Dia perintahkan ketaatan kepada kamu. Apabila Ali wafat, al-Hasan adalah orang yang paling awla kerana umur beliau lebih tua. Di saat kewafatannya beliau tidak akan dan tidak mungkin memasukkan anak-anaknya atau beliau berdalilkan ayat Allah AZWJ,” Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak di dalam Kitab Allah. (Q:33;6)”, menetapkan hak Imamah untuk anak-anaknya. Jika beliau berbuat demikian al-Husayn akan berkata,” Allah telah memerintahkan ketaatan kepadaku sepertimana Dia telah memerintahkan ketaatan kepada kamu dan bapa kami dan Rasulullah SAWA menjelaskan kepada orang ramai tentang diri kami seperti juga dia mejelaskan kepada mereka tentang diri kamu dan bapa kami dan Dia menghilangkan kekotoran dari kami seperti juga Dia menghilangkan segala kekotoran dari diri kamu dan bapa kami.”
Oleh itu apabila hal itu sampai kepada al-Husayn, tidak ada seorangpun dari keluarganya yang menuntut hak Imamah sebagaimana dia boleh menuntut hak tersebut daripada saudaranya atau bapanya, jika mereka hendak memisahkan hak Imamah daripada dirinya tetapi tidak berbuat demikian. Apabila saatnya sampai kepada al-Husayn dan hak Imamah terus berjalan menurut tafsiran ayat:” Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak di dalam Kitab Allah.” Kemudian ia dipegang oleh Ali ibn Husayn selepas al-Husayn, dan selepas Ali ibn al-Husayn dipegang pula oleh Muhammad ibn Ali. Dan dia (Ja’far al-Sadiq AS) berkata,” Kekotoran (al-rijsa) dalam ayat ini membawa maksud ragu-ragu (shakk) dan demi Allah kami tidak pernah ragu-ragu tentang Rabb kami.”[Al-Kafi, Kitabul Hujjah, IV, Bab 64, hadith 757-1]
Kasysyi [Rijal, hlm.418] meriwayatkan ucapan Amr ibn Huraits di hadapan Imam Ja’far al-Sadiq AS, berbunyi:
” Saya hendak melukiskan Din (agama) saya dan apa yang saya percaya, supaya anda dapat mengukuhkan iman saya. Dia saya adalah bahawa saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul dan hambaNya. Saya percaya bahawa kedatangan Hari Pengadilan itu adalah pasti, dan bahawa Allah akan membangkitkan orang-orang yang ada di dalam kubur. Saya percaya ada kewajipan solat, membayar zakat, puasa dalam bulan Ramadhan, dan kewajipan menunaikan ibadah Haji ke Ka’abah bagi yang mampu. Saya bersaksi pada wilayah (kepimpinan) Ali ibn Abi Talib, pemimpin kaum beriman (Amirul Mu’minin) setelah Rasul Allah, semoga Allah melimpahkan rahmat atas keduanya dan wilayah al-Hasan an al-Husayn, wilayah Ali ibn al-Husayn, dan wilayah Muhammad al-Baqir AS, dan sesudahnya wilayah anda (Imam Ja’far al-Sadiq AS). Saya bersaksi bahawa kalian adalah para Imam. Dalam Din ini saya hidup dan dalam Din ini saya mati, serta inilah Din yang dengannya saya menyembah Allah.”
Mendengar ini, Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata:
” Demi Allah, ini sesungguhnya adalah Dinku dan Din ayah-datukku, yang menyembah Allah secara terbuka dan rahsia, maka takutlah kepada Allah dan jagalah lidahmu dari berkata yang bukan-bukan kecuali hal yang baik-baik.”
Nas-nas yang sahih dari Rasulullah SAWA tentang hak Imamah khusus bagi 12 Imam Ahlul Bayt AS adalah banyak.
Al-Qunduzi al-Hanafi juga telah meriwayatkan hadith daripada Jabir, dia berkata:
” Rasulullah SAWA bersabda:” Akulah penghulu para Nabi dan Ali adalah penghulu para wasi. Dan sesungguhnya para wasi selepasku ialah dua belas orang, pertamanya Ali dan yang terakhir Qaim al-Mahdi. [Yanabi al-Mawaddah, hlm.445]“
Muslim juga meriwayatkan dalam di dalam hadithnya daripada Nabi SAWA beliau bersabda:
” Agama sentiasa teguh sehingga hari Qiamat dan dua belas khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy.” [Sahih Muslim, hlm.79]
Al-Tirmidzi di dalam Sunannya [Al-Sunan, II, hlm.110] mencatatkan hadith tersebut dengan lafaz amir bukan khalifah. Al-Bukhari di dalam Sahihnya meriwayatkannya daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAWA bersabda:
“Selepasku ialah dua belas amir. Maka beliau berucap dengan perkataan yang aku tidak mendengarnya. Bapaku memberitahuku bahawa beliau bersabda: “Semuanya daripada Quraisy.” [Sahih, IV, hlm.120]
Sayyid Hasyim al-Bahrani di dalam Ghayah al-Maram telah menjelaskan hadith dua belas imam sebanyak enam puluh enam riwayat dengan sanad-sanadnya menurut metodologi Ahlul Sunnah wal-Jamaah [Ghayah al-Maram, I, hlm.309].
Di antara kitab-kitab yang menyebut hadith-hadith dua belas khalifah ialah Manaqib Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad bin Hanbal, Syarh Nahj al-Balaghah karangan Ibn Abil Hadid, Musnad Abi Ya’la al-Mansuli, al-Isabah Ibn Hajar al-Asqalani, Dhakha’ir al-Uqba karangan Muhibuddin al-Tabari, Fusul al-Muhimmah Ibn al-Sibagh al-Maliki dan lain-lain lagi.
Keperibadian Imam Ja’far al-Sadiq AS
Rujukan sumber sejarah menampilkan bahawa Imam Ja’far al-Sadiq AS sebagai seorang tokoh yang sangat dihormati dan dimuliakan pada zamannya.
Menurut Yakubi bahawa sudah menjadi kelaziman bagi ulama yang menyampaikan sesuatu dari beliau mengatakan:
” Si alim (Imam Ja’far al-Sadiq AS) memberitahu kita.”
Bahkan para pakar hukum Madinah iaitu Imam Malik bin Anas (95-179H) diriwayatkan pernah berkata apabila ia mengutip hadith dari Imam Ja’far AS, beliau berkata:
” Si Tsiqah Ja’far ibn Muhammad sendiri mengatakan kepadaku bahawa….”
Imam Malik menceritakan peribadi Imam Ja’far al-Sadiq AS dalam kitab Tahdhib al-Tahdhib, Jilid 2, hlm. 104:
” Aku sering mengunjungi al-Sadiq. Aku tidak pernah menemui beliau kecuali dalam salah satu daripada keadaan-keadaan ini: 1) beliau sedang solat, 2) beliau sedang berpuasa, 3) beliau sedang membaca kitab suci al-Qur’an. Aku tidak pernah melihat beliau meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi SAWA tanpa taharah. Beliau seorang yang paling bertaqwa, warak, dan amat terpelajar selepas zaman Nabi Muhammad SAWA. Tidak ada mata yang pernah, tidak ada telinga yang pernah mendengar dan hati ini tidak pernah terlintas akan seseorang yang lebih utama (afdhal) melebihi Ja’far bin Muhammad dalam ibadah, kewarakan dan ilmu pengetahuannya.”
Pada suatu ketika khalifah al-Mansur Abbasiyyah ingin mengadakan perbahasan di antara Abu Hanifah dengan Imam Ja’far al-Sadiq AS. Khalifah bertujuan untuk menunjukkan kepada Abu Hanifah bahawa orang ramai sangat tertarik kepada Imam Ja’far ibn Muhammad kerana ilmu pengetahuannya yan gluas itu. Khalifah al-Mansur meminta Abu Hanifah menyediakan soalan-soalan yang sukar untuk diajukan kepada Imam Ja’afar ibn Muhammad AS di dalam perbahasan itu nanti. Sebenarnyar al-Mansur telah merancang untuk menewaskan Imam Ja’far ibn Muhammad AS dengan cara itu dan membuktikan kepada orang ramai bahawa Ja’far ibn Muhammad tidaklah luas ilmunya. Menurut Abu Hanifah,” Al-Mansur meminta aku datang ke istananya ketika aku tidak berada di Hirah. Ketika aku masuk ke istananya, aku melihat Ja’far ibn Muhammad duduk di sisi al-Mansur. Apabila aku memandang Ja’far ibn Muhammad, jantungku bergoncang kuat, ras gementar dan takut menyelubungi diriku terhadap Ja’far ibn Muhammad lebih daripada al-Mansur. Selepas memberikan salam, Mansur memintaku duduk dan beliau memperkenalkanku kepada Ja’far ibn Muhammad. Kemudian al-Mansur memintaku mengemukakan soalan-soalan kepada Ja’far ibn Muhammad. Aku pun mengemukakan soalan demi soalan dan beliau menjawab soalan-soalan tersebut satu persatu, mengeluarkan bukan sahaja pendapat ahli-ahli feqah Iraq dan Madinah tetapi juga mengemukakan pandangannya sendiri sama ada beliau menerima atau menolak pendapat-pendapat orang lain itu sehingga beliau selesai menjawab semua empat puluh soalan yang sukar yang telah aku sediakan untuknya.
Abu Hanifah berkata,” Tidakkah telah aku katakan bahawa dalam soal ahkam, orang yang paling alim dan mengetahui adalah orang yang mengetahui pendapat-pendapat orang lain?” Lantaran selepas pengalaman itu, Abu Hanifah berkata,” Aku tidak pernah melihat seorang ahli feqah yang paling alim selain Ja’far ibn Muhammad.”[Muwaffaq, Manaqib Abu Hanifah, Jilid I, hlm. 173; Dzahabi, Tadhkiratul Huffadz, Jilid I, hlm. 157]
Zaid bin Ali pernah berkata,” Sepanjang masa Allah melalui seorang lelaki daripada kami Ahlul Bayt tidak akan mengizinkan manusia memberikan alasan yang mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui hukum-hukumNya. Di zaman kami orang itu ialah anak saudaraku, Ja’far; sesiapa yang menentangnya tidak akan mendapat petunjuk.” [Manaqib Shar Ashub, Jilid 3, hlm. 147]
Yakubi meriwayatkan Mansur al-Dawaniqi berkata,” Ja’far adalah dari golongan yang Allah firmankan: ” Kemudian Kami wariskan Kitab al-Quran itu kepada orang-orang dari hamba Kami yang telah Kami pilih (Surah al-Fathir:32)” Ja’far adalah dari kalangan orang-orang yang telah Allah pilih dan dari kalangan yang melebihi orang lain dalam kebaikannnya. Dari keluarga Nabi SAWA sentiasa ada seorang ulama yang mengetahui hadith-hadith Nabi secara keseluruhan dan mengajarnya kepada orang lain. Pada zaman kami orang itu ialah Ja’far ibn Muhammad.” [Tarikh Ya'qubi, Jilid 3, hlm. 117]
Al-Syahrastani mengungkapkan tentang Imam Ja’far al-Sadiq AS:
” Ilmunya sangat luas menyangkut agama dan adab. Ia sangat menguasai falsafah, memperolehi kesolehan besar di dunia dan sepenuhnya menjauhi hawa nafsu. Ia hidup di Madinah cukup lama untuk memberi manfaat yang besara pada aliran yang mengikutinya dan memberikan kepada sahabat-sahabatnya kelebihannya dalam hal ilmu pengetahuan yang tersembunyi…” [Milal, Jilid I, hlm. 166]
Syaikh al-Mufid mencatatkan:
” Al-Sadiq Ja’far ibn Muhammad ibn Ali ibn al-Husayn AS adalah khalifah selepas bapanya Muhammad ibn Ali AS, wasinya, al-qaim bi-al-imammah selepas Muhammad ibn Ali AS. Beliau seorang yang fadl di kalangan mereka, seorang yang paling dimuliakan, tinggi kedudukannya sama ada di kalangan syi’ah dan bukan syi’ah. Orang meriwayatkan daripadanya tentang hal ehwal agama. Ulama terpelajar meriwayatkan daripadanya hal ehwal agama dan di kalangan Ahlul Bayt beliaulah orang yang paling banyak meriwayatkan hadith-hadith. Malahan dari kalangan keluarga Nabi SAWA banyak meriwayatkan hadith-hadith dripada beliau. Ahli-ahli hadith banyak meriwayatkan hadith-hadith yang disandarkan kepadanya.”
” Hadith-hadith yang aku keluarkan adalah hadith-hadith dari bapaku. Hadith-hadith dri bapaku adalah dari datukku. Hadith-hadith dari datukku adalah dari Ali ibn Abi Talib, Amirul Mu’minin. Hadith-hadith dari Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib adalah hadith-hadith dari Rasulullah SAWA dan hadith-hadith dari Rasulullah SAWA adalah wahyu Allah Azza Wa Jalla.”[Al-Kulaini,al-Kafi, Juzuk I, hadith 154-14]
Suasana Politik Pada Zaman Imam Ja’far al-Sadiq AS
Setelah wafat ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS, Imam Ja’far al-Sadiq menggantikan ayahandanya sebagai Imam kaum Muslimin yang keenam sesuai dengan hadith-hadith yang menetapkannya. Beliau menjadi Imam kaum Muslimin dari tarikh 7 Zul Hijjah tahun 114 Hijrah hingga 15 Rejab 148 hijrah iaitu selama kira-kira 34 tahun. Beliau menjadi Imam ketika berusia kira-kira 31 tahun dan wafat ketika umurnya mencapai 65 tahun. Dengan ini juga bermakna Imam Ja’far al-Sadiq AS dapat hidup melalui zaman keruntuhan Bani Umayyah dan permulaan Dinasti Bani Abbasiyyah.
Zaman remajanya Imam Ja’far al-Sadiq AS melalui zaman khalifah Bani Umayyah yang terdiri daripada al-Walid bin Abdul Malik (86-96H), Sulaiman bin Abdul Malik (96-99H), Umar bin Abdul Aziz 96-101H), dan di zaman awal dewasannya Imam al-Sadiq AS melalui zaman Yazid bin Abdul Malik (101-105H), dan di zaman beliau AS menjadi Imam kaum Muslimin, beliau AS melalui zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik (105-125H), Al-Walid bin Yazid (125-126H), Yazid bin Al-Walid (126H), Ibrahim bin Al-Walid (126H), dan Marwan bin Muhammad (127-132H). Seterusnya Imam Ja’far al-Sadiq AS melalui pula zaman awal pemerintahan Bani Abbasiyyah iaitu zaman khalifah al-Saffah dan al-Mansur (136-158H).
0 comments:
Post a Comment