Hadith-hadith yang menghadkan pengganti-pengganti Nabi SAW kepada dua belas orang, telah diriwayatkan oleh jumhur ulama Muslimin Sunnah dan Syi'ah di dalam Sahih-sahih dan Musnad-musnad mereka.
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadya meriwayatkan hadith ini daripada Sya'bi daripada Masruq berkata:"Kami berada di sisi 'Abdullah bin Mas'ud yang sedang memperdengarkan bacaan al-Qur'an kepada kami. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepadanya: Wahai Abu 'Abdu r-Rahman! Adakah anda telah bertanya Rasulullah SAW berapakah ummat ini memiliki khalifah?" Abdullah bin Mas'ud menjawab:"Tiada seorangpun bertanya kepadaku mengenainya semenjak aku datang ke Iraq sebelum anda." Kemudian dia berkata:"Ya! Sesungguhnya kami telah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenainya. Maka beliau menjawab:"Dua belas (khalifah) seperti bilangan naqib Bani Israil."
Di dalam riwayat yang lain Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah, sesungguhnya dia berkata:"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda semasa Haji Wida':"Urusan agama ini masih pada zahirnya di tangan penentangannya dan tidak akan dihancurkan oleh orang-orang yang menyalahinya sehingga berlalunya dua belas Amir, semuanya daripada Quraisy."
Muslim di dalam Sahihnya meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku berjumpa Nabi SAW, Maka aku mendengar Nabi SAW bersabda:"Urusan 'ini' tidak akan selesai sehingga berlaku pada mereka dua belas khalifah." Dia berkata: Kemudian beliau bercakap dengan perlahan kepadaku. Akupun bertanya bapaku apakah yang diucapkan oleh beliau? Dia menjawab:"Semuanya daripada Quraisy."
Muslim juga meriwayatkan di dalam Sahihnya daripada Nabi SAW beliau bersabda:"Ugama sentiasa teguh sehingga hari kiamat dan dua belas khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy. Di dalam riwayat yang lain "Urusan manusia berlalu dengan perlantikan dua belas lelaki dari Quraisy," "Sentiasa Islam itu kuat sehingga kepada dua belas khalifah daripada Quraisy" dan "Sentiasa ugama ini kuat dan kukuh sehingga dua belas khalifah daripada Quraisy"
Al-Turmudzi di dalam al-Sunannya mencatat hadith tersebut dengan lafaz amir bukan khalifah.
Sementara al-Bukhari di dalam Sahihnya meriwayatkannya daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku ialah dua belas amir." Maka beliau berucap dengan perkataan yang aku tidak mendengarnya. Bapaku memberitahuku bahawa beliau bersabda:"Semuanya daripada Quraisy."
Al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (diikuti) oleh dua belas khalifah."
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (dikuti) dua belas amair semuanya daripada Quraisy."
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah mencatat riwayat daripada Jabir bin Samurah sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku di sisi Nabi SAW beliau bersabda:"Selepasku dua belas khalifah." Kemudian beliau merendahkan suaranya. Maka akupun bertanya bapaku mengenainya. Dia menjawab: Beliau bersabda:"Semuanya daripada Bani Hasyim."
Samak bin Harb juga meriwayatkannya dengan lafaz yang sama. Diriwayatkan daripada al-Sya'bi daripada Masruq daripada Ibn Mas'ud bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah menjanjikan kita bahawa selepasnya dua belas khalifah sama dengan bilangan naqib Bani Isra'il. Dan dia berkata di dalam bab yang sama bahawa Yahya bin al-Hasan telah menyebutkannya di dalam Kitab al-Umdah dengan dua puluh riwayat bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW adalah dua belas orang. Semuanya daripada Quraisy. Al-Bukhari telah menyebutkannya dengan tiga riwayat, Muslim sembilan riwayat. Abu Daud tiga riwayat, al-Turmudhi satu riwayat dan al-Humaidi tiga riwayat.
Pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa hadith-hadith tersebut menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW ialah dua belas orang. Dan maksud hadith Nabi SAW ialah dua belas orang daripada Ahlu l-Baitnya. Kerana tidak mungkin dikaitkan hadith ini kepada khalifah-khalifah yang terdiri daripada bilangan mereka kurang daripada dua belas orang. Dan tidak mungkin dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah kerana bilangan mereka melebihi dua belas orang dan kezaliman mereka yang ketara selain daripada 'Umar bin Abdu l-Aziz. Tambahan pula mereka bukan daripada Bani Hasyim. Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di kalangan Quraisy dan memilih Ahlu l-Baitnya di kalangan Bani Hasyim.
Di dalam riwayat 'Abdu l-Malik daripada Jabir bahawa Nabi SAW telah merendahkan suaranya ketika menyebutkan Bani Hasyim kerana 'mereka' tidak menyukai Bani Hasyim. Hadith ini juga tidak boleh dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani 'Abbas kerana bilangan mereka melebihi bilangan tersebut. Dan mereka tidak mengambil berat tentang firmanNya "Katakan!" Aku tidak meminta upah daripada kamu kecuali mencintai keluargaku," sebagaimana juga mereka tidak menghormati hadith al-Kisa'. Justeru itu, hadith tersebut mestilah dikaitkan dengan dua belas Ahlu l-Baitnya kerana merekalah orang yang paling alim, warak, takwa, paling tinggi keturunan dan ilmu-ilmu mereka adalah daripada datuk-datuk mereka yang berhubungkait dengan datuk mereka Rasulullah SAW dari segi warisan dan hikmah. Mereka pula dikenali oleh para ilmuan. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh hadith tersebut ialah dua belas Ahlu l-Bait Rasulullah SAW. Ianya diperkuatkan oleh hadith thaqalain, hadith al-Safinah, hadith al-Manzilah dan lain-lain.
0 comments:
Post a Comment